IPOH, PERAK – 13 MAC 2020: Sekumpulan pengawal keselamatan daripada Delta Force Security Services & Consultancy Sdn. Bhd. mengadakan satu aksi protes pada hari ini di hadapan ibupebajat Tenaga Nasional Berhad (TNB) di Ipoh, untuk menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap salahguna kuasa dan pembulian sesuka hati terhadap pengawal keselamatan oleh seorang anggota polis bantuan yang ditugaskan oleh TNB.
Menurut pengawal-pengawal keselamatan yang mengadakan bantahan, seorang anggota polis bantuan yang berpangkat sarjan yang ditugaskan oleh syarikat TNB untuk memantau kerja mereka di premis TNB, telah bertindak untuk membuli dan menganiayai mereka sewenang-wenangnya. Anggota polis bantuan tersebut sengaja mengenakan denda yang berjumlah sebanyak RM200 hinggi RM600 atas tuduhan yang tidak berasas, seperti penngawal keselamatan berjambang, tidak memakai stoking, tidak memakai seluar slek dan tidak memasang butang baju. Keadaan ini menyebabkan ramai pekerja mengalami tekanan sehingga adanya pekerja yang terpaksa berhenti kerja. Senarai penalti yang dikenakan ke atas pengawal-pengawal keselamatan ini adalah tidak mematuhi ketetapan di bawah undang-undang dan merupakan penyalahgunaan kuasa.
Oleh yang demikian, pengawal-pengawal keselamatan yang bekerja di premis TNB Ipoh menggesa pihak TNB supaya memecat atau memindahkan anggota polis bantuan tersebut ke tempat lain di luar zon Ipoh. Mereka juga mendesak pihak TNB untuk menghentikan amalan mengenakan denda atas sebab yang tidak munasabah, supaya menjamin pekerjaan yang berterusan untuk para pengawal keselamatan, dan memastikan keharmonian di tempat kerja.
M. Sarasvathy, Ahli Jawatankuasa Pusat Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut hadir dalam aksi protes pada hari ini untuk menyatakan sokongannya kepada perjuangan pengawal-pengawal keselamatan ini.
One thought on “Pengawal keselamatan dibuli polis bantuan TNB Ipoh”