oleh S. Arutchelvan

Pada 17 September 2023, salah seorang pejuang Ladang Denudin, saudara Arumugam, meninggal dunia. Beliau berumur 65 tahun, meninggalkan isterinya Sarojini dan 3 orang anak. Beliau juga ialah seorang penyokong tegar PSM. Semasa perjuangan awal pekerja ladang, beliau terlibat dalam mogok berkenaan isu pekerja kelapa sawit, isu masalah air, dan akhirnya isu perumahan Ladang Denudin di mana mereka mendapat sebuah rumah percuma.

Saya ingin menceritakan satu aksi mogok pekerja kelapa sawit yang berlaku di Ladang Denudin pada 21 tahun dahulu di mana saudara Arumugam bersama pejuang-pejuang lain seperti Muniandy, Sethu, Francis, Batu Malai, Velu dan sebagainya memainkan peranan penting apabila mereka bermogok selama 16 hari, iaitu dari 5 Disember 2002 sehingga 27 Disember 2002.

Arumugam ialah orang yang pertama dari kanan dalam gambar ini.

Di bawah ialah kronologi catatan saya di mana kami terlibat sepanjang perjuangan ini dari zaman mahasiswa di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Jawatankuasa Kebajikan Mahasiswa-mahasiswi (JKMI), Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC) dan kemudiannya Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Pada 4 Disember 2002, pada waktu lebih kurang pukul 3 petang, para pekerja Ladang Denudin terkejut apabila 7 orang pekerja pemotong dan pemungut kelapa sawit menerima gaji yang kurang daripada RM120. Mereka ambil keputusan untuk tidak mahu mengambil gaji mereka sehingga mendapat satu penjelasan.

Pada 5 Disember 2002, pekerja-pekerja membuat keputusan untuk mengadakan mogok kerja dan hanya pergi bekerja setelah majikan memberikan penjelasan yang munasabah dan gaji mereka dipulihkan kepada kadar seperti yang biasa diamalkan.

Majikan enggan berunding dan pekerja-pekerja membawa isu ini kepada perhatian ibu pejabat Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang (NUPW). G. Sankaran, Setiausaha NUPW, dan Thamasekaran daripada NUPW Cawangan Selangor kemudiannya berjanji untuk berunding dengan majikan dan memberi maklum balas sebelum 10 Disember 2002.

Pada 7 Disember 2002, pekerja-pekerja sekali lagi menuntut pada majikan supaya memulihkan gaji tetapi majikan enggan berbuat demikian, maka pekerja terus tidak pergi bekerja dan membuat dua aduan polis berkenaan isu ini sebagai langkah keselamatan. Pekerja-pekerja juga bimbang bahawa orang luar dan samseng akan masuk dan bekerja di blok mereka.

Pada 9 Disember 2002, pihak majikan memanggil pekerja-pekerja untuk memberi penjelasan di Ladang Denudin dengan tuduhan bahawa mereka tidak menghabiskan “tugasan” (task) dan “hasil” (yield) adalah kurang, maka gaji mereka pun kurang. Pekerja-pekerja membantah tuduhan ini kerana sudah hampir 10 tahun mereka bekerja dengan cara yang sama dan tidak pernah menerima gaji seteruk ini. Pekerja-pekerja juga menyatakan bahawa dalam bulan November 2002, mereka telah dipaksa melakukan 2 kerja tambahan dengan janji akan dibayar, iaitu;

  1. Memotong dahan-dahan pokok kelapa sawit di mana blok berkenaan terbiar lebih setahun;
  2. Mengutip buah gugur (prunning) serta memasukkannya dalam guni. Semua kerja ini tidak dibayar dalam gaji bulan November.

Pekerja-pekerja juga menyatakan tentang tuntutan yang dibuat beberapa kali sebelum ini yang sudah pun dipersetujui, iaitu mengurangkan jumlah pokok dalam setiap blok, kebersihan “lapangan” (field), serta dibuat jalan untuk memudahkan pekerja bekerja. Namun, semua ini tidak diambil peduli oleh majikan. Sekali lagi pekerja-pekerja menuntut supaya gaji dipulihkan, tetapi majikan masih berdegil, maka mogok diteruskan.

