oleh Choo Chon Kai

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang menyerbu kedai buku “Toko Buku Rakyat” milik penulis bebas Benz Ali pada 18 Ogos 2023 dan merampas dua naskah buku, termasuk sebuah buku berjudul “Marx Sang Pendidik Revolusioner” yang mengulas tentang pemikiran Karl Marx.

Tindakan KDN ini merupakan intimidasi terhadap penulis, penerbit dan pemilik kedai buku bebas di negara kita. Ianya satu langkah yang regresif dan menunjukkan bahawa minda sesetengah pihak berkuasa di negara kita masih terperangkap dalam Zaman Perang Dingin yang sudah lamat luput.

Jika buku berjudul “Marx Sang Pendidik Revolusioner” itu dirampas kerana nama Marx tertera pada tajuknya, maka ia menunjukkan kedangkalan dan kecetekan minda pihak berkuasa apabila berhadapan dengan ilmu pengetahuan yang sepatutnya merangsang pemikiran dan membina kecelikan politik rakyat. Adalah hampir tidak mungkin bagi mana-mana orang yang berhasrat untuk menimba ilmu tentang sosiologi dan memahami masyarakat kita tidak pernah membaca tentang pemikiran Karl Marx, sama ada bersetuju atau tidak bersetuju dengan pandangan yang dibawanya. Menyekat pengedaran buku mengenai Marx, sama ada buku yang mengangkat idea revolusionernya ataupun yang mengkritik pemikirannya, adalah tindakan hanya dilakukan oleh kerajaan yang bersifat autoritarian dan kuku besi. Membaca dan memahami Marx boleh membantu dalam membina sebuah masyarakat madani yang sihat.

Adalah tidak masuk akal untuk sebuah kerajaan yang mengangkat idea “Malaysia Madani” melakukan tindakan perampasan buku yang menyekat perkembangan masyarakat madani ke arah yang lebih rasional dan celik politik.

KDN tidak harus terus menjelma kepada “Kementerian Kebenaran” seperti dalam buku “1984” tulisan George Orwell dengan menggunakan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 untuk menyekat kebebasan berilmu.

PSM juga ingin menyatakan solidariti kami kepada kedai buku bebas “Toko Buku Rakyat” dan menggesa kerajaan supaya segala intimidasi terhadap kedai buku bebas diberhentikan segera.

==========

Choo Chon Kai ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *