(Gambar: UNHCR)

20 Jun setiap tahun ialah Hari Pelarian Sedunia. Tema sambutan Hari Pelarian Sedunia tahun 2021 di peringkat antarabangsa ialah “Bersama kita sembuh, belajar dan bersinar” (Together we heal, learn and shine), sementara tema sambutan Hari Pelarian Sedunia di Malaysia ialah “Bersama kita boleh mencapai apa sahaja” (Together we can achieve anything).

Pada ketika pihak berkuasa di negara kita begitu ghairah untuk menangkap warga migran, termasuk pelarian, sehingga mengeluarkan poster yang menyebarkan sentimen xenofobia secara terang-terang dengan mesej seperti “migran etnik Rohingya, kedatangan anda tidak diundang”, adalah menjadi semakin ketara untuk kita meningkatkan kesedaran masyarakat umum tentang keadaan dan cabaran yang dihadapi oleh golongan pelarian, supaya mengikis fahaman xenofobia yang mendatangkan penderitaan yang lebih teruk lagi kepada golongan yang sudahpun menderita teruk.

Siapa itu pelarian?

Pelarian ialah orang yang terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka untuk melarikan diri daripada peperangan, keganasan, konflik atau ancaman yang dihadapi oleh mereka. Konvensyen Berkaitan dengan Status Pelarian 1951 memberi takrifan mengenai pelarian sebagai “seseorang yang tidak dapat atau tidak ingin kembali ke negara asalnya kerana ketakutan hebat akan dianiayai atas sebab-sebab kaum, agama, kewarganegaraan, keanggotaan dalam kumpulan masyarakat yang tertentu, atau pandangan politik.”

Menjadi pelarian itu bukannya pilihan seseorang, tetapi oleh sebab keadaan yang tidak membenarkan mereka untuk memilih sehingga terpaksa menjadi pelarian. Golongan pelarian biasanya terpaksa meninggalkan segala-galanya di kampung halaman mereka (seperti rumah kediaman tetap, pekerjaan dan orang kesayangan) untuk menyelamatkan diri daripada ancaman yang mungkin meragut nyawa atau menjejaskan kehidupan atau merampas kebebasan mereka.

Antara mereka yang menjadi pelarian termasuklah mangsa kezaliman Zionis apabila berlakunya Nakba di bumi Palestin pada tahun 1948, dengan 700,000 orang warga Palestin diusir keluar dari kampung halaman mereka pada masa itu dan sehingga kini masih terdapat lebih 5.7 juta orang pelarian Palestin yang berdaftar di bawah Agensi Bantuan dan Kerja Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian Palestin di Asia Barat (UNRWA).  

Kenapa menyambut Hari Pelarian Sedunia?

Pelarian diiktiraf dan dilindungi di bawah undang-undang antarabangsa, khususnya Konvensyen Berkaitan dengan Status Pelarian 1951. Konvensyen Pelarian ini diluluskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) pada 28 Julai 1951, dan mula berkuatkuasa pada 22 April 1954. Pada asalnya Konvensyen Pelarian 1951 dihadkan kepada memberi perlindungan kepada pelarian yang berada di Eropah sebelum 1 Januari 1951 (iaitu selepas Perang Dunia II), namun oleh sebab isu pelarian sudah menjadi satu masalah yang dihadapi di peringkat dunia, Protokol Berkaitan dengan Status Pelarian yang ditandatangani dan berkuatkuasa pada tahun 1967 membatalkan had tempoh masa dan geografi untuk perlindungan pelarian dalam Konvensyen Pelarian sejak itu.

Bersempena dengan ulangtahun ke-50 penandatanganan Konvensyen Berkaitan dengan Status Pelarian 1951, Perhimpunan Agung meluluskan Resolusi 55/76 pada 4 Disember 2000 yang memutuskan bahawa 20 Jun setiap tahun mulai 2001 disambut sebagai Hari Pelarian Sedunia.

Sambutan Hari Pelarian Sedunia bertujuan untuk mengingatkan seluruh dunia bahawa wujudnya golongan yang terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka kerana ancaman penganiayaan, pencabulan hak asasi manusia, konflik dan keganasan. Hari Pelarian Sedunia mengetengahkan penderitaan yang dihadapi oleh golongan pelarian dan keperluan untuk menyediakan perlindungan yang sesuai kepada mereka demi menjamin hak asasi manusia dan maruah mereka.

Menurut perangkaan Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR), sehingga penghujung tahun 2020, terdapat sebanyak 82.4 juta orang menjadi pelarian di seluruh dunia, di mana 48 juta orang ialah pelarian dalam negara (internally displaced people), 20.7 juta orang merupakan pelarian di bawah mandat UNHCR, 5.7 orang pelarian Palestin di bawah mandat UNRWA, dan 4.1 juta orang merupakan pencari suaka. Lebih kurang separuh daripada pelarian ini merupakan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun. Sementara itu, terdapat juga jutaan orang yang tidak mempunyai kewarganegaraan (stateless people), yang hidup dalam keadaan dinafikan akses kepada hak asasi seperti pendidikan, kesihatan, pekerjaan dan kebebasan bergerak.

Nasib pelarian di Malaysia

Di Malaysia, setakat akhir bulan Mei 2021, terdapat lebih kurang 179,570 orang pelarian dan pemohon suaka berdaftar dengan UNHCR di Malaysia, termasuk mereka yang sudah berada di negara kita untuk tempoh masa yang berdekad-dekad lamanya. Antaranya 45,980 orang merupakan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun. Angka ini tidak termasuk lagi mereka yang belum berdaftar dengan UNHCR ataupun kedatangan yang baharu. Majoriti daripada pelarian dan pemohon suaka di Malaysia datang dari negara Myanmar yang dilanda dengan pelbagai konflik. Terdapat sebanyak 154,840 orang pelarian yang berdaftar dengan UNHCR di Malaysia datang dari Myanmar, antaranya 102,950 orang ialah orang Rohingya, 22,490 orang Chin dan 29,400 orang lagi dari kumpulan etnik yang lain, di mana semuanya datang dari kawasan yang dilanda konflik ataupun menghadapi penganiayaan daripada pihak berkuasa Myanmar yang zalim. 24,730 orang pelarian dan pemohon suaka yang lain pula datang dari 50 buah negara, termasuk Pakistan, Yaman, Syria, Somalia, Afghanistan, Sri Lanka, Iraq, Palestin dan sebagainya.

Golongan pelarian dari Myanmar dan negara-negara yang lain sanggup merantau jauh datang ke Malaysia, bukan kerana mereka suka pada iklim ataupun suasana mesra atau kehidupan yang senang di negara kita, tetapi akibat daripada ancaman serius di kampung halaman mereka sendiri sehingga mereka tiadanya pilihan yang lain kecuali melarikan diri. Kebanyakan pelarian ingin pulang semula ke kampung halaman mereka, sekiranya konflik di kampung halaman mereka telah tamat ataupun keadaan mengizinkan, tetapi bukannya sekarang dan tidak patut dihantar pulang secara paksa, kerana mereka akan berdepan semula dengan ancaman nyawa dan kehidupan sekiranya pulang.

Oleh sebab negara Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Pelarian 1951 dan Protokol 1967, Kerajaan Malaysia tidak mempunyai kerangka undang-undang atau dasar untuk mengawalselia status dan hak pelarian di negara kita. Ini menyebabkan golongan pelarian di negara kita menjadi golongan rentan yang hidup dalam keadaan susah (dengan tiadanya perlindungan hak kesihatan, pendidikan dan pekerjaan), malah sering menghadapi ancaman ditangkap oleh pihak berkuasa. Lebih teruk lagi adalah, dalam keadaan semua orang (termasuk migran dan pelarian) berdepan dengan ancaman pandemik, golongan pelarian menghadapi pula ancaman tindakan yang lebih represif lagi dan bersifat xenofobik daripada pihak berkuasa.

Adalah penting untuk kita sedar bahawa pelarian bukannya musuh kepada kita. Mereka juga bukannya “beban masyarakat”. Pelarian juga manusia. Pelarian juga perlu menjalani kehidupan mereka secara bermaruah seperti manusia yang lain. Apabila pandemik melanda, pelarian juga akan dijangkiti wabak seperti warganegara yang lain. Pengalaman dunia kita dalam menangani ancaman pandemik COVID-19 jelas menunjukkan bahawa kita hanya akan berjaya menewaskan virus yang berbahaya itu apabila kita semua bersatu tanpa mengira perbezaan latar belakang. Seperti semua orang yang inginkan kehidupan yang lebih baik, sekiranya diberikan peluang, golongan pelarian juga akan menyumbang kepada pembinaan sebuah dunia yang lebih selamat, selesa dan sesuai untuk diduduki semua orang. “Kita jaga kita” hanya menjadi slogan yang kosong dan tidak bermakna sekiranya golongan pelarian dikecualikan daripada “kita” itu.

Seperti yang terkandung dalam makna tema sambutan Hari Pelarian Sedunia 2021, “Bersama kita boleh mencapai apa sahaja”, merangkumkan golongan pelarian dalam usaha memerangi pandemik dan pembinaan semula ekonomi masyarakat (dengan cara mengiktiraf dan melindungi hak pelarian), sudah pasti masyarakat kita akan dapat mengharungi cabaran hebat sekarang dengan kekuatan yang lebih besar lagi.

Kita harus tingkatkan kesedaran kita tentang keadaan yang dihadapi oleh masyarakat pelarian dan menghormati hak asasi manusia untuk semua pelarian. Kerajaan Malaysia harus menandatangani Konvensyen Pelarian 1957 dan Protokol 1967 untuk menyatakan komitmen kita dalam melindungi hak asasi pelarian dalam usaha kita membina sebuah masyarakat yang benar-benar bersifat penyayang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *