Penularan pandemik COVID-19 telah menjejaskan kehidupan harian rakyat di merata dunia, dan hampir melumpuhkan seluruh dunia. Berbilion orang berada dalam pelbagai peringkat keadaan “perintah kurung”, dan “penjarakan sosial” telah menjadi satu istilah sejagat. Kepimpinan kerajaan dunia, dari Donald Trump dan Boris Johnson sehingga Narendra Modi dan Jair Bolsonaro, telah menunjukkan sepenuhnya kebodohan dan kelemahan mereka dalam menangani masalah dan melindungi kesejahteraan rakyat biasa. Amat jelasnya, kita sedang berada dalam satu krisis global yang serius.
Krisis yang sedang dihadapi oleh sedunia ini mungkin sesuatu yang tidak pernah berlaku, tetapi ia bukan sesuatu yang baru. Baru dua bulan yang lepas, kita berdepan dengan kemungkinan berlaku lagi satu perang yang membinasakan selepas tindakan Amerika Syarikat membunuh Jeneral Iran. Kudeta di Bolivia pada bulan November 2019 dan cubaan kudeta yang berulang di Venezuela, merupakan ancaman kuasa besar terhadap kedaulatan rakyat di Amerika Latin. Pelaksanaan dasar ekonomi neoliberal untuk empat dekad kebelakangan ini, telah menghakis sistem perkhidmatan awam dengan teruk di banyak negara dan melemahkan keupayaan masyarakat dalam menghadapi krisis kesihatan awam seperti yang sedang berlaku sekarang. Ramai rakyat bawahan di seluruh dunia masih menderita kerana kemiskinan, ketiadaan tempat tinggal yang sesuai dan keganasan stuktural yang berterusan. Kehidupan “normal” rakyat bawahan di seantero dunia sudahpun penuh dengan kemelut, apatah lagi ditimpa lagi dengan ancaman wabak koronavirus.
Penularan pandemik COVID-19 hanya memburukkan dan mendedahkan lagi begitu banyak kontradiksi yang wujud di dunia kita. Seperti krisis-krisis yang sebelum ini, yang paling terjejas adalah rakyat miskin, migran, pelarian dan etnik minoriti. Sementara itu, adalah jelas menunjukkan juga bahawa orang yang memainkan peranan penting pada ketika krisis yang hebat ini bukannya pengusaha bank atau pengurus dana lindung nilai, tetapi adalah kelas pekerja seperti jururawat, pekerja pembersihan dan kerani kedai runcit.
Dalam krisis yang hebat ini, kita juga dapat melihat keutamaan pemimpin-pemimpin yang mendukung kuat kapitalisme dan imperialisme. Pemimpin-pemimpin berhaluan kanan seperti Donald Trump dan Jair Bolsonaro sanggup menggadaikan nyawa rakyat mereka sendiri untuk memastikan pasaran kapitalis masih terus berfungsi.
Pandemik COVID-19 juga menonjolkan risiko kekurangan pelaburan dalam kemudahan dan kesihatan awam, yang dipacukan dengan dasar ekonomi neoliberal. Dasar ekonomi neoliberal merupakan faktor utama kepada kemerosotan ekonomi yang sudah bermula sebelum COVID-19 melumpuhkan dunia. Krisis sistemik yang jauh lebih mendalam ini, adalah hasil secara langsung daripada susunan dunia neoliberal yang imperialis, yang mengutamakan keuntungan korporat dan pengumpulan kekayaan oleh golongan mahakaya jauh lebih berbanding perlindungan hak asasi rakyat biasa.
Di bawah konteks ini, gerakan-gerakan progresif di seluruh dunia telah bergabung tenaga untuk mengadakan Minggu Perjuangan Anti-Imperialis Antarabangsa pada separuh kedua tahun ini. Aksi ini bertujuan untuk mengecam tindakan kuasa-kuasa imperialis dan impak mereka ke atas rakyat sedunia serta planet ini sendiri. Organisasi-organisasi yang menyokong usaha ini menegaskan bahawa, “Imperialisme sedang meletakkan masa hadapan hidupan di planet ini dalam bahaya, dengan dasar ketenteraannya yang mencampurtangan dan menceroboh, serta kemusnahan alam sekitar yang membawa bencana.”
Untuk menghadapi pandemik COVID-19, organisasi-organisasi ini menyeru untuk perjuangan melawan cubaan oleh sektor kapitalis untuk memaksa kelas pekerja dan massa menanggung kesan kos daripada krisis ini, seperti yang pernah berlaku selepas krisis kewangan tahun 2008.
Organisasi-organisasi yang menyokong Minggu Perjuangan Anti-Imperialis Antarabangsa mengemukakan beberapa tuntutan berkaitan dengan menangani krisis pandemik koronavirus. Tuntutan-tuntutan ini termasuk pengerahan semua sumber awam dan swasta untuk menangani pandemik sementara memberi perhatian kepada keperluan golongan yang paling terjejas. Mereka menyeru untuk pengurangan perbelanjaan ketentetaraan dan menggunakan sumber-sumber secara baik untuk menjamin kesejahteraan kehidupan rakyat. Tuntutan utama yang lain termasuk memperkukuhkan sistem sosial, dan menghentikan sekatan ekonomi yang bersifat jenayah yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas negara seperti Venezuela dan Iran. Organisasi-organisasi progresif ini juga menyeru untuk solidariti bersama semua pekerja kesihatan dan sesama semua rakyat pada ketika krisis kemanusiaan antarabangsa.
Tuntutan ini menunjukkan hubungkaitan antara perjuangan melawan pandemik dengan perjuangan melawan imperialisme. Sekatan yang dikenakan oleh Amerika Syarikat ke atas lebih 50 buah negara dan dasarnya yang bersifat militaristik (seperti 800 buah pangkalan tentera di luar AS), bukan sahaja merupakan halangan kepada keamanan dunia, malah juga menyekat perbelanjaan ke atas infrastruktur yang boleh membantu negara-negara di dunia untuk menangani krisis seperti pandemik COVID-19. Keadaan ini diburukkan lagi oleh institusi kewangan antarabangsa yang dikuasai oleh Amerika Syarikat dan Eropah, yang membawa dasar-dasar “penjimatan” yang menghancurkan keupayaan untuk menangani krisis masyarakat di banyak tempat di dunia.
Kemunculan gerakan pelampau kanan di banyak negara telah mengalihkan perhatian massa daripada masalah struktural kapitalisme dan menyalurkan kemarahan rakyat kepada sektor yang paling terpinggir dalam masyarakat. Kerajaan yang mengamalkan dasar ekonomi berhaluan kanan telah memburukkan lagi penderitaan dan keadaan tidak menentu yang dihadapi oleh golongan pekerja dan kumpulan yang terpinggir.
Sebagai respon kepada keadaan yang semakin merosot untuk kelas pekerja di peringkat dunia, gerakan-gerakan sosial dan organisasi-organisasi terus memobilisasi untuk mempertahankan hak rakyat untuk kehidupan bermaruah. Minggu Perjuangan Anti-Imperialis Antarabangsa merupakan salah satu aksi yang penting menuju usaha ini.
Minggu Perjuangan Anti-Imperialis Antarabangsa akan disambut dengan pelbagai aktiviti, dengan objektif mengetengahkan isu ancaman imperialisme terhadap rakyat dan menggerakkan kuasa rakyat untuk melawan ancaman ini. Antara organisasi yang menyertai Minggu Perjuangan Anti-Imperialis Antarabangsa, termasuk La Vía Campesina, Perarakan Wanita Dunia, Gerakan Sosial Menuju ALBA, Perhimpunan Rakyat Antarabangsa, Gerakan Pekerja Tanpa Tanah (MST) di Brazil, Parti Komunis Nepal, Parti Pekerja Tunisia, Parti Sosialis Zambia, Parti Komunis Sepanyol, Parti Kiri Eropah, Kesatuan Nasional Pekerja-pekerja Logam Afrika Selatan (NUMSA) dan sebagainya.