Kredit adalah “kepercayaan” yang membolehkah sesuatu pihak meminjam wang atau sumber kebendaan kepada orang lain (yang menjadi penghutang), di mana penghutang tidak perlu membayar balik serta-merta tetapi membayar balik beberapa ketika selepas itu (dan biasanya dengan pulangan faedah). Oleh itu, secara ringkasnya, sistem kredit adalah sistem pinjaman dengan pulangan berfaedah.
Seorang lintah darat meminjam wang kepada seseorang, mengenakan syarat bahawa wang itu perlu dipulangkan dengan jumlah nilai yang lebih banyak, di mana lebihan wang itu dipanggil faedah, bunga atau riba.
Sistem kredit diuruskan oleh bank di bawah sistem kapitalis, di mana bank mengumpulkan wang melalui simpanan wang orang ramai dan meminjam wang yang dikumpulkan itu untuk pelaburan dalam pengeluaran nilai surplus supaya dapat memperoleh nilai surplus itu melalui pulangan faedah.
Sistem kredit adalah asas utama untuk syarikat swasta kapitalis berubah menjadi syarikat pegagan saham secara beransur-ansur. Sistem kredit membolehkan kapitalis mendapatkan lebih banyak modal untuk dilaburkan dalam pengeluaran (khususnya dalam pembaharuan modal tetap) untuk tujuan pengumpulan modal mereka.
Sifat kedualan yang kekal wujud dalam sistem kredit:
- Membangunkan kuasa penggerak untuk pengeluaran kapitalis (iaitu menjadi kaya melalui pemerasan ke atas tenaga buruh orang lain) menjadi sistem penipuan perjudian yang paling tulen dan terbesar, di samping menyebabkan golongan minoriti yang mengeksploitasi kekayaan masyarakat itu semakin berkurangan.
- Mewujudkan bentuk peralihan untuk berubah kepada satu corak pengeluaran yang baru.
Perdagangan atau aktiviti komersial berasal daripada perkembangan yang tidak seimbang dalam pengeluaran antara kelompok masyarakat yang berlainan. Kredit (pinjaman berfaedah berasaskan kepercayaan) berasal daripada perkembangan yang tidak seimbang dalam pengeluaran antara pengeluar yang berlainan dalam kelompok masyarakat yang sama. Sejak aktiviti penternakan atau pertanian dijalankan berasaskan pengurusan persendirian, disebabkan perbezaan yang wujud (kerana kebolehan yang berlainan, kesihatan ternakan yang berbeza, kesuburan tanah yang berbeza dan pelbagai faktor persekitaran), maka timbulnya ketidakseimbangan dalam pengeluaran.
Ketidakseimbangan dalam perkembangan antara pengeluar yang berbeza dalam satu kelompok masyarakat tidak menyebabkan perkembangan kredit secara automatik. Kredit bukannya satu sistem yang semulajadi, tetapi adalah hasil hubungan sosial yang tertentu. Semasa proses keruntuhan komuniti primitif yang berlarutan untuk jangka masa yang berpanjangan, dalam satu tempoh peralihan yang sangat lama, pengurusan persendirian dan buruh kerjasama dijalankan secara bersama. Dalam masyarakat yang berasaskan buruh kerjasama, tidak wujudnya kredit. Hanya wujudnya hubungan saling bantu-membantu (solidariti) dalam masyarakat begini, iaitu anggota komuniti yang lebih bertuah (atau lebih berkemampuan) akan membantu anggota komuniti yang kurang bertuah (atau kurang kemampuan), di mana orang yang menghulurkan bantuan tidak mengharapkan apa-apa balasan kebendaan. Masih wujudnya hubungan sebegini dalam banyak masyarakat pribumi / orang asal pada masa kini.
Apabila hubungan pertukaran barangan dan pembahagian buruh semakin berleluasa, hubungan saling bantu-membantu antara anggota satu kelompok masyarakat yang sama digantikan dengan konsep hubungan persamaan nilai yang berasaskan ekonomi buruh-masa. Apabila pengeluaran nilai tukar semakin mengatasi pengeluaran semata-mata untuk nilai guna, pinjaman tanpa faedah dan saling bantu-membantu semakin digantikan dengan pinjaman yang berfaedah.
Peredaran komoditi membawa kepada peredaran matawang, dan ekonomi matawang akan berkembang dalam setiap aspek dalam masyarakat itu. Dalam ekonomi matawang, matawang bukan semata-mata alat pertukaran sahaja, tetapi pada masa yang sama juga menjadi objek pertukaran. Ekonomi matawang berpisah keluar daripada aktiviti perdagangan semata-mata, seperti aktiviti perdagangan itu berpisah keluar daripada aktiviti pembuatan kraf sebelum itu.
Semasa ekonomi matawang baru sahaja berkembang, logam berharga (seperti emas dan perak) merupakan bahan yang jarang didapati dan peredarannya adalah terhad. Matawang logam biasanya digunakan sebagai dana rizab atau simpanan. Untuk memastikan simpanan matawang ini selamat, mereka yang memiliki harta wang mengamanahkannya kepada institusi-institusi yang “dihormati” untuk penjagaan. Institusi-institusi ini biasanya adalah kuil atau biara, secara tidak sengaja menjadikan institusi ini sebagai agensi kredit yang terawal.
Apabila berkembangnya aktiviti komersial yang lebih besar, peredaran logam berharga turut berkembang selanjutnya. Perniagaan komersial besar pada awalnya kebanyakannya adalah menguruskan perdagangan antarabangsa. Pada masa yang sama dengan perkembangan perdagangan antarabangsa, munculnya matawang syiling yang banyak tetapi berasal dari tempat berlainan dan berbeza kualitinya, maka perlunya pertukaran mengikut nilai sebenar masing-masing. Jadi, lahirnya golongan yang menguruskan pertukaran matawang. Pengurup matawang dan peniaga logam berharga memberi jaminan kepada pemilik logam berharga untuk menyimpan harta mereka (dalam bentuk matawang syiling). Pengurup matawang dan peniaga logam berharga menjadi penjaga harta terawal yang bukan berasaskan institusi agama, yang kemudiannya menjadi pengusaha bank yang terawal.
Apabila kelas borjuasi, lintah darat (peminjam wang dengan faedah tinggi) dan peniaga semakin ramai, wujudnya pertukaran matawang (currency exchange) yang sebenar. Perkembangan perdagangan antarabangsa mewujudkan keperluan untuk sistem kredit yang berkekalan. Oleh sebab wujudnya jarak masa antara pembelian barang dan penyerahan barang, jarak kedudukan antara pembeli dan penjual, keperluan untuk memindahkan matawang yang banyak antara kawasan yang berjauhan, tambahan pula dengan harga matawang yang sentiasa berubah-ubah, maka membawa kepada keperluan untuk mewujudnya kredit perniagaan atau “kredit peredaran”. Alat kredit seperti kiriman wang dan baucar pembayaran diwujudkan apabila perdagangan antarabangsa bertambah maju. Namun, kredit yang dibekalkan oleh nota-nota janji hutang pada awalnya tidak mengembangkan skop aktiviti modal, hanya mempercepatkan pemutaran modal dan memaksimumkan kegunaan modal.
Selepas itu, munculnya kredit pelaburan, iaitu pinjaman yang diberikan kepada syarikat yang mengeluarkan nilai surplus, barulah skop aktiviti modal itu diperluaskan. Matawang yang disimpan dalam peti keselamatan adalah matawang yang tidak “menghasilkan faedah”, tetapi apabila dipinjamkan kepada kapitalis, ia menjadi modal, dan terlibat dalam pengeluaran nilai surplus.
Dengan perkembangan modal perniagaan, fenomena kredit yang unik menjadi sistem yang biasa dalam kehidupan ekonomi. Kiriman wang (money order) menjadi alat yang biasa digunakan dalam perlepasan kredit peredaran, pada masa yang sama untuk menjadi alat untuk pelaburan jangka masa pendek bagi modal matawang yang “tiada faedah”. Dengan itu, berkembangnya pasaran modal matawang.
Selepas berlakunya Revolusi Industri, pasaran modal kewangan diperluaskan lagi. Selain daripada lapisan sosial pada zaman awal kapitalisme (tuan tanah, peniaga, pengusaha kraf, pegawai kerajaan, golongan yang merentir dan sebagainya), penawaran dan permintaan untuk modal kewangan juga wujud pada jentera pengeluaran kapitalis itu sendiri. Modal matawang adalah titik permulaan dan titik akhir dalam kitaran modal. Kapitalis sentiasa perlu matawang tambahan untuk pembaharuan modalnya demi memaksimumkan keuntungan.
Peranan pengusaha bank adalah memindahkan dan memusatkan modal sosial. Skop peranan ini tidak terhad kepada kelas kapitalis, tetapi bank juga berfungsi memusatkan simpanan matawang semua orang (termasuklah tuan tanah, petani, tukang, kakitangan kerajaan, pekerja dan sebagainya).
Dengan pasaran modal matawang semakin menuju kepada pengkhususan, wujudnya dua jenis pasaran yang berbeza:
- Pasaran matawang(currency market) – iaitu pasaran pembekalan dan permintaan untuk kredit jangka masa pendek, dikawal oleh bank.
