(Siri wawancara “Kesenian dan Keadilan Sosial” – 02)
Dalam wawancara yang kedua dalam siri “Kesenian dan Keadilan Sosial”, Sosialis.net menemuramah Tan Lay Heong, seorang pengamal seni yang berasal dari Pulau Pinang. Lay Heong ialah graduan ijazah sarjana muda dari National Taiwan University of Arts (NTUA). Tan sering memfokuskan karya kreatifnya dalam seni pemasangan (installation art), lukisan dan wayang kulit (shadow play). Lay Heong pernah terlibat dalam beberapa projek komuniti dan kem seni anak muda, di mana beliau mengadakan bengkel untuk menyebarkan idea kitaran semula secara kreatif (upcycling) melalui pembikinan seni dalam kehidupan harian. Lay Heong merupakan salah seorang pengasas kepada Plasticity Theatre Troupe, sebuah kumpulan teater yang menggunakan cara upcycling untuk persembahan bayangan atau wayang kulit.
==========
S: Sosialis.net
LH: Lay Heong
==========
S: Bilakah saudari mula menceburi diri dalam bidang seni? Apakah sebab ataupun motivasi yang mendorong saudari untuk melibatkan diri dalam kesenian ini?
LH: Saya terlibat dalam seni persembahan semasa masih berumur belasan tahun apabila menyertai persatuan drama. Saya pernah terlibat dalam menubuhkan sebuah kumpulan drama yang bernama Galaxy. Saya kemudiannya melibatkan diri dalam seni visual selepas tamat pengajian di universiti.
Selepas saya habis pelajaran sekolah menengah, saya telah terlibat dalam kerja-kerja yang berkaitan dengan kesenian. Pada masa dulu, apabila saya mula terdedah kepada kesenian, saya berasa sangat seronok. Ini kerana terdapat banyak kemungkinan dalam seni yang boleh diwujudkan. Semasa saya buat kerja-kerja yang berkaitan dengan kesenian, saya berasa saya sesuai dengan kerja-kerja ini. Saya suka pada kerja kesenian dan mendapat keseronokan daripadanya. Dengan umur semakin matang, saya dapat menemui halatuju saya dalam bidang kesenian ini. Saya mendapati bahawa kesenian boleh menjadi alat atau medium untuk menyampaikan informasi atau mengekspresi pandangan diri saya. Ia juga boleh digunakan untuk menghubungkan masyarakat.
***
S: Hasil seni saudari nampaknya sering mengitar semula bahan-bahan yang dibuang. Adakah apa sebab saudari berbuat demikian?
LH: Ini boleh dijejak kembali ke zaman saya masih belajar di universiti. Saya nampak rakan saya daripada Fakulti Seni Halus membazirkan banyak wang untuk menghasilkan karya seni. Bahan-bahan untuk karya seni yang digunakan sekali dan dibuang. Oleh sebab saya tinggal di asrama dan perlu mengosongkan bilik sebelum cuti penggal, saya mendapati banyak sampah yang dibuang semasa pembersihan bilik adalah bahan-bahan untuk menghasilkan karya seni. Saya rasa bahan-bahan ini masih elok sebenarnya, dan memerlukan masa yang Panjang untuk dikitar semula jika dibuang. Sejak itu, mula timbulnya idea untuk menggunakan semula bahan-bahan ini dalam minda saya. Selepas habis pengajian dan pulang ke Malaysia, saya telah menyertai pelbagai projek yang berlainan, pernah menyertai program-program yang dianjurkan oleh Arts-Ed, pernah menjadi faksilitator untuk program yang dikelola oleh Aida Redza, dan sebagainya. Semasa saya terlibat dalam projek komuniti di kawasan perumahan PPR Sungai Pinang, satu projek yang berkaitan dengan kitaran semula, saya menggunakan sampah untuk membikin set, mendapati bahawa banyak kemungkinan untuk bahan-bahan buangan ini digunakan semula. Sementara itu, semasa saya membantu sebuah kumpulan teater dalam membikin persembahan drama kanak-kanak, saya bertanggungjawab dalam mengatur wayang kulit, dan dari situ mendapati bahawa cahaya yang bersinar menembusi bahan plastik itu agak cantik dan menarik. Saya kemudiannya menubuhkan Plasticity Theatre Troupe bersama dengan tiga orang rakan saya, kami mengumpulkan bahan plastik yang dibuang untuk melakukan persembahan. Kami mengutip plastik yang dibuang ke dalam tong sampah, dan dari situ kami mendapati terdapat terlalu banyak sampah plastik di sekitar kita.
Apa yang kami buat adalah upcycling, iaitu mengitar semula secara kreatif. Saya menggunakan kaedah upcycling untuk menghasilkan pameran. Saya mula terlibat dalam projek yang mengajar kanak-kanak buat upcycling. Sepanjang lima tahun yang lalu, saya cuba menyampaikan idea tentang upcycling ini melalui persembahan. Ini memang dapat menyampaikan mesej dan kesedaran kepada orang ramai. Saya mempraktik upcycling mulai dari kehidupan harian saya, mengubah corak hidup saya dan mempengaruhi karya seni saya itu sendiri.
***
S: Bolehkah saudari berkongsi perkara atau detik yang paling tidak dapat dilupakan sepanjang pengalaman saudari melibatkan diri dalam bidang seni?
LH: Pernah sekali Plasticity membuat persembahan di negeri Johor, pada tahun 2018. Kami kembali ke negeri Johor untuk persembahan pada tahun seterusnya tetapi di tempat yang berlainan. Selepas persembahan itu, sepasang ibu bapa yang membawa anak mereka untuk menonton persembahan itu berkata bahawa mereka pernah menonton persembahan itu setahun sebelum itu, dan mereka memutuskan untuk dating menonton semula. Mereka berkata bahawa persembahan kami memberi impak yang mendalam kepada anak perempuan mereka yang berumur 4-5 tahun itu. Mereka berkata, impak menonton persembahan itu jauh lebih besar berbanding dengan pesanan mereka kepada anak mereka untuk melindungi alam sekitar sebelum itu. Anak mereka menjadi lebih peka kepada perlindungan alam sekitar selepas menonton persembahan. Pengalaman yang dikongsikan oleh ibu bapa itu memberi rangsangan yang kuat kepada kami.
***
S. Apakah pandangan saudari tentang fungsi seni dalam masyarakat dan hubungannya dengan kehidupan masyarakat?
LH: Seni ialah medium ataupun penghubung masyarakat yang menghubungkan masyarakat dengan mesej yang hendak kita sampaikan tanpa mengira apa mesej itu. Apabila diadakan ceramah, mungkin ada orang susah menghadam maklumat yang disampaikan, namun apabila diolah ke dalam bentuk seni seperti persembahan tarian, impaknya akan berbeza. Seni boleh menjadikan mesej kita lebih menarik. Misalnya, untuk penyelidikan tentang hutan paya bakau, laporan akademik mungkin agak membosankan untuk ramai orang membacanya, tetapi jika ia dipersembahkan dalam bentuk yang dipermudahkan atau dengan cara persembahan seni, ia akan dapat lebih mudah dihubungkan dengan orang ramai. Seni dapat menterjemahkan perkara yang serius kepada bentuk yang lebih mudah diserap oleh orang ramai. Seni boleh menjadi medium yang sangat berkesan untuk menghubungkan mesej yang hendak disampaikan kepada masyarakat umum.
***
S: Sejauh mana seni itu dapat mencerminkan realiti dunia kita dan bolehkah ia mengubah realiti masyarakat?
LH: Seni itu memang ada impaknya kepada masyarakat, dan membolehkan kita memberi perhatian kepada sesuatu isu masyarakat. Misalnya, ada sebuah filem Korea yang bertajuk “Silenced” (2011), sebuah filem tentang gangguan seksual terhadap pelajar kecil dengan masalah pendengaran, apabila ia ditayangkan, ia mengundang reaksi yang hebat daripada rakyat Korea Selatan dan berjaya mendesak parlimen untuk meminda undang-undang supaya membatalkan had masa untuk pendakwaan terhadap jenayah seksual terhadap kanak-kanak bawah umur dan orang kurang upaya. Bagi saya, walaupun produksi kami di sini adalah kecil, dan mungkin impaknya tidak begitu besar, tetapi masih boleh mengubah minda masyarakat secara perlahan-lahan dan berterusan.
***
S: Pada pandangan saudari, apakah isu masyarakat yang paling kritikal yang perlu kita tangani sekarang?
LH: Saya berpandangan bahawa ancaman terhadap alam sekitar semakin serius. Banyak masalah yang wujud sekarang, seperti perubahan iklim, merupakan kesan daripada tindakan kita merosakkan alam semulajadi sebelum ini. Ini menyebabkan banyak usaha dan langkah yang kita ambil sekarang hanyalah untuk mengurangkan kesan-kesan itu ataupun melambatkan proses menjadi lebih teruk. Kita memang perlu memberi lebih perhatian kepada bagaimana melindungi dan memelihara alam sekitar kita daripada kemusnahan yang lebih lanjut lagi.
***
S: Apakah prospek kesenian di Malaysia dalam mewujudkan suasana masyarakat yang berpemikiran progresif dan prihatin pada isu-isu keadilan sosial?
Masih terdapat banyak kekangan untuk pengamal-pengamal seni dari segi politik dan pendanaan. Ada banyak isu yang hendak disampaikan oleh pengamal seni boleh dianggap sebagai “sensitif” dan menyebabkannya ditapis, misalnya isu berkaitan dengan seks dan politik. Berbanding dengan Taiwan di mana suasana keseniannya yang lebih terbuka, negara Malaysia memang mempunyai banyak sekatan. Namun begitu, para pengamal seni juga akan cuba menggunakan pelbagai cara yang kreatif untuk menyampaikan pandangan mereka, dan tidak menyatakan sesuatu dengan terlalu terus terang.
Satu lagi isu adalah sokongan dana untuk bidang seni. Ramai pengamal seni menghadapi cabaran untuk menyara hidup. Ada yang menghadapi masalah seperti penyewaan tempat, dan banyak lagi. Dalam menghadapi krisis COVID-19 ini, sokongan yang diberikan kepada artis pun tidak mencukupi. Di samping itu, masyarakat kita secara umumnya juga tidak mementingkan kesenian, dan tiada banyak sokongan. Lebih-lebih lagi, adanya ramai ibu bapa menganggap bidang seni itu tidak dapat cari makan, maka tidak menggalakkan anak-anak mereka untuk terlibat dalam bidang seni.
***
S: Ada apa-apa pesanan saudari kepada anak-anak muda yang hendak menceburi diri dalam bidang seni?
Sesiapa yang ingin menceburi diri dalam bidang ini, harus mempunyai minat terhadap seni. Perlu adanya persediaan psikologi untuk menghadapi banyak rintangan, seperti tiada sokongan daripada ahli keluarga, tiada dana, penonton yang sedikit datang untuk menyaksikan persembahan, dan sebagainya. Jika adanya keinginan dan kesungguhan untuk melibatkan diri dalam bidang seni, memang akan dapat membolehkan perkembangan diri dan proses mengenali diri sendiri.
==========
Rencana yang lain dalam siri wawancara “Kesenian dan Keadilan Sosial”:
1. Ilmu kunci pemikiran terbuka (Wawancara bersama Al Jafree Md Yusop)
One thought on “Seni sebagai penghubung masyarakat dengan mesej yang serius (Wawancara bersama Tan Lay Heong)”