Pada hari keesokannya, iaitu 10 Disember 2002, mogok memasuki hari keempat, keadaaan perjuangan menjadi lebih hebat apabila pekerja-pekerja am menyertai mogok. Pekerja-pekerja am turut bersama pekerja-pekerja kelapa sawit untuk menuntut gaji mereka yang terbabit supaya dipulihkan. Namun, majikan masih tidak mahu menyelesaikan perkara ini, maka pekerja-pekerja turut bersama pekerja kelapa sawit untuk tidak pergi bekerja. Tetapi pada pagi itu, salah seorang pegawai daripada pihak majikan berjanji untuk berbincang dengan pihak atasan tentang mengurangkan jumlah pokok dalam satu blok.

Dalam kerumitan ini pula, kesatuan sekerja NUPW telah memberitahu pekerja bahawa mereka hanya akan menolong dan mewakili mereka sekirannya pekerja-pekerja Ladang Denudin bersetuju untuk membayar yuran pada kadar baharu RM10 yang tertunggak selama 6 bulan. NUPW Selangor pula berkata bahawa pihaknya hanya akan datang ke Ladang Denudin pada 13 Disember 2002. Pekerja-pekerja marah apabila pihak kesatuan bercakap seperti majikan dan meminta pekerja-pekerja untuk kembali bekerja tanpa penyelesaian masalah. Pekerja-pekerja pula membuat keputusan untuk pergi bekerja hanya jika masalah gaji ini diselesaikan, dan mereka juga tidak mahu membuat bayaran yuran kesatuan sehingga NUPW memberi penjelasan kenapa yuran kesatuan dinaikkan.

Pada waktu lebih kurang pukul 5 petang hari itu juga, pihak majikan menyatakan bahawa gaji mereka akan dipulihkan pada keesokan harinya dan bilangan pokok juga akan dikurangkan kepada 200 batang di dalam setiap blok. Oleh itu, pekerja-pekerja diminta supaya pergi bekerja pada keesokan hari. Pekerja gembira dan bersetuju untuk kembali bekerja.

Akan tetapi, sejam selepas itu, pegawai yang sama dengan tiba-tibanya memaklumkan bahawa pihak atasannya, Persatuan Pengeluar Pertanian Malaya (MAPA), tidak mahu memulihkan gaji dan memanggil pekerja-pekerja untuk satu mesyuarat di Ladang Semenyih pada 11 Disember 2002, pukul 3.00 petang. Namun, pihak pekerja meminta supaya mesyuarat diadakan di pejabat di Ladang Denudin atau disediakan pengangkutan untuk pekerja pergi ke pejabat di Ladang Semenyih. Majikan tidak bersetuju. Oleh yang demikian, pekerja-pekerja Ladang Denudin juga membuat keputusan untuk membuat aduan di Jabatan Buruh pada 12 Disember 2002. (Nota: Jabatan Buruh ditukar nama kepada Jabatan Tenaga Kerja pada tahun 2003.)

Pada 11 Disember 2002, pekerja-pekerja masih mengutarakan tuntutan yang sama. Majikan masih berdegil. Pekerja-pekerja tidak pergi bekerja untuk hari yang ke-5. Pekerja-pekerja membuat lawatan ke “lapangan” untuk memastikan orang lain tidak diupah untuk bekerja di “lapangan” mereka. Pihak pekerja memberi satu surat kepada majikan yang ditandatangani oleh semua pekerja untuk menuntut supaya rundingan diadakan di Ladang Denudin untuk memulihkan keadaan dengan segera.

Kesatuan sekerja NUPW Selangor memungkiri janji dan kini bercakap bahawa tidak mahu bersama pekerja-pekerja kerana pekerja-pekerja ini belum menjelaskan yuran kesatuan. Mereka menggunakan kesempatan ini untuk mengugut pekerja-pekerja supaya membayar yuran sekiranya hendak kesatuan mewakili mereka. Pekerja-pekerja kecewa kerana kesatuan mengendahkan yuran yang sudah dibayar lebih daripada 30 tahun dan hanya mementingkan kutipan yuran daripada kebajikan ahlinya.

Pada 12 Disember 2002, seperti yang dirancang, pekerja-pekerja membuat aduan kes buruh di Jabatan Buruh Jalan Ampang. Pengarah Buruh di pejabat Jalan Ampang pada masa itu, Puan Zulkiah bt Hussain, merujuk perkara ini kepada Jabatan Buruh Selangor dan menasihatkan pekerja untuk berhubung dengan Jabatan Buruh Selangor. Pekerja-pekerja menerima surat yang bertajuk “Incompleted Harvesting On Allotted Task” daripada pihak majikan pada awal pagi itu. Pekerja-pekerja yang terbabit membuat aduan polis kerana diberi surat selepas 20 hari dari tarikh kononnya “tidak siapkan kerja”.

Pada hari ketujuh mogok, iaitu 13 Disember 2002, dua orang pegawai daripada Jabatan Buruh Selangor melawat Ladang Denudin pada jam lebih kurang 11.30 pagi. Bersama pihak pekerja, pegawai-pegawai tersebut telah memeriksa keadaan rumah-rumah pekerja yang mempunyai banyak kerosakan dan masih belum dipulihkan oleh pihak majikan. Mengenai isu gaji pula, pegawai berkenaan berjanji untuk berjumpa dengan Pengurus Besar Ladang dan akan memberitahu keputusannya kemudian kepada pihak pekerja.

Pekerja-pekerja yang menerima surat “Incompleted Harvesting On Allotted Task” telah membalas surat majikan tersebut. Antara perkara yang ditegaskan oleh para pekerja ialah:

  1. tidak setuju dengan tuduhan kerja tidak disiapkan;
  2. tidak setuju dengan jumlah buah kelapa sawit yang tercatat dalam surat tersebut kerana ia kurang daripada apa yang dipotong oleh pekerja;
  3. kerja tambahan yang diberi dalam bulan November;
  4. Peraturan baharu bercanggah dengan amalan kerja sejak tahun 1985;
  5. Tidak puas hati dengan sikap majikan yang memberi surat tersebut selepas 20 hari.

Pihak pekerja juga telah membalas surat tuduhan pihak majikan tentang “absent from work” (tidak hadir kerja) dalam bulan Disember 2002 sejak isu gaji ini bermula.

Dua orang pegawai kesatuan NUPW juga telah melawat pekerja-pekerja buat kali pertama selepas 8 hari mogok bermula. Pegawai tersebut mengatakan bahawa pihak Jabatan Buruh yang telah menasihatkan mereka untuk mengendalikan isu ini. Mereka telah menjelaskan isu kenaikan yuran sebanyak RM3 dan berjanji untuk menyelesaikan masalah gaji pekerja sekiranya mereka membayar segala yuran tunggakan. Pekerja-pekerja pula meminta mereka untuk menyelesaikan masalah gaji dan kemudian mereka akan membayar yuran tunggakan kesatuan tersebut.

Pada hari ke-9 mogok diadakan, iaitu 17 Disember 2002, MTUC bersetuju untuk menghantar wakil yang mewakili pekerja di Jabatan Buruh dan Jabatan Perhubungan Perusahaan.

Pada hari ke-10 mogok, 18 Disember 2002, Puan Kausar daripada Jabatan Buruh Selangor memberitahu pada pekerja-pekerja bahawa pihak majikan ada menghantar faks kepada mereka untuk meminta pekerja supaya sambung balik kerja, dan pihak pekerja pula memberitahu kepadanya bahawa tanpa pemulihan gaji, mereka tidak boleh sambung kerja. Puan Kausar berjanji untuk berunding dengan pihak majikan supaya menyelesaikan masalah-masalah pekerja dengan segera.

Pada hari ke-11 mogok, 19 Disember 2002, pekerja-pekerja membuat aduan polis terhadap pihak majikan kerana menggunakan pekerja-pekerja Indonesia untuk memotong buah di blok pekerja Denudin dan menimbulkan keadaan tegang.

Pada 21 Disember 2002, mogok memasuki hari ke-13. Pekerja-pekerja sekali lagi membuat aduan polis terhadap majikan kerana majikan mengugut bahawa akan menggunakan polis untuk menangkap pekerja jika mereka menghalang pekerja Indonesia daripada bekerja di blok pekerja Denudin.

Pada hari ke-14 mogok, 23 Disember 2002, sekali lagi pekerja membalas surat tuduhan pihak majikan tentang “absent from work” (tidak hadir kerja) dalam bulan Disember 2002 sejak isu gaji ini bermula.

