20 Jun setiap tahun ialah Hari Pelarian Sedunia. Sambutan Hari Pelarian Sedunia bertujuan untuk meningkatkan kesedaran tentang situasi yang dihadapi oleh masyarakat pelarian di seluruh dunia.
Hari Pelarian Sedunia disambut setiap tahun selepas Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) meluluskan Resolusi 55/76. Resolusi tersebut menetapkan bahawa 20 Jun setiap tahun mulai 2001 akan disambut sebagai Hari Pelarian Sedunia, bersempena dengan ulangtahun ke-50 penandatanganan Konvensyen Berkaitan dengan Status Pelarian 1951.
Pelarian merupakan mereka yang terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka untuk menyelamatkan diri daripada perang, konflik dan penindasan. Jutaan rakyat di banyak tempat di dunia hari ini menjadi pelarian (yang meninggalkan negara asal mereka) atau pelarian dalaman (yang menjadi pelarian dalam negara sendiri).
Menurut Pesuruhjaya Tinggi Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) yang juga dikenali sebagai Agensi Pelarian PBB, sehingga penghujung tahun 2019, terdapatnya 79.5 juta orang terpaksa meninggalkan kampung halaman mereka, bersamaan dengan 1% penduduk dunia hari ini. Antaranya, 26 juta orang merupakan pelarian yang mencari perlindungan di negara lain, 45.7 juta orang merupajan pelarian dalaman di negara sendiri, dan 4.2 juta orang merupakan pencari suaka (iaitu mereka yang meninggalkan kampung halaman tetapi status pelarian mereka masih belum dapat dikenalpasti oleh pihak berkuasa yang berkenaan). Daripada 26 juta orang pelarian yang disahkan status mereka, seramai 20.4 juta orang adalah di bawah mandat UNHCR, sementara 5.6 juta orang berada di bawah mandat Agensi Bantuan dan Kerja untuk Penduduk Pelarian Palestin di Timur Dekat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNRWA). Lebih kurang separuh daripada pelarian yang berada di luar negara asal ini merupakan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.
Sementara itu, terdapat juga lebih kurang 4.2 juta orang rakyat tanpa kewarganegaraan, yang telah dinafikan kewarganegaraan mereka oleh golongan yang berkuasa dan tiada akses kepada hak-hak asasi seperti pendidikan, kesihatan, pekerjaan dan kebebasan untuk bergerak.
80% daripada orang yang menjadi pelarian merupakan mereka yang datang dari negara atau wilayah yang terjejas oleh masalah ketidakjaminan makanan dan malnutrisi. Keadaan ini wujud kerana konflik bersenjata yang berterusan dan juga impak perubahan iklim yang menjejaskan bekalan makanan kepada rakyat di situ.
Di Malaysia, sehingga penghujung bulan April 2020, terdapat lebih kurang 177,800 orang pelarian dan pencari suaka yang berdaftar dengan UNHCR di negara ini. Antaranya, 153,060 orang adalah datang dari Myanmar, termasuk 101,280 orang Rohingya, 22,470 orang beretnik Chin dan 29,310 orang daripada kumpulan etnik lain dari Myanmar. Untuk lebih kurang 24,740 orang pelarian dan pencari suaka yang datang dari negara-negara lain, adalah termasuk 6,650 orang ialah warga Pakistan, 3,640 orang rakyat Yemen, 3,270 orang dari Somalia, 3,270 orang dari Syria, 2,650 orang dari Afghanistan, 1,760 orang dari Sri Lanka, 1,230 orang dari Iraq, 770 orang dari Palestin, dan yang lain dari negara lain. Lebih kurang 46,450 orang pelarian dan pencari suaka ini merupakan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun.
Pelarian yang berada di Malaysia mengalami kehidupan yang susah dan hak asasi mereka tidak dijamin langsung, kerana tiada pengiktirafan rasmi daripada pihak Kerajaan Malaysia mengenai status mereka sebagai pelarian. Negara Malaysia merupakan salah sebuah negara daripada sebilangan kecil negara yang belum lagi menandatangani Konvensyen Berkaitan dengan Status Pelarian 1951.
Walaupun kad atau dokumen yang dikeluarkan oleh UNHCR untuk mengesahkan status pelarian dan pencari suaka diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia, tetapi negara kita tidak mempunyai apa-apa undang-undang atau dasar kerajaan yang melindungi masyarakat pelarian, menyebabkan mereka sering menghadapi masalah seperti gangguan daripada pihak berkuasa yang menganggap mereka sebagai “pendatang tanpa izin” (PATI) dan menangkap mereka sesuka hati. Selain itu, oleh sebab tiada sebarang perlindungan hak untuk pelarian bekerja, mendapatkan pendidikan dan sebagainya di negara ini, masyarakat pelarian hidup dalam keadaan yang merana.
Lebih teruk lagi adalah, apabila wujudnya krisis dalam masyarakat Malaysia, pelarian merupakan salah satu golongan masyarakat yang mudah dijadikan sasaran serangan yang diwujudkan daripada pengapi-apian sentimen xenofobia oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Baru-baru ini, semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), wujudnya satu gelombang sentimen xenofobia yang tebal dan teruk yang mensasarkan masyarakat pelarian Rohingya di negara kita. Ini menjadikan kehidupan mereka yang cukup susah itu lebih teruk lagi.
Tiada orang sanggup meninggalkan kampung halaman mereka dan merantau jauh untuk mencari perlindungan, sekiranya mereka bukan berada dalam keadaan yang terdesak atau membahayakan nyawa sehingga terpaksa berbuat demikian. Kehidupan pelarian di negara di mana mereka cuba mencari perlindungan juga bukannya senang, malah juga agak teruk sekiranya kerajaan di negara berkenaan tidak mengiktiraf dan melindungi hak pelarian.
Pelarian juga manusia. Pelarian juga perlu melalui kehidupan seperti manusia yang lain di bawah perlindungan hak asasi yang sesuai. Semua manusia perlu hidup secara bermaruah. Begitu juga dengan pelarian. Adalah menjadi hipokrit untuk kita menyatakan bahawa masyarakat Malaysia ialah masyarakat penyayang, sekiranya kita melayan golongan yang teraniaya ini dengan teruk dan tanpa keperikemanusiaan. Cara yang paling terus-menerus untuk mengiktiraf hak pelarian adalah meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951. Jika tidak meratifikasi Konvensyen Pelarian 1951 segera pada ketika ini pun, Kerajaan Malaysia masih boleh melakukan banyak perkara untuk membantu dalam menyelesaikan kemelut kehidupan masyarakat pelarian yang sedang berada di negara kita ini, seperti menjamin hak pelarian untuk bekerja.
Kita tidak patut melihat pelarian sebagai beban masyarakat. Sebaliknya, setiap manusia merupakan aset untuk pembangunan masyarakat kita ke arah yang lebih maju, makmur dan sejahtera. Sekiranya kita dapat melindungi hak pelarian supaya mereka dapat hidup secara tenang dan bermaruah seperti rakyat tempatan yang lain, masyarakat penyayang boleh menjadi sebahagian daripada tulang belakang untuk membangunkan sosio-ekonomi negara kita, yang mencipta kekayaan dan kemakmuran secara bersama untuk semua.
Marilah kita tingkatkan kesedaran kita tentang situasi masyarakat pelarian dan menghormati hak asasi manusia untuk semua pelarian.