- Pasaran kewangan(financial market) – iaitu pasaran pembekalan dan permintaan untuk kredit jangka masa panjang. Pada awalnya dikuasai oleh bank dan bursa saham, kemudiannya syarikat insurans, persatuan perumahan dan insitusi kemudahan simpanan (seperti tabung pencen, tabung pengangguran dan sebagainya) juga terlibat dalamnya. Tujuannya adalah menukarkan semua pendapatan matawang yang tidak digunakan secara segera kepada modal.
Kewujudan pasaran kewangan membolehkan pemusatan modal matawang itu mencapai kemuncaknya. Bank memastikan semua modal boleh menghasilkan faedah, setitis pun tidak boleh dibiarkan.
Kapitalis dan institusi kredit menggunakan bentuk seperti saham dan bon, untuk melaburkan modal matawang dalam syarikat pemegang saham, tujuannya adalah mendapatkan kadar faedah purata daripada pinjaman ini. Mereka mendapat jaminan faedah daripada bon dan sekuriti yang ada pendapatan tetap. Dalam seluruh saham itu sendiri, jumlah faedah yang diperoleh bergantung pada berapa keuntungan yang dijana daripada pelaburan itu, di mana faedah itu dikenali sebagai dividen.
“Bursa saham bukannya institusi di mana borjuasi mengeksploitasi pekerja, malah ia adalah institusi untuk mereka mengeksploitasi sesama sendiri. Nilai surplus yang dipindahmilik dalam bursa saham adalah nilai surplus yang sedia ada, adalah hasil pemerasan pekerja yang lalu. Hanya dengan menyempurnakan pengeksploitasian yang sebegitu, nilai surplus baru dapat berkhidmat untuk penipuan dalam bursa saham.” – Friedrich Engels, dalam suratnya kepada August Bebel, 24 Januari 1893.
Sistem kredit kewangan telah memperluaskan asas untuk aktiviti modal, membolehkan sebarang matawang simpanan yang terbiar ditukar menjadi modal. Sistem kredit memudahkan, mempercepatkan dan mensejagatkan peredaran komoditi. Kredit merangsang pengeluaran kapitalis, merangsang pemusatan modal dan persaingan antara modal. Kredit telah merangsangkan pelbagai trend dalam perkembangan sistem kapitalis.
Kredit juga menukarkan kelas borjuasi itu sendiri. Perkembangan pasaran kewangan telah mewujudkan pemisahan antara golongan kapitalis yang parasitik dengan kapitalis yang melabur dalam pengeluaran.
Kapitalis yang parasitik tidak melaburkan modal untuk pengeluaran, tetapi melaburkan modal dalam pasaran kewangan yang tidak mengeluarkan apa-apa komoditi untuk mendapatkan keuntungan yang lumayan. Golongan kapitalis ini hidup dengan bergantung semata-mata pada modal yang dimilikinya sahaja, dan untuk berbuat demikian, mereka dikecualikan sepenuhnya daripada proses pengeluaran, dikecualikan daripada hubungan secara langsung dengan mesin dan tenaga buruh yang bekerja.
Apabila wujudnya syarikat pegangan saham, pemilikan modal secara swasta telah menjadi semakin objektif dan abstrak. Penguasaan modal berlaku dalam bentuk yang paling umum dan paling tanpa nama (anonymous), iaitu secara luarannya, yang melakukan eksploitasi ke atas pekerja itu bukan lagi kapitalis perseorangan yang nyata, tetapi adalah kuasa ekonomi tanpa wajah sebenar yang dikenali dengan sinonim “syarikat” dan “syarikat berhad”.
Sistem kredit membolehkan pengeluaran diperluaskan tanpa mengambil kira secara langsung kapasiti penyerapan pasaran. Kredit telah menyembunyikan hubungan sebenar antara kapasiti pengeluaran dan kapasiti kepenggunaan yang mampu bayar. Kredit memintas kuasa beli yang sebenar untuk merangsang peredaran komoditi dan kepenggunaan komoditi, maka dapat menangguhkan kedatangan krisis ekonomi secara kitaran tetapi tidak dapat mengatasi krisis kapitalis, malah memburukkan lagi faktor-faktor yang tidak seimbang, sehingga krisis akan meletus dengan lebih hebat lagi.
Kredit hanya menyebabkan dua fungsi asas matawang (cara peredaran dan cara pembayaran) semakin dipisahkan, menjadikan pemisahan asas antara peredaran komoditi dengan peredaran matawang yang merealisasikan nilai tukar itu semakin mendalam. Kontradiksi ini merupakan punca utama dan paling biasa untuk krisis kapitalis.
One thought on “Kredit”