20190712 - kongress.jpgoleh A. Sivarajan

Selepas setahun pemerintahan kerajaan baru Pakatan Harapan (PH), ianya semakin mengkukuhkan hujah kami bahawa pemerintahan tanpa ideologi yang jelas akan terpesong dan mudah diperdayakan.

  1. PSM sebagai pembangkang progresif

Ini jelas dilihat dalam pelbagai isu yang cuba ditangani oleh kepimpinan Pakatan Harapan, seperti isu penetapan gaji minimum, isu pekerja asing, perobohan dan pengusiran paksa penduduk kampung peneroka bandar di Selangor, pemusnahan hutan dan kehidupan Orang Asli oleh Kerajaan Perak, penambakan laut di Pulau Pinang, pencemaran di Johor dan banyak lagi isu. Kegagalan kepimpinan PH berpegang kepada ideologi pembangunan yang mengutamakan rakyat, menyebabkan mereka mudah diperdayakan oleh desakan majikan, elit korporat dan mereka yang berkepentingan.

Justeru, tugas PSM amatlah jelas dalam era Malaysia Baru ini. PSM akan menjadi pembangkang yang bakal membawa perjuangan progresif melawan kuasa-kuasa reaksioner yang sedang berusaha membantutkan tuntutan progresif rakyat. PSM akan menjadi suara hati kepada pejuang jati yang inginkan perubahan sebenar dalam Malaