SHAH ALAM, SELANGOR – 7 MAC 2023: Para bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung yang masih tidak mendapat rumah seperti yang dijanjikan 30 tahun dahulu mengunjungi Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada hari ini untuk menyerahkan memorandum kepada Pejabat Menteri Besar Selangor, dengan tuntutan supaya Kerajaan Negeri Selangor memperbetulkan kesilapannya yang dilakukan pada tahun 1992 dan mengambil tindakan konkrit dalam membela hak pekerja ladang untuk mendapatkan perumahan sendiri.
Turut hadir bersama dengan bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung semasa penyerahan memorandum pada hari ini ialah A. Sivarajan, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).
“Seramai 54 orang pekerja ladang di Ladang Bukit Beruntung telah dijanjikan rumah sejak tahun 1992. Mereka datang pada hari ini untuk mengetengahkan masalah mereka yang disebabkan oleh kesilapan Kerajaan Negeri Selangor yang dibuat pada tahun 1992,” kata Sivarajan semasa mengulas tentang isu yang dihadapi oleh bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung. “Selepas permohonan tukar syarat tanah untuk membina rumah telah diluluskan oleh Exco, Pejabat Tanah dan Galian Selangor serta Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor tidak menukar kategori tanah tersebut dari pertanian kepada pembangunan. Kesilapan ini telah dilakukan oleh Kerajaan Selangor pada tahun 1992 dan tanah yang sepatutnya untuk membina rumah bagi pekerja ladang kekal sebagai tanah pertanian sehingga kini. Projek pembinaan rumah tersebut telah terbengkalai.”
“Satu lagi perkara yang para bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung tidak berpuas hati adalah, wang premium tanah yang dibayar oleh pemilik tanah ladang sebanyak RM6 juta itu, telah dipulangkan oleh kerajaan kepada tuan tanah baru-baru ini, padahal isu perumahan masih belum selesai,” kata Sivarajan. “Kenapa kerajaan berpihak pada tuan tanah? Kenapa membayar ganti rugi RM6 juta kepada tuan tanah tetapi membiarkan pekerja-pekerja ladang begitu sahaja? Ini memang tidak adil.”
“Kami meminta supaya kesilapan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 1992 harus diperbetulkan oleh Kerajaan Negeri Selangor sekarang,” ulas Sivarajan. “Kami tahu pentadbiran negeri sudah bertukar, tetapi Kerajaan Negeri sebagai sebuah badan awam masih memikul tanggungjawab itu dan tidak boleh cuci tangan. Kerajaan Negeri Selangor di bawah Menteri Besar Amirudin Bin Shaari harus menyelesaikan masalah ini.”
Kerajaan Negeri Selangor harus bertanggungjawab dalam menyelesaikan masalah perumahan pekerja Ladang Bukit Beruntung
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) Selangor telah meluluskan permohonan tukar syarat penggunaan tanah pada 7 Oktober 1992 yang dimaklumkan melalui surat bertarikh 25 November 1992. Kelulusan tersebut diberikan di bawah Seksyen 124(4) dan (5) Kanun Tanah Negara dengan syarat: bayaran premium tambahan; dan syarat mengenakan cukai tanah baharu; di samping syarat lain seperti unit dan jenis pembangunan yang hendaklah mengikut panduan Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor serta dasar Kerajaan Negeri Selangor, iaitu membina rumah untuk pekerja Ladang Bukit Beruntung apabila pembangunan dilakukan. Syarat pembayaran premium dan cukai tanah baharu telah dipenuhi oleh pemilik tanah, tetapi tindakan susulan yang wajib di bawah Seksyen 124(7) Kanun Tanah Negara gagal diambil oleh Pejabat Tanah Hulu Selangor atau Pendaftar Hakmilik di bawah pentadbiran Pengarah Tanah dan Galian Selangor.
Dokumen hak milik dalam simpanan Pendaftar Hakmilik dan “Issue document of title” yang disimpan oleh pemilik tanah tidak diendors dengan kategori baharu, iaitu bangunan atau industry, sepertimana kelulusan MMKN tersebut, walaupun pemilik tanah telah menjelaskan bayaran premium dan cukai tanah baharu. Akibatnya, pelan tataatur (layout plan) yang wajib dikemukakan kepada Jabatan Perancang Bandar Selangor (JPBS) tidak dibuat sehingga kini! Projek ini tidak mendapat Kebenaran Merancang dan menjadi “tidak sah” kerana pembangunan di atas tanah pertanian jelas melanggari Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172). Oleh kerana pelan tataatur tidak pernah diluluskan oleh JPBS, maka jalan akses disediakan ke rumah-rumah pekerja ladang ini. Kelulusan Pelan Bangunan oleh Majlis Daerah Hulu Selangor yang diberikan pada masa itu juga adalah berlanggaran dengan Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta 133), dan tidak sah! Pihak pemaju dan pemilik tanah yang berdaftar dalam dokumen hak milik mengikut Kanun Tanah Negara 1965 telah menyedari kesulitan untuk memperolehi “sijil layak menduduki” (CF), maka bertindak untuk menjadikan projek ini terbengkalai.
Dalam mesyuarat pada 11 Januari 2023, pihak Unit TaskForce dan Penyelidikan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) Selangor mengakui bahawa satu kesilapan “teknikal” telah dilakukan oleh pihak pentadbir tanah di Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor dan PTG Selangor kerana gagal mengendors status baharu tanah tersebut sebagai bangunan dan industri yang ditukar daripada kategori pertanian. Ini juga menyebabkan Kerajaan Negeri hilang peluang untuk mengutip cukai tanah yang sepatutnya.
Kedua-dua Unit TaskForce PTG Selangor dan Pejabat Tanah Hulu Selangor bersependapat bahawa kelulusan MMKN pada 7 Oktober 1992 masih berkuatkuasa sehingga kini. Projek perumahan yang sepatutnya berjalan telah melanggar Kanun Tanah Negara kerana dokumen hak milik masih dikategorikan tanah berkenaan sebagai pertanian sedangkan rumah telah dibina di atas tanah tersebut. Unit TaskForce PTG Selangor mencadangkan bahawa isu pelanggaran syarat ini boleh diremedikan dengan mengeluarkan Borang 7A di bawah Seksyen 128 Kanun Tanah Negara yang dipanjangkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Selangor. Namun, cadangan tersebut masih belum dilaksanakan lagi.
Lebih-lebih lagi, Lembaga Tanah Ladang yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri sepatutnya memastikan rumah dibina untuk pekerja ladang sebelum memulakan pembangunan lain, tetapi tiada tindakan susulan daripada Lembang Tanah Ladang sehingga kini.
Tuntutan pekerja Ladang Bukit Beruntung
Dalam memorandum yang diserahkan kepada Kerajaan Negeri Selangor, bekas pekerja Ladang Bukit Beruntung menuntut pada Kerajaan Negeri Selangor supaya melaksanakan langkah-langkah berikut untuk menyelesaikan masalah perumahan pekerja ladang yang sudah lama terbengkalai ini:
1. Mengeluarkan Borang 7A di bawah Seksyen 128 Kanun Tanah Negara kepada pemilik tanah, Prospell Enterprise Sdn Bhd, atas kesalahan membina lebih 500 buah rumah di bawah projek Desa Beruntung dan dijual kepada pekerja ladang di atas tanah Lot 3406 yang masih berstatus pertanian. Sebagaimana yang dinyatakan dalam Seksyen 115 Kanun Tanah Negara, jika tanah tersebut ialah tanah pertanian, maka tiada apa jua struktur bangunan boleh didirikan.
2. Dengan syarat remedi yang dicadangkan;
- Mengarahkan pemilik tanah untuk membuat permohonan baharu tukar syarat tanah dan segala pelan tataatur (full layout plan) untuk ke tujuh-tujuh lot tanah berkenaan, memandangkan Lot 3406 untuk perumahan pekerja ladang tidak boleh dibangunkan tanpa pelan tataatur yang menyatakan jalan akses ke rumah pekerja dari jalan utama dan juga akses bekalan utiliti.
- Jika pemilik tanah gagal/enggan melaksanakan remedi sepertimana yang dicadangkan, maka tindakan perlucuthakan dilakukan ke atasnya selaras dengan Seksyen 129 Kanun Tanah Negara.
- Keluasan tanah yang dirampas digunakan untuk membina rumah bagi pekerja Ladang dengan harga asal pembelian mereka.
- Pampasan untuk kehilangan dan kesukaran yang dialami oleh bekas pekerja Ladang selama lebih 20 tahun. Pampasan yang setimpal untuk setiap satu daripada 54 orang pembeli rumah pekerja ladang ini yang membeli rumah dengan harga pasaran terkini.
Para bekas pekerja Ladang Beruntung telah mendapat janji temu dengan Menteri Besar Selangor untuk membincangkan penyelesaian bagi masalah ini pada 16 Mac 2023. Jawatankuasa Bertindak Pembeli Rumah Desa Beruntung dan Pekerja Ladang Bukit Beruntung juga menyerahkan memorandum kepada Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Selangor pada hari ini.