21 JUN 2021: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH 2.0) melancarkan Kempen Simulasi Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat yang bertemakan “Pecat atau Kekal?” pada hari ini dalam satu sidang akhbar atas talian. Kempen tidak berpihak (non-partisan) ini bertujuan untuk memperkasakan pengundi dalam tempoh antara pilihan raya umum (PRU) sekiranya wakil rakyat mereka melompat parti.
Menurut Thomas Fann, Pengerusi BERSIH 2.0, idea untuk memperkenalkan pilihan raya pecat wakil rakyat timbul selepas kemelut politik yang menghantui negara kita berikutan Langkah Sheraton pada Februari 2020 yang menyaksikan keruntuhan Kerajaan Persekutuan melalui lompat parti oleh sekumpulan Ahli Parlimen dan Parti BERSATU membentuk kerajaan baharu dengan pembangkang ketika itu. Sembilan bulan seterusnya pula menyaksikan keruntuhan enam lagi Kerajaan Negeri, desas desus rampasan semula kuasa, pilihan raya mengejut, dan perubahan kesetiaan oleh wakil rakyat mahupun oleh parti. Oleh itu, BERSIH 2.0 memberi tumpuan bagi mengenalpasti kesemua kelemahan politik yang wujud seperti yang ditunjukkan dalam peristiwa Langkah Sheraton. Pihak BERSIH 2.0 telah menghasilkan 10 laporan kajian yang melihat kepada amalan baik di seluruh dunia dan memberikan beberapa cadanga konkrit untuk menggubal undang-undang baharu atau meminda undang-undang yang sedia ada agar kita dapat memperkukuhkan demokrasi berparlimen di negara kita.
“Dorongan BERSIH 2.0 untuk melancarkan kempen ini adalah gelombang kedua lompat parti pada ulangtahun Langkah Sheraton apabila Ahli Parlimen Tebrau dan Julau, kemudiannya Kuala Langat melompat. BERSIH 2.0 menyedari bahawa perlunya ruang untuk pengundi menyatakan ketidakpuasan hati dan supaya dapat memberi mesej kepada Ahli Parlimen mereka,” begitu katanya kenyataan yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Pemandu BERSIH 2.0 bersempena dengan pelancaran Kempen “Pecat atau Kekal”.
Salah satu pembaharuan undang-undang yang diusulkan oleh BERSIH 2.0 bagi menangani isu lompat parti atau lompat gabungan, ialah pelaksanaan Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat. Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat adalah berbeza dengan Undang-undang Anti-Lompat Parti (ALP), kerana mekanisme Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat tidak melarang wakil rakyat daripada melompat parti dan kerusi yang dipegang oleh seseorang wakil rakyat itu tidak akan dikosongkan secara automatic apabila wakil rakyat berkenaan berubah parti atau dibuang oleh partinya. Kebebasan Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk berpersatuan dengan parti pilihan masing-masing atau untuk menjadi wakil rakyat bebas masih dijamin di bawah mekanisme Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat.
Thomas Fann berkata, “Mekanisme pilihan raya pecat wakil rakyat membenarkan pengundi untuk menyingkirkan wakil rakyat mereka dalam tempoh antara Pilihan Raya Umum sebelum penggalnya berakhir, sekiranya pengundi tidak bersetuju dengan wakil rakyat tersebut. Ini akan benar-benar memperkasakan pengundi untuk mempertanggungjawabkan wakil rakyat mereka sepanjang penggal berbanding terpaksa menunggu setiap lima tahun sekali untuk mengundi.”
“Kami melancarkan Kempen Pecat atau Kekal untuk melibatkan rakyat Malaysia dan mendedahkan kepada mereka mekanisme yang dapat mengembalikan kuasa rakyat dan dalam proses ini, kami berharap ianya dapat mengembalikan harapan terhadap sistem politik kita,” ulas Thomas Fann, “Tujuan menganjurkan kempen Simulasi Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat adalah untuk membawa kesedaran rakyat supaya masyarakat umum akan menyokong pembaharuan ini.”
Dalam Kempen Pecat atau Kekal ini, BERSIH 2.0 akan bertindak sebagai Jawatankuasa Pilihan Raya (JPR) dan menawarkan diri untuk mengendalikan Simulasi Pilihan Raya Pecat di kawasan wakil rakyat yang melompat parti.
Syarat minimum untuk memulakan satu simulasi pilihan raya pecat di sesuatu kawasan adalah 3% pengundi yang berdaftar di kawasan tersebut perlu menandatangan petisyen atas talian. Setelah BERSIH 2.0 mengesahkan 3% pengundi atas talian tersebut adalah pemilih berdaftar, simulasi pilihan raya pecat akan dibuka secara atas talian. Sekurang-kurangnya 10% pengundi berdaftar daripada kawasan tersebut perlu menyertai dan undi “Ya” perlu melebihi undi “Tidak” sebelum wakil rakyat yang disasarkan itu dianggap sebagai dipecat.
Menurut BERSIH 2.0, sistem e-undi (e-voting) yang digunakan dalam kempen ini adalah aplikasi yang selamat, telus dan mesra pengguna yang dibina oleh rakan teknologi BERSIH 2.0, ReGov Technologies. Pengundi boleh memberi kepercayaan kepada keselamatan sistem ini sebagaimana mereka percaya kepada sistem perbankan elektronik kerana ianya disertakan ciri keselamatan bagi memastikan kesahihan pengundi disamping melindungi kerahsiaan pengundi.
“Walaupun simulasi pilihan raya pecat ini tidak menentukan wakil yang berpaling tadah ini kekal atau dipecat, ianya adalah satu langkah ke arah untuk pilihan raya pecat ini digubal sebagai undang-undang di Malaysia. Dalam masa itu, simulasi pilihan raya pecat ini menyediakan saluran kepada pengundi agar suara dan pilihan mereka didengari kepada wakil rakyat yang berpaling tadah,” tambah Thomas Fann.
Sidang akhbar atas talian pelancaran Kempen “Pecat atau Kekal” pada hari ini telah dihadiri oleh wakil parti politik dan badan bukan kerajaan (NGO), termasuk Tan Sri Ariff Yusuf (bekas Yang Di-Pertua Dewan Rakyat), Ong Kian Ming (Ahli Parlimen Bangi), Wilfred Madius Tangau (Ahli Parlimen Tuaran), Wong Chen (Ahli Parlimen Subang), Fahmi Fadzil (Ahli Parlimen Lembah Pantai), Hussamuddin Yaacub (Editor Pengurusan Sinar Harian), Faisal Aziz (Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia), Tharma Pillai (Undi 18) dan S. Arutchelvan (Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia)
Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM), mengalu-alukan kempen ini kerana ia membawa idea untuk memperkasakan rakyat. “Pilihan Raya Pecat Wakil Rakyat ini membolehkan rakyat mendapat semula kuasa, kerana sekarang ini pengundi hanya berkuasa pada hari mengundi tetapi selepas itu sehingga pilihan raya akan datang, mereka tidak berkuasa,” kata Arutchelvan. “Walaupun kempen simulasi ini bukannya sempurna, tetapi idea bahawa mana-mana ahli politik boleh dipecat itu adalah penting. Marilah kita jadikan ini sesuatu yang berkemungkinan.”
**********
Layari laman web www.recall.bersih.org untuk maklumat lanjut berkenaan Kempen Pecat atau Kekal.
Jika anda ingin memulakan simulasi untuk memulakan pilihan raya pecat di kawasan anda, sila e-mail ke recall@bersih.org.