oleh Suresh Kumar

Pada 21 April 2022, satu pendengaran kes telah berlangsung di Mahkamah Rayuan yang terletak di Putrajaya. Ini adalah kes di mana penduduk-penduduk Orang Asli (OA) di Kampung Kelaik memohon injunksi terhadap Kerajaan Negeri Kelantan dan 13 pihak lain. 13 pihak tersebut termasuk 10 buah syarikat yang sedang menceroboh wilayah adat OA Kampung Kelaik di Pos Blau, Gua Musang, Kelantan. Kegiatan syarikat ini termasuk pembalakan, perlombongan, perladangan dan dusun durian.

OA Kampung Kelaik telah mula memfailkan writ saman ini di Mahkamah Tinggi Kota Bahru pada bulan Mac 2021. Writ saman ini bertujuan untuk menuntut semula hak wilayah adat OA Kampung Kelaik. Dengan memfailkan writ saman ini, OA Kampung Kelaik telah memperoleh injunksi interim untuk menghentikan kerja-kerja 10 buah syarikat di wilayah adat OA. Injunksi ini bukanlah tindakan utama dalam writ saman ini, tetapi OA Kampung Kelaik berpendapat bahawa injunksi ini penting untuk menghentikan pemusnahan wilayah adat OA yang telah pun mencemarkan air minuman mereka.

Injunksi interim yang diberikan pada Mac 2021 telah dibatalkan pada bulan Ogos 2021 oleh hakim Mahkamah Tinggi Kota Bahru dengan alasan-alasan seperti berikut:

  1. Injunksi terhadap badan kerajaan tidak boleh diberikan menurut kes Tan Bun Teet dan Seksyen 29 Akta Prosiding Kerajaan.
  2. Memandangkan Orang Asli telah merayu untuk ganti rugi, ganti rugi akan menjadi remedi yang sepatutnya dan oleh itu tidak ada keperluan untuk injunksi. Defendan akan membuat pembayaran ganti rugi sekiranya Mahkamah Kota Bahru membuat keputusan bahawa tanah adat Orang Asli Kg Kelaik telah diberi milik secara salah.
  3. Bagi menyokong perkara (a), kerajaan mempunyai kuasa untuk memberi hak milik tanah dan meminta pampasan dibayar, dan oleh itu, injunksi tidak boleh terletak di sini (menurut Akta Pengambilan Tanah).
  4. Mahkamah tidak yakin dengan dakwaan bahawa jika injunksi tidak diberikan maka akan menjejaskan kehidupan Orang Asli. Jika ini berlaku, adalah tidak munasabah untuk mereka tidak menyedari kewujudan Defendan.

OA Kampung Kelaik tidak bersetuju dengan keputusan hakim Mahkamah Tinggi Kota Bahru itu, dan telah memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan di Putrajaya pada bulan September 2021. Kes ini telah didengar pada 21 April 2022 yang lalu.

Hakim Suraya Othman yang mempengerusikan pendengaran pada 21 April 2022, bersama Hakim Supang Lian dan Hakim Ghazali Cha, telah memutuskan bahawa injunksi tidak boleh diberikan terhadap semua 14 defendan. Antara alasan yang telah diberikan ialah injunksi tidak boleh diambil ke atas kerajaan atau ejen-ejen kerajaan. Apa yang mengejutkan OA Kampung Kelaik adalah apabila hakim-hakim ini sebulat suara menakrifkan 10 buah syarikat yang menceroboh wilayah adat OA Kampung Kelaik itu sebagai ejen kerajaan. Oleh sebab itu, hakim-hakim ini berpendapat bahawa injunksi tidak boleh diberikan ke atas 10 buah syarikat yang menceroboh wilayah adat OA Kampung Kelaik.

Keputusan ini bukan sahaja mengejutkan, malah mewujudkan satu “duluan” yang tidak sihat dalam perjuangan OA Semenanjung Malaysia menuntut hak wilayah adat mereka. 10 buah syarikat ini menceroboh wilayah tanah adat OA dan merupakan entiti yang membuat keuntungan dengan memanipulasi kekayaan sumber alam. Bagaimanakah syarikat-syarikat ini boleh dikatakan sebagai ejen kerajaan?

Pandangan hakim semasa pendengaran yang menyamakan 10 buah syarikat ini dengan syarikat pembinaan lebuhraya, UEM Engineering, juga dilihat sebagai satu perbandingan yang salah. Walaupun UEM Engineering mengaut keuntungan melalui pembinaan lebuhraya, namun lebuhraya dibina dengan niat memberi keselesaan kepada kelompok masyarakat yang besar (rakyat Malaysia). Adakah tujuan 10 buah syarikat penceroboh wilayah adat OA Kampung Kelaik juga sama seperti UEM Engineering?

Semasa pendengaran kes, OA Kampung Kelaik juga tidak selesa dengan kenyataan yang diajukan berkali-kali oleh hakim berkaitan peluang pekerjaan kepada masyarakat OA Kampung Kelaik oleh syarikat-syarikat penceroboh itu. Hakim sentiasa mengaju persoalan kepada peguam OA Kampung Kelaik sama ada kehadiran 10 buah syarikat ini mewujudkan peluang pekerjaan atau tidak kepada OA Kampung Kelaik. Sebagai hakim Mahkamah Rayuan, hakim-hakim ini perlu lebih arif bahawa kehilangan sumber alam mendorong OA Kampung Kelaik menjadi “penerima upah”(wage earner). Pilihan untuk OA Kampung Kelaik makan gaji dengan 10 buah syarikat penceroboh itu bukanlah satu pilihan, tetapi satu “paksaan” akibat kehilangan cara hidup yang lebih progresif, seperti mengutip sumber alam, memburu, memancing, dan bertani kecil-kecilan.

Kesimpulannya, OA Kampung Kelaik tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Rayuan dan telah membuat keputusan untuk merayu kes injunksi ini di Mahkamah Persekutuan. Perjuangan menuntut hak wilayah adat OA Kampung Kelaik diteruskan. Syabas kepada Ahak Uda dan penduduk Kampung Kelaik yang terus cekal berjuang walaupun dengan kekangan kewangan dan kekalahan di mahkamah.

==========

Suresh Kumar ialah aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM).

One thought on “Keputusan Mahkamah Rayuan mengejutkan: Syarikat swasta yang ceroboh tanah adat OA itu boleh ditakrif sebagai “ejen kerajaan”?

  1. Ini lah kuasa duit, pemerantah pegang kuasa,taukeh2 pegang duit,? Mana yang lebih berkuasa,………….?

Leave a Reply to Koi b. Ting Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *