(foto: KM Asad / AFP / Getty Images)

Sheikh Hasina, Perdana Menteri Bangladesh yang sudah berkuasa selama 15 tahun berturut-turut, meletak jawatannya pada 5 Ogos 2024 dan melarikan diri keluar dari negara itu, berikutan tekanan hebat daripada gelombang protes hebat yang diterajui oleh pelajar-pelajar selama beberapa minggu yang lalu. Para demonstran yang berprotes untuk mendesak perletakan jawatan Sheikh Hasina merayakan kejayaan mereka dalam menjatuhkan kerajaan yang semakin autoritarian itu.

Gelombang protes yang mula tercetus pada bulan Jun 2024 dan diterajui oleh pelajar-pelajar untuk menuntut pembaharuan terhadap sistem kuota di Bangladesh telah menghadapi penindasan secara ganas daripada pihak berkuasa sehingga lebih 300 orang terbunuh. Pihak berkuasa juga memutuskan rangkaian internet dan media sosial di samping mengenakan perintah kurung sebagai cubaan untuk mematahkan aksi protes. Ribuan orang telah ditangkap dan ditahan. (Baca tentang latar belakang gerakan menuntut pembaharuan sistem kuota di sini.)

Mahkamah Agung Bangladesh telah memutuskan pada 21 Julai 2024 bahawa kebanyakan kuota yang diamalkan dalam kerja kerajaan dibatalkan. Namun, aksi protes diteruskan dengan tuntutan yang menggesa perletakan jawatan Sheikh Hasina dan tindakan diambil terhadap pelaku keganasan.

Pusingan aksi protes terbaru tercetus pada 4 Ogos 2024, dengan ribuan orang berprotes di jalanan di bandar-bandar utama untuk mendesak perletakan jawatan Sheikh Hasina. Di Chittagong, bandar kedua besar Bangladesh yang menjadi salah sebuah tempat tumpuan aksi protes pembaharuan kuota telah menyaksikan ratusan ribu orang membanjiri jalanan, mengibarkan bendera kebangsaan Bangladesh dan melaungkan slogan menentang Sheikh Hasina. Lebih 100 orang, termasuk anggota pasukan keselamatan, telah terbunuh dalam protes pada 4 Ogos 2024.

(foto: Habibur Rahman /ABACA / Rex / Shutterstock)

Walaupun menghadapi ancaman keganasan daripada pihak berkuasa yang cuba mematahkan protes, gelombang protes yang hebat akhirnya memaksa Sheikh Hasina untuk meletak jawatannya pada 5 Ogos 2024. Para demonstran menyerbu ke dalam rumah kediaman Perdana Menteri. Sheikh Hasina melarikan diri keluar dari negara Bangladesh ke India dengan menaiki helikopter.

Pihak tentera mengumumkan bahawa ia telah mengambil alih kuasa dan akan membentuk sebuah kerajaan sementara sehingga pilihan raya diadakan. Pihak tentera telah mengadakan perjumpaan dengan pemimpin-pemimpin parti politik utama untuk membincangkan jalan ke hadapan. Jeneral Waker-Uz-Zaman, Ketua Tentera Bangladesh, menyeru pada para demonstran supaya pulang ke rumah mereka dan berjanji bahawa akan menjalankan penyiasatan terhadap pembunuhan yang berlaku pada demonstran sepanjang beberapa minggu yang lalu.

Kejatuhan kerajaan pimpinan Sheikh Hasina yang sudah berkuasa selama 15 tahun di Bangladesh merupakan hasil daripada kebangkitan massa rakyat yang hebat dalam beberapa minggu yang lalu ini. Namun, seperti pengalaman yang pernah dilalui oleh perjuangan revolusioner rakyat yang hebat untuk menjatuhkan rejim kediktatoran di negara-negara seperti Mesir dan Sudan dalam tempoh dua dekad kebelakangan ini, pengunduran sebuah rejim yang autoritarian tidak akan membawa kepada kemajuan demokratik dan pembebasan masyarakat secara automatik, malah wujudnya risiko mengundang kemunculan sebuah lagi pemerintahan yang lebih autoritarian. Lebih-lebih lagi, negara Bangladesh pernah diperintah oleh kediktatoran tentera pada tahun 1975-1991. Sejak demokrasi dikembalikan pada tahun 1990-an, arena politik di negara itu didominasi oleh perebutan kuasa antara Liga Awami dan Parti Nasionalis Bangladesh (BNP), di mana Liga Awami yang dipimpin oleh Sheikh Hasani berkuasa dalam tempoh 15 tahun kebelakangani ini dan cuba memperkukuhkan kekuasaannya dengan cara yang autoritarian.

Kemunculan gelombang protes yang diterajui oleh pelajar-pelajar untuk menuntut pembaharuan sistem kuota yang kemudiannya berkembang menjadi gerakan massa yang menjatuhkan kerajaan pimpinan Sheikh Hasina, mewujudkan harapan baharu untuk satu alternatif yang dapat memutuskan kitaran peralihan kuasa antara Liga Awami dan BNP. Namun, cabaran yang lebih hebat baru bermula dengan kejatuhan kerajaan pimpinan Sheikh Hasina.

(foto: Habibur Rahman / Zuma Press Wire /Rex / Shutterstock)

Sudah pasti gelombang massa rakyat yang terus berprotes di jalanan walaupun menghadapi tindak balas ganas daripada pihak berkuasa itu menggegarkan kelas pemerintah di negara Bangladesh. Jika tidak, pihak tentera tidak akan bertindak begitu cepat untuk mengambil alih kuasa daripada Sheikh Hasina yang menjadi sasaran protes rakyat. Seperti yang pernah berlaku di negara-negara lain yang mengalami pergolakan politik serupa, tindakan pihak tentera di Bangladesh hanya sekadar untuk menyelamatkan kelas pemerintah dengan menukar ketua kerajaan yang tidak lagi menguasai kepercayaan rakyat dan melakukan “peralihan kuasa yang tersusun” kepada pihak yang akan terus menjaga kepentingan kelas elit pemerintah di dalam negara dan golongan kapitalis luar negara yang melaburkan modal di Bangladesh.

Kejayaan kuasa rakyat yang mampu menjatuhkan sebuah kerajaan yang autoritarian boleh diculik bila-bila masa oleh pihak tentera dan golongan elit politik yang tidak pernah mengutamakan nasib rakyat bawahan. Adalah menjadi cabaran kepada rakyat Bangladesh sama ada gerakan perjuangan hebat yang diterajui oleh pelajar-pelajar ini dapat berkembang menjadi sebuah kuasa politik progresif yang mampu menghalang pihak tentera dan golongan elit politik sedia ada daripada menggadaikan pencapaian gerakan perjuangan yang hebat ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *