Satu cubaan rampasan kuasa yang dilakukan oleh seorang pemimpin tentera untuk menjatuhkan kerajaan berhaluan kiri di Bolivia telah digagalkan dalam tempoh beberapa jam sahaja kerana rakyat Bolivia tegas mempertahankan demokrasi negara itu daripada dirampas lagi.
Pada 26 Jun 2024, Juan José Zúñiga, seorang jeneral yang merupakan Komander Tentera Darat Bolivia, mengarahkan tentera untuk mengambil alih dataran di pusat bandar La Paz, ibu negara Bolivia, dan menyerbu Casa Grande del Pueblo (kediaman rasmi Presiden Bolivia) dengan kereta perisai.
Luis Arce, Presiden Bolivia yang dipilih secara demokratik sejak tahun 2020, telah menyeru pada rakyat Bolivia untuk turun ke jalanan demi mempertahankan demokrasi di negara itu. “Kita perlukan rakyat Bolivia untuk bermobilisasi dan mengorganisasi diri mereka dalam menentang kudeta ini dan mendukung demokrasi,” kata Acre dalam satu mesej video yang dirakam di kediaman presiden. “Kita tidak boleh membenarkan, sekali lagi, cubaan kudeta yang meragut nyawa rakyat Bolivia.”
Hampir 5 tahun dahulu, pada tahun 2019, pihak tentera yang bersubahat dengan golongan berhaluan kanan telah melancarkan rampasan kuasa untuk menjatuhkan kerajaan berhaluan kiri pimpinan Presiden Evo Morales pada masa itu. Rakyat Bolivia yang menentang kudeta pada masa itu turun berdemonstrasi di jalanan tetapi ditindas secara kejam oleh pihak berkuasa sehingga puluhan orang mati terkorban. Walau bagaimanapun, hasil daripada desakan dan aksi protes yang berterusan, pilihan raya yang diadakan pada bulan Oktober 2020 menyaksikan kemenangan Luis Arce yang disokong oleh gerakan politik berhaluan kiri. Cubaan rampasan kuasa terbaru ini mengingatkan rakyat Bolivia tentang ancaman terhadap demokrasi oleh golongan berhaluan kanan yang bersekongkol dengan kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS).
Jeneral Zúñiga yang melancarkan cubaan rampasan kuasa terbaru ini telah dilucutkan jawatannya sebagai Komander Tentera Darat Bolivia pada 25 Jun 2024 oleh Presiden Luis Acre kerana kenyataannya yang mengancam Evo Morales, mantan Presiden Bolivia yang disingkirkan semasa kudeta pada tahun 2019. Zúñiga berkata dalam satu temubual bahawa pihak tentera akan menahan Morales sekiranya beliau hendak terus bertanding dalam Pilihan Raya Presiden pada tahun 2025.
Pusat Pekerja Bolivia (COB), sebuah persekutuan kesatuan sekerja yang mewakili lebih 2 juta orang pekerja, mengecam cubaan kudeta dan mengumumkan aksi mogok besar-besaran. Demonstran yang menyokong kerajaan pimpinan Luis Acre mengepung Plaza Murillo, dataran di pusat bandar La Paz yang diambil alih oleh tentera yang cuba merampas kuasa.
Ternyata bahawa kuasa rakyat mampu mematahkan cubaan yang mengancam demokrasi apabila rampasan kuasa yang diterajui oleh Zúñiga menemui kegagalan. Presiden Luis Acre telah melantik ketua komander yang baharu untuk angkatan tentera di negara itu pada 26 Jun 2024, iaitu semasa cubaan kudeta sedang berlaku. Jeneral José Wilson Sánchez yang dilantik sebagai Komander Tentera Darat yang baharu mengarahkan semua pasukan tentera yang mengambil bahagian dalam cubaan kudeta untuk kembali ke berek mereka. Pasukan tentera dan kereta perisai yang menyerbu kediaman presiden telah berundur keluar dari tempat itu tidak lama kemudian. Zúñiga ditahan oleh polis kerana disyaki melakukan jenayah keganasan dan pemberontakan bersenjata.
Semasa cubaan kudeta berlaku di Bolivia, pemimpin-pemimpin kerajaan di rantau Amerika Latin telah menyuarakan bantahan mereka terhadap cubaan rampasan kuasa tersebut. Claudia Sheinbaum, Presiden-terpilih yang berhaluan kiri di Mexico, mengecam “serangan terhadap demokrasi” dan menyatakan sokongannya kepada Presiden Luis Acre. Nicolás Maduro, Presiden Republik Bolivar Venezuela, menggesa rakyat Bolivia untuk mempertahankan demokrasi, perlembagaan dan presiden mereka. “Tidak kepada fasisme! Tidak kepada rampasan kuasa!… Beraninya mereka cuba melakukan rampasan kuasa pada abad ke-21,” kata Maduro. Luiz Inácio Lula da Silva, Presiden Brazil yang berhaluan kiri, berkata “Saya mahu demokrasi mengatasi yang lain di Amerika Latin. Kudeta tidak pernah berjaya.”
“Tiada sesiapa boleh merampas demokrasi kita!” begitu katanya Luis Acre semasa berucap di hadapan rakyat Bolivia untuk mengumumkan bahawa cubaan kudeta telah ditewaskan.
Rakyat Bolivia sekali lagi berjaya bangkit untuk menewaskan cubaan golongan elit berhaluan kanan yang hendak menyahstabilkan negara itu. Pusat Pekerja Bolivia (COB) menyeru pada rakyat Bolivia supaya terus berjaga-jaga terhadap sebarang cubaan rampasan kuasa selanjutnya.