Pada hari ke-15 mogok, sehari sebelum Krismas, iaitu 24 Disember 2002, pekerja-pekerja membuat aduan di Jabatan Perhubungan Perusahaan di bawah Seksyen 56 Akta Perhubungan Perusahaan berkenaan “ketidakpatuhan terhadap perjanjian bersama” (Non-compliance with collective agreement). Pekerja-pekerja berjumpa dengan pendaftar mahkamah perusahaan untuk mendapatkan nasihat mengenai ketidakpatuhan terhadap perjanjian bersama.

Pada hari ke-16 mogok, pekerja-pekerja berjaya mengadakan rundingan dengan pihak majikan di Ladang Denudin. Majikan memberi surat yang meminta pekerja sambung balik kerja dari tarikh 27 Disember 2002.

Akhirnya pada 27 Disember 2002, pekerja balik bekerja setelah segala masalah telah dibincangkan dan pekerja bersetuju untuk kembali bekerja bermula pada hari itu, selepas majikan bersetuju untuk memulihkan gaji dan keadaan pekerjaan. Maka berakhirnya mogok dengan kemenangan kepada pekerja.

Begitulah kehebatan perjuangan pekerja Ladang Denudin. Selepas itu, ada banyak inisiden perjuangan di mana ada satu lagi aksi mogok kerana isu air minum. Perjuangan akhir mereka tercetus pada 6 April 2011, apabila 9 orang pekerja menerima notis pemberhentian kerja daripada Syarikat Inch Kenneth di mana tarikh akhir para pekerja berkhidmat adalah 31 Mei 2011.

Kami bersama dengan penduduk-penduduk Ladang Denudin kemudian membawa isu ini kepada perhatian Dr Xavier selaku Exco Kerajaan Negeri Selangor pada masa itu.

Pada 12 Mei 2011, Jawatankuasa Penduduk Ladang Denudin menghantar surat kepada Pengurus Besar Inch Kenneth untuk membincangkan isu pemberhentian kerja pekerja Ladang Denudin, faedah berhenti kerja dan lain-lain lagi, seperti:

  1. Bayaran dan gaji tertunggak daripada perjanjian MAPA-NUPW melibatkan pekerja pemotong kelapa sawit.
  2. Rumah teres kos rendah di kawasan berhampiran Ladang Denudin.
  3. Isu bekas pekerja ladang dan mereka yang telah bersara diberikan faedah yang sama.
  4. Bayaran Ex-Gratia/pampasan
  5. Status kuil, gereja, dewan dan padang bola sepak.
  6. Pampasan/ganti rugi tanah pertanian kepada mereka yang mengusahakan tanah kebun.
  7. Bekalan air/eletrik dan kemudahan asas ladang dikekalkan status quo sehingga masalah selesai.
  8. Tiada perpindahan keluar dari rumah sedia ada sehingga rumah alternatif tetap dibina.
  9. Keadaan kebersihan dijaga dan dikekalkan sehingga rumah alternatif tetap dibina.

Pada awalnya Inch Kenneth hanya mahu memberi pampasan seperti dalam Akta Kerja tetapi setelah satu perjuangan berterusan, akhirnya pada 9 Januari 2013, 22 orang bekas pekerja menandatangani perjanjian penyelesaian yang membina 22 buah rumah dengan Inch Kenneth. Saya telah menjadi saksi bagi pihak penduduk dan Encik Hussain bagi pihak Inch Kenneth. Kemudiannya pekerja-pekerja terus tinggal di rumah lama sehingga kunci rumah baharu diberikan pada 21 November 2018 di Pejabat PSM Semenyih.

Saya ingin memberikan penghargaan kepada mendiang Arumugam dalam penyelesaian isu ini. Pada masa itu, pihak majikan Inch Kenneth sedia memberikan rumah percuma dengan syarat pekerja kelapa sawit tidak menuntut faedah berhenti kerja. Arumugam dan Vasuthevan yang mempunyai jumlah wang faedah berhenti kerja yang agak banyak bersedia berkompromi asalkan mereka dapat rumah percuma, dan ini membawa kepada penyelesaian masalah. Pengorbanan mereka jauh lebih tinggi daripada pekerja-pekerja lain.

Selamat bersemadi saudara Arumugam. Walaupun masih ada isu-isu seperti pembaikan rumah dan sebagainya, tetapi pengorbanan beliau selama ini tidak boleh dilupakan. Beliau seorang pejuang dan sahabat yang baik dalam perjuangan ini.

==========

S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *