KAJANG – 12 Julai 2019: Kongres Nasional Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ke-21 mula diadakan di Kajang pada hari ini untuk selama 3 hari.
Kongres Nasional PSM yang diadakan secara tahunan, merupakan badan pembuat keputusan yang tertinggi dalam struktur parti, di mana delegasi-delegasi dari cawangan PSM seluruh negara akan membahaskan isu-isu yang berkaitan dengan bagaimana memajukan perjuangan masyarakat dan membina alternatif sosialis. Kongres tahun ini juga menjalankan pemilihan untuk kepimpinan pusat parti yang diadakan setiap dua tahun.
Selain ahli-ahli PSM dari seluruh negara, wakil-wakil masyarakat sivil dan penyokong PSM turut hadir dalam upacara pembukaan Kongres hari ini. Wakil daripada BERSIH 2.0, Parti Gerakan Rakyat Malaysia, Parti Rakyat Malaysia, Third World Network, Sahabat Wanita, SUARAM, WAO dan beberapa lagi aktivis sosial telah hadir dalam program ini, termasuk peguam-peguam yang pernah membantu PSM dalam berbagai kes. Wakil Kedutaan Venezuela di Malaysia, Morella Barreto Lopez, turut menjadi tetamu khas dalam pembukaan Kongres PSM petang tadi.
Upacara perasmian Kongres PSM dimulakan dengan ucapan pembukaan yang bersemangat daripada M. Sarasvathy, Timbalan Pengerusi PSM.
Seperti tahun-tahun sebelum ini, Kongres PSM telah menerima ucapan solidariti daripada organisasi-organisasi kiri di peringkat antarabangsa. Antara organisasi yang menghantar ucapan solidariti tahun ini termasuk Australia Asia Workers Link, Socialist Alliance (Australia), Movimento dos Trabalhadores Sem Terra (Brazil), Socialist Popular Alliance Party (Mesir), Nouveau Parti Anticapitaliste (Perancis), Borderless Movement (Hong Kong), League of Social Democrats (Hong Kong), Communist Party of India (Marxist-Leninist) Red Star, Partai Pembebasan Rakyat (Indonesia), Potere al Popolo (Itali), Awami Workers Party (Pakistan) dan Workers World Party (Amerika Syarikat). Kebanyakan mesej solidariti ini telah menekankan pada kepentingan untuk membina kuasa kiri dalam era krisis kapitalis global.
Kemuncak upacara pembukaan Kongres ialah ucapan dasar yang disampaikan oleh Dr. Nasir Hashim selaku Pengerusi PSM. Dr. Nasir telah menyentuh tentang senario antarabangsa dan senario dalam negara, untuk menerangkan kepentingan PSM dalam membawa alternatif yang mampu mengubah sistem. Dr. Nasir memberi peringatan bahawa aktivis parti perlu sentiasa bersama rakyat dan memajukan diri demi membawa perjuangan sosialis ke hadapan.
Dr. Nasir Hashim tidak lagi akan memegang jawatan Pengerusi PSM selepas Kongres tahun ini, kerana ketetapan had maksimum 5 penggal (10 tahun) untuk pemegang jawatan utama sejak tahun 2009. Namun, Dr. Nasir akan terus bersama dalam perjuangan PSM dan menjadi inspirasi kepada generasi baru PSM untuk terus maju ke hadapan.
Kongres PSM kali ini akan membincangkan usul-usul daripada cawangan yang merangkumi cadangan untuk pembaharuan struktur parti dan pendekatan terhadap pilihanraya. Satu kertas posisi mengenai perubahan iklim dan langkah menanganinya juga akan dibentang dalam Kongres ini. Selain itu, Kongres kali ini mendedikasikan satu sesi khas untuk membincangkan isu kemunculan kuasa populis dalam konteks antarabangsa dan Malaysia.