Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ), Projek Rumah Mampu Biaya, Lot Bumiputera dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) adalah antara projek perumahan yang sudah tidak asing lagi dalam kalangan rakyat Johor, kononnya didirikan supaya rakyat berpendapatan sederhana (M40) dan rendah (B40) dapat memiliki rumah sendiri.
Walaupun inisiatif ini memberikan gambaran bahawa rancangan perumahan mampu milik adalah bernas mengikut keperluan semasa, terdapat beberapa isu yang tidak diendahkan oleh penggubal polisi di peringkat negeri dan persekutuan. Secara tidak langsung, keikhlasan polisi ini menjadi tanda soal dari segi pelaksanaannya.
Masalah utama masyarakat Johor adalah jumlah pendapatan kebanyakan isi rumah yang tidak selaras dengan keperluan ekonomi semasa. Kajian menyatakan bahawa “tekanan kemampuan perumahan” (housing affordability stress) berpunca daripada keadaan yang memaksa individu berbelanja lebih daripada 30% pendapatannya sebagai bayaran ansuran rumah. Jumlah ini tidak lagi mengambil kira kos-kos lain seperti kos penyelenggaraan, pembaikan dan sebagainya.
Kemampuan sebahagian besar rakyat Johor untuk memiliki rumah di pasaran amat terhad kerana projek-projek perumahan di Johor mengutamakan rumah-rumah yang bernilai dalam lingkungan RM250 ribu hingga RM500 ribu dan rumah mewah bernilai RM500 ribu hingga RM1 juta yang hanya mampu dimiliki golongan yang “rumah gendang bersendi perak”. Golongan marhaen pula hanya mampu berangan!
Kajian menunjukkan bahawa permintaan rumah kos rendah kian meningkat, tetapi nisbah pembinaannya tidak selaras dengan permintaan tersebut. Adakah ini takdir masyarakat marhaen Johor yang tidak dapat diubah mahupun disoal? Parti Sosialis Malaysia (PSM) dengan rekod luar biasa dalam memperjuangkan isu-isu marhaen mengesyorkan dua langkah awal dalam merangka penyelesaian kepada masalah perumahan di Johor.
Pertama, “keluarkan penyediaan perumahan rakyat daripada pasaran”. PSM akan meneruskan tuntutannya supaya kerajaan menggubal dasar perumahan negara yang ikhlas. PSM berpendapat bahawa tanggungjawab menyediakan rumah pertama harus diambil alih kerajaan dan bukannya diberikan kepada pihak swasta yang mementingkan keuntungan semata-mata. Langkah ini amat penting kerana segala pengaruh faktor pasaran seperti harga tanah, evaluasi nilai tanah dan sebagainya dapat dielakkan daripada menentukan kos dan harga rumah yang akan didirikan untuk warga B40. Kos tanah pula hendaklah diserap oleh kerajaan negeri.
PSM bertegas bahawa perumahan golongan miskin mesti diberikan kelonggaran berdasarkan kemampuan kewangan mereka. Dengan ini, pinjaman bank munasabah dengan faedah rendah perlu dijaminkan oleh pihak berkuasa agar rakyat mampu membeli rumah kos rendah yang ditawarkan kepada mereka.
Insurans rumah “Mortgage Reducing Term Assurance” (MRTA) pula mesti diwajibkan ke atas semua rumah yang dijual sebagai perlindungan jika pembeli kehilangan punca pendapatan untuk membayar ansuran rumah.
Langkah kedua adalah ‘tubuhkan amanah yang bukan bermotifkan keuntungan (non-profit trust) untuk bekalkan perumahan B40/M40”. PSM menekankan bahawa penubuhan amanah yang bukan bermotifkan keuntungan (non-profit trust) adalah penting untuk membekalkan perumahan kepada golongan B40/M40.
Amanah ini akan bertanggungjawab dalam mengenal pasti keperluan perumahan rakyat, mengelola permintaan, dan membina rumah untuk rakyat dengan dana kerajaan. Rumah yang dibina tidak digunakan untuk permodalan keuntungan, tetapi untuk mengisi keperluan perumahan rakyat. Rumah tersebut tidak boleh dijual kepada pasaran dan jika perlu, dijual balik dengan harga asal kepada amanah untuk dibekalkan kepada mereka yang memerlukannya.
Spekulasi harga rumah juga perlu dikawal. Jika gagal dijual balik, maka perlu diwujudkan perundangan yang membolehkan kerajaan mengambil alih rumah tersebut agar boleh diperuntukkan kepada pemohon B40 yang seterusnya.
PSM yakin bahawa tuntutan-tuntutan yang diusulkan dapat dilaksanakan jika kuasa rakyat dapat digembleng kerana perubahan besar bermula dengan langkah pertama yang kecil, iaitu penglibatan PSM dalam Pilihan Raya Negeri Johor di Kota Iskandar (N49) di mana saudara Ara akan membawa suARA rakyat bawah payung PSM. Sebagai sebuah parti berjiwa marhaen, PSM akan sentiasa berdiri bersama rakyat!
Selamat Mengundi! Hidup Rakyat!
**********
Azillah, S., Nor Diyanah, S., Ishak, I., Norhaslina, J., Noorsidi Aizuddin, M.N., & Mohd Shahril, A.R. (2019). Housing Affordability Stress Among Generation Y in Johor Bahru, Malaysia. International Journal of Scientific & Technology Research. Vol. 8(12).
Lim, G., & Khoon, N.K. (2020). Housing Policy in Johor: Trends and Prospects. In F.E. Hutchinson & R. Serina (Eds.), Johor: Abode of Development. ISEAS – Yusof Ishak Institute.
Parti Sosialis Malaysia. (2021). Permintaan Rakyat Mudah Aje: Pemulihan Nasional Haluan Baruan Untuk Malaysia. https://sosialis.net/2021/09/09/permintaan-rakyat-mudah-je-psm-lancar-cadangan-pelan-tindakan-alternatif-untuk-pemulihan-nasional/
Bagaimana Nak Mohon Rumah Mampu Milik Johor (RMMJ)? (2022, January 12). Property Guru. https://www.propertyguru.com.my/property-guides/cara-mohon-rumah-mampu-milik-johor-rmmj-23976
Chen Huat, W. (2022, February 17). Harga rumah dan nilai undi di Johor. Premium Sinar Harian. https://premium.sinarharian.com.my/article/180769/mediasi-kritis/cetusan/harga-rumah-dan-nilai-undi-di-johor
Amir, Y. (2021, June 12). IN FOCUS: How Johor’s residential property market has been hit hard by COVID-19. Channel News Asia. https://www.channelnewsasia.com/asia/covid19-johor-selling-condo-property-market-malaysia-1838926
==========
Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.