Aksi rakyat Singapura bersolidariti bersama Palestin pada 2 Februari 2024.

3 orang aktivis di Singapura telah dihadap dan didakwa di mahkamah pada hari ini (27 Jun 2024) kerana menganjurkan aksi bersolidariti bersama rakyat Palestin.

3 orang aktivis wanita yang didakwa di mahkamah ini ialah Annamalai Kokila Parvathi, Siti Amirah Mohamed Asrori dan Mossammad Sobikun Nahar. Mereka didakwa di bawah Akta Ketenteraman Awam kerana menganjurkan perhimpunan dan perarakan tanpa permit pada 2 Februari 2024. Jika disabit kesalahan, setiap orang boleh dijatuhkan hukuman penjara tidak melebihi 6 bulan atau didenda sehingga S$10,000 (bersamaan RM34,767).

Aksi solidariti dengan Palestin yang dianjurkan pada 2 Februari 2024 di Singapura telah disertai oleh kira-kira 70 orang yang berhimpun di sepanjang Jalan Orchard di pusat bandar raya Singapura dan berarak ke Istana Singapura di mana terletaknya Pejabat Perdana Menteri, untuk menyerahkan surat mereka kepada Lee Hsien Loong selaku Perdana Menteri Singapura pada masa itu, dengan tuntutan kepada kerajaan Singapura supaya menghentikan penglibatan dalam genosid terhadap rakyat Palestin. Mereka berarak dengan membawa payung dengan reka bentuk tembikai sebagai simbol bersolidariti dengan perjuangan rakyat Palestin.

Aksi rakyat Singapura bersolidariti bersama Palestin pada 2 Februari 2024.

Singapore for Palestine, penganjur aksi solidariti pada 2 Februari 2024, telah mengemukakan 5 tuntutan kepada kerajaan Singapura, iaitu: hentikan pembelian senjata dari Israel, hentikan segala kerjasama dengan institusi Israel, putuskan hubungan diplomatik dengan Israel, hentikan penglibatan Singapura dalam operasi ketenteraan yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS), dan hentikan siasatan polis terhadap rakyat Singapura yang menggunakan hak sivil mereka untuk bersolidariti dengan rakyat Palestin.

Kerajaan Singapura bukan sahaja enggan mendengar suara rakyatnya yang menggesa supaya menghentikan keganasan genosid di Palestin, sebaliknya cuba mengintimidasi aktivis-aktivis dengan melakukan siasatan jenayah terhadap mereka yang bersolidariti bersama Palestin dan menghadap mereka ke mahkamah untuk pendakwaan.

Ketiga-tiga orang yang didakwa telah diikat jamin dengan wang sebanyak S$5,000 (bersamaan RM17,383) sementara menunggu perbicaraan dan dilarang daripada keluar negara sehingga perbicaraan selesai.

Perang genosid yang dilancarkan oleh rejim Zionis Israel terhadap rakyat Palestin sejak bulan Oktober 2023, telah meragut nyawa lebih 37,000 orang di Semenanjung Gaza sementara lebih 500 orang turut dibunuh di Tebing Barat. Jenayah genosid yang dilakukan oleh rejim Zionis Israel telah dikecam oleh banyak negara di dunia, termasuk membawa isu pembantaian Gaza kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), tetapi kuasa imperialis AS masih mempertahankan rejim Zionis Israel yang zalim di arena politik antarabangsa. Negara-negara yang rapat dengan AS, seperti Singapura, telah meneruskan hubungan kerjasama mereka dengan rejim Zionis Israel dari pelbagai segi (termasuk ketenteraan, perdagangan, kebudayaan dan sebagainya), maka menjadi penyubahat kepada jenayah genosid oleh rejim Zionis Israel. Malah, adanya kerajaan cuba mematahkan usaha rakyat negara masing-masing yang bersolidariti bersama Palestin. Namun, selagi genosid masih berlaku di bumi Palestin, rakyat dunia tidak akan berdiam sahaja.

One thought on “Singapura: 3 aktivis didakwa kerana bersolidariti bersama Palestin

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *