Diego Armando Maradona, lagenda bola sepak dari Argentina yang terkenal di dunia, meninggal dunia pada 25 November 2020 di rumahnya di Tigre, wilayah Buenos Aires, Argentina, pada umur 60 tahun.
Sebagai kapten pasukan bola sepak negara Argentina yang memenangi pertandingan Piala Dunia pada tahun 1986, selain meninggalkan banyak kenangan dalam ingatan peminat bola sepak kerana persembahannya yang hebat di atas padang bola sepanjang kerjayanya, Maradona juga meninggalkan warisan politik yang patut diraikan oleh golongan kiri di seluruh dunia.
Maradona bukan sahaja pemain bola sepak yang paling hebat di dunia, tetapi juga seorang anti-imperialis dan sosialis yang menjadi sekutu rapat kepada usaha memperjuangkan keadilan sosial khususnya di Dunia Ketiga.
Maradona dilahirkan dalam sebuah keluarga miskin dan dibesarkan di sebuah villa, iaitu kawasan petempatan golongan miskin kota, di pinggiran bandaraya Buenos Aires, yang tiada bekalan air. Maradona tidak pernah melupakan asal usulnya yang miskin ini dan tetap lantang memperjuangkan nasib golongan tertindas. Semasa Maradona bertemu dengan Paus John Paul II pada tahun 1987 di Vatican, beliau berasa muak apabila mendengar Paus itu bercakap tentang prihatin kepada kanak-kanak miskin sedangkan siling gereja penuh dengan emas. Maradona memberitahu Paus John Paul II bahawa lebih baik menjual siling emas itu daripada pergi ke negara miskin dan mencium kanak-kanak di situ dengan perut yang kenyang.
Sebagai seorang pemain bola sepak dan kemudiannya pengurus pasukan bola sepak, Maradona pernah terlibat dalam usaha untuk melawan amalan korupsi yang wujud dalam Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA). Maradona juga berusaha untuk membentuk kesatuan bagi pemain-pemain bola sepak pada tahun 1990-an demi memperjuangkan kebajikan pemain bola sepak profesional.
Maradona pernah menyokong secara terbuka gerakan dan kerajaan yang berhaluan kiri, sosialis dan progresif, khususnya di Amerika Latin. Semasa mendapat rawatan di Kuba untuk masalah kesihatannya yang disebabkan ketagihan dadah dan alkohol, Maradona telah menjalin hubungan persaudaraan yang rapat dengan Fidel Castro, pemimpin revolusioner Kuba. Maradona mempunyai tatu gambar Che Guevara di lengan kanannya dan tatu gambar Castro di kaki kirinya (kaki yang paling kerap digunakannya untuk melakukan hantaran maut), sebagai tanda penghormatannya kepada Revolusi Kuba.
Maradona juga menyokong kuat pemimpin kiri lain di Amerika Latin seperti Hugo Chávez di Venezuela dan Evo Morales di Bolivia. Maradona pernah mengisytihar pendiriannya yang anti-imperialisme. Semasa Persidangan Kemuncak Amerika di Mar del Plata, Argentina, pada tahun 2005, Maradona membantah kehadiran Presiden Amerika Syarikat pada masa itu George W. Bush dengan memakai kemeja-T yang tertera perkataan “STOP BUSH” (dengan huruf S digantikan dengan swastika).
Maradona juga mendukung perjuangan rakyat Palestin untuk melawan Zionis Israel dan menentukan nasib mereka sendiri. Beliau pernah berkata, “Aku ialah orang Palestin dalam hatiku.”
Sebagai seorang yang dipengaruhi oleh pemikiran sosialis dan anti-imperialis, Maradona tetap menjadi penyokong kuat kepada proses Revolusi Bolivar di Venezuela dan gerakan-gerakan sosial di Amerika Latin. Beliau tidak pernah hilang harapan terhadap golongan miskin dan golongan yang tertindas untuk membebaskan diri mereka daripada penindasan.
Maradona pernah berkata dalam satu siaran televisyen, “Kami melakukan apa yang diminta oleh rakyat, dan apa yang ditentukan oleh naluri… Kami tidak boleh dibeli. Kami ialah golongan kiri (kidal) pada kaki, kami ialah kiri pada tangan, dan kami ialah kiri pada minda. Ini harus diketahui rakyat, bahawa kami bercakap tentang kebenaran, bahawa kami mahukan kesamarataan, dan bahawa kami tidak mahu bendera Yankee (Amerika Syarikat) dipacak ke atas kami.”
Warisan Maradona, bukan sahaja di atas padang bola sepak tetapi juga semangat anti-imperialis yang ditunjukkannya, akan terus menjadi inspirasi kepada rakyat sedunia. El Diego, akan sentiasa dalam kenangan.