Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyokong tindakan Kesatuan Pekerja-Pekerja Bank Kebangsaan (NUBE) yang mengadakan aksi piket di beberapa tempat di seluruh negara, termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Perak dan Kota Bharu, sejak 21 Julai 2024 mempertahankan hak pekerja-pekerja bank yang kini diancam oleh pihak pengurusan bank-bank.
PSM bersependapat dengan NUBE bahawa industri perbankan adalah satu industri yang kaya di mana gaji CEO-CEO bank adalah dalam lingkungan berjuta-juta ringgit tetapi faedah dan gaji pekerja bank terus dinafikan. Selain itu, faedah seperti latihan dan cuti berbayar untuk menghadiri latihan tidak dihiraukan.
Dalam satu kajian yang dibuat oleh ShariahScreener News, CEO-CEO bank disenaraikan antara golongan berpendapatan tertinggi di Malaysia, di mana CEO Maybank dibayar gaji purata bulanan RM660,178, CEO Public Bank memperoleh gaji purata bulanan RM3,174,417, gaji purata bulanan CEO Hong Leong Bank adalag sebanyak RM1,213,417. Ini hanya gaji purata tanpa dikira lagi segala elaun yang dinikmati mereka. Dalam keadaan kerajaan memberi pelbagai alasan untuk tidak meningkatkan gaji minimum dari RM1,500, CEO-CEO pula menikmati amaun ganjaran yang begitu tinggi. Ketidaksamarataan inilah yang dipersoalkan oleh Kesatuan hari ini.
Yang lebih menyakitkan hati adalah ada antara bank-bank ini adalah syarikat berkaitan kerajaan (GLC). Kerajaan dan Kementerian Sumber Manusia harus memainkan peranan dalam memastikan para pekerja bank tidak dimangsakan dan kepentingan mereka dilindungi.
PSM juga amat sedih dengan keadaan kesatuan-kesatuan sekerja di negara kita yang semakin merosot keahlian mereka dan kaedah industri perbankan menjalankan aktiviti-aktiviti melemahkan lagu kesatuan seperti menukar pekerjaan tetap kepada pekerjaan kontrak, menafikan hak dan faedah pekerja. Tindakan-tindakan ini lebih cenderung kepad mengancam kewujudan kesatuan sekerja. Ini adalah tindakan “union busting” dan bermatlamat untuk melemahkan kesatuan sekerja dan menghalalkan tindakan majikan bank.
Pengalaman PSM mendapati bahawa walaupun bank-bank ini mendapat keuntungan paling besar, keuntungan ini sering diperolehi daripada tindakan yang menganiayai rakyat dengan kadar faedah yang tinggi terhadap pinjaman, mengalihkan beban tanggungan pelbagai bayaran secara ad hoc keatas peminjam, melelongkan rumah dan harta benda rakyat dengan kejam dan tiada fleksibiliti langsung dalam perbincangan terhadap apa jua situasi yang dihadapi oleh rakyat apabila rakyat biasa tiba-tiba ditimpa keadaan yang terikat dan tidak dapat meneruskan pembayaran balik pinjaman bank.
Peras darah rakyat untuk mengaut keuntungan dahsyat, dan kini pula pekerja-pekerja bank terus ditindas dengan menafikan hak mereka. Kekejaman bank-bank ini harus ditanggani oleh Kerajaan Madani.
PSM mendesak Bank Negara dan Kementerian Sumber Manusia supaya mencampur tangan dalam menangani taktik kotor bank-bank komersial yang mengancam hak pekerja. Kami menuntut supaya:
- Semua bank harus menghentikan pelaksanaan sistem kontrak;
- Bank harus memberi peluang kepada pekerja-pekerja untuk meneruskan latihan berbayar;
- Bank harus menanggung peningkatan cukai SST 2% ke atas insurans perubatan.
Bank harus mempunyai tanggungjawab sosial korporat kepada rakyat dan pekerja mereka. Utamakan rakyat, bukan keuntungan.
Saya sokong perjuangan PSM, kerana saya juga pekerja asal bumi Sabah yg mempunyai pengalaman di zalimi salah 1 majikan yg tidak jujur dan amat kecewa dgn JTK n JPP yg tidak menyiasat kes sy dgn lebih mendalam dan hanya menilai atas dasar akta.. Disini jg sy mendapati bahawa akta kerja dan akta Perhubungan perusahaan, sangat lembah utk melindungi hak2 pekerja. Dimana pihak majikan mempunyai hak mutlak menarik semula cuti yg diluluskan tanpa pertimbangan dan penjelasan jelas pd pekerja. Terutama kepada pekerja2 ibu tunggal yang mempunyai tanggungjawab yg berat serta merantau dari Sabah dan Sarawak.