KUALA LUMPUR – 26 MEI 2022: Gabungan Masyarakat Madani (CSO) melancarkan Manifesto Rakyat pada hari ini untuk mengetengahkan cadangan-cadangan dasar komprehensif yang mencakupi pelbagai sektor untuk pembaharuan menuju ke arah Malaysia yang lebih baik.
Manifesto Rakyat ini merupakan inisiatif usahasama Platform CSO untuk Perubahan dan Gabungan Bertindak Malaysia (GBM) untuk mengumpulkan pelbagai suara dalam masyarakat Malaysia dan mengemukakan tuntutan-tuntutan rakyat mengenai pelbagai bidang dasar. Manifesto Rakyat telah dirangka melalui proses penglibatan masyarakat dari bawah. Manifesto Rakyat ialah himpunan suara yang berkepelbagaian daripada rakyat untuk mewujudkan sebuah negara yang harmoni, saksama dan progresif.
Menurut Beverly Joeman, Koordinator Program Platform CSO untuk Perubahan, idea untuk menghasilkan Manifesto Rakyat ini dibangkitkan pada bulan Januari 2021 oleh sebuah gabungan masyarakat sivil yang terdiri daripada 80 buah badan bukan kerajaan (NGO), dan banyak usaha telah diambil dalam tempoh masa lebih setahun untuk mengumpulkan pandangan dan menerbitkannya. “Kami berharap parti-parti politik dan semua calon yang bercita-cita untuk bertanding dalam pilihan raya dapat meneliti dasar-dasar yang disenaraikan dalam Manifesto Rakyat ini, dan memilih dasar yang dekat dengan hati anda untuk memperjuangkannya dalam pilihan raya umum akan datang serta memasukkannya ke dalam manifesto, tetapi jangan kembali kepada kami dan berkata ‘Manifesto itu bukannya kitab suci’, kerana kita rakyat tidak mahu perkara yang sama berulang lagi. Rakyat mahukan sesuatu yang berfungsi, sesuatu yang bernyawa dan sesuatu yang benar-benar berasaskan realiti di lapangan,” kata Beverly Joeman.
Lim Chee Han, Koordinator Projek Manifesto Rakyat, berkata semasa pelancaran Manifesto Rakyat, “Walaupun isu rakyat sering dibawa dalam media, tetapi kebanyakan masanya juga suara rakyat daripada masyarakat terpinggir telah diabaikan dan tidak diberi perhatian oleh kerajaan dan ahli-ahli politik kita. Isu-isu ini memberi kesan kepada kehidupan dan punca rezeki kita. Namun, ahli-ahli politik selalunya hanya mengambil berat tentang pemeliharaan diri dan kepentingan diri mereka, dan jarang sekali berbincang secara mendalam tentang isu-isu rakyat, apatah lagi mengemukakan solusi yang nyata dan praktikal untuk menyelesaikan masalah-masalah rakyat. Rakyat menderita semasa pandemik, semasa kegawatan ekonomi yang diakibatkan oleh pandemik, dan semua suara rakyat ini amat perlu didengari. Inilah sebabnya kami mengemukakan Manifesto Rakyat.”
“Objektif Manifesto Rakyat ini adalah untuk membina sebuah gabungan masyarakat yang meluas dan inklusif,” kata Lim Chee Han. “Manifesto Rakyat ini bukannya hanya bertujuan untuk menghadapi pilihan raya. Tujuan kita adalah untuk membina gerakan sosial kita.”
Manifesto Rakyat merangkumi 3 tonggak dan 27 bidang dasar:
- Perpaduan dalam kepelbagaian / Bangsa Malaysia
- Mempromosikan, memperbaiki dan mempertahankan hak dan kebebasan sivil
- Berusaha menuju masyarakat yang adil, saksama dan demokratik.
Terdapat 27 bidang dasar telah disenaraikan dalam Manifesto Rakyat, termasuk identiti kebudayaan dan keharmonian agama, kebebasan bersuara, hak asasi manusia, gender, orang kurang upaya, pembaharuan sistem pilihan raya, pembaharuan parlimen, pembaharuan sistem kehakiman, anti-rasuah, keadilan ekonomi, pendidikan, demokrasi tempatan, perburuhan, kesihatan, alam sekitar, pengangkutan, pertanian, dan sebagainya.
Manifesto Rakyat terbuka untuk pengendorsan daripada semua organisasi dan individu yang bersetuju dengan tuntutan-tuntutan yang terkandung dalamnya. Pengendorsan boleh dibuat dengan mengisikan borang yang terdapat di bahagian bawah laman web Manifesto Rakyat.
Dokumen penuh Manifesto Rakyat boleh dimuat turun di sini.