KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan pada 29 Mac 2024 bahawa pemecatan Kohila Yanasekaran yang merupakan kakitangan Bank Negara Malaysia (BNM) pada tahun 2017 kerana mengambil bahagian dalam aktiviti politik adalah tidak sah dan menyalahi undang-undang.
Kohila Yanasekaran, seorang aktivis sosial yang lama bergiat aktif dalam gerakan rakyat marhaen, telah dipecat oleh BNM pada 19 Julai 2017. Beliau telah diarahkan untuk keluar dari premis BNM dengan serta-merta pada hari itu dan diiringi pengawal keselamatan. 3 pertuduhan yang dikemukakan oleh pihak BNM untuk memecat Kohila ialah satunya tentang penyertaannya dalam aksi perhimpunan membantah Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) dan dua lagi tentang kenyataan berunsur politik yang dikeluarkannya. Banyak perkara yang tidak adil telah berlaku dalam proses pemecatan Kohila yang merupakan kakitangan berpangkat pengurus di BNM. Kohila membuat rayuan terhadap keputusan BNM yang memecatnya, tetapi rayuan tersebut ditolak oleh pihak BNM.
Kohila memfailkan saman terhadap BNM pada tahun 2018 dengan tuntutan termasuk deklarasi bahawa pemecatannya sebagai pekerja BNM adalah melanggar kontrak pekerjaan dan/atau menyalahi undang-undang, deklarasi bahawa pelaksanaan perkara yang terkandung dalam Kod Etika BNM 2012 adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana ia mencabul kebebasan pekerja untuk bersuara dan/atau berhimpun secara aman, dan perintah untuk BNM membayar ganti rugi kepada Kohila.
Selepas prosiding yang melibatkan 10 hari perbicaraan, Hakim Mahkamah Tinggi Dato’ Ahmad Bache memutuskan bahawa prosedur yang dilakukan oleh pihak BNM dalam memecat Kohila adalah melanggari keadilan semula jadi, maka pembuangan kerja Kohila adalah tidak sah dan pihak BNM harus membayar ganti rugi kepada Kohila. Hakim turut menetapkan tarikh 29 April 2024 untuk memutuskan taksiran ganti rugi dan kos.
“Ini adalah satu kemenangan yang tidak boleh dinyatakan dengan perkataan kerana ia satu perjuangan yang panjang. Melawan Bank Negara bukannya satu perkara yang senang,” kata Kohila selepas mengetahui keputusan mahkamah yang berpihak kepadanya. “Kemenangan ini merupakan satu kemenangan untuk pekerja. Pekerja perlu tahu bahawa kita perlu berjuang untuk hak kita, barulah kita boleh mendapatkan hak kita. Siapa pun tidak akan memberikan hak kepada kita dengan begitu sahaja.
Kohila telah diwakili oleh peguam Peguam Datuk Ambiga Sreenevasan, Gokul Radhakrishan, Sarah Ho dan KS Bawani, sementara pihak BNM mewakili oleh Steven Thiru dan Janice Teo.
One thought on “Pemecatan tidak sah: Kohila menang kes terhadap Bank Negara”