oleh Sharan Raj

Tindakan Kementerian Kewangan menjemput Ranhill Berhad untuk membeli Indah Water Konsortium (IWK) merupakan contoh ketara pendekatan menasionalkan kos dan menswastakan keuntungan.

Selama 27 tahun, cukai dan sokongan rakyat telah diberikan kepada IWK untuk membangunkan sistem pembetungan awam. IWK telah memastikan rakyat Malaysia menikmati sistem pembetungan berkualiti yang melindungi alam sekitar kita. Parti Sosialis Malaysia (PSM) menghargai dedikasi dan sumbangan para pekerja IWK kepada pembangunan negara.

Pada tahun lepas, kenaikan tarif IWK telah dicadangkan untuk mengurangkan defisit kewangan. Sekarang ini, Kementerian Kewangan ingin menjual IWK yang stabil dan kukuh kepada Ranhill Bhd. Jelas sekali, Ranhill Berhad akan mendapat keuntungan tetap dengan mudah daripada aset yang dibiayai oleh rakyat.

Dari masa ke semasa, kerajaan negeri telah membuat permohonan untuk menggabungkan IWK dengan syarikat bekalan air negeri masing-masing. Kenapa Kementerian Kewangan enggan menyerahkan IWK kepada kerajaan negeri tetapi beria-ia untuk menjual kepada syarikat swasta?

Parti Sosialis Malaysia (PSM) menyeru pada Kementerian Kewangan supaya menghentikan penswastaan harta awam dan menyerahkan IWK kepada syarikat bekalan air negeri.

==========

Sharan Raj ialah Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) merangkap Penyelaras Biro Alam Sekitar & Krisis Iklim PSM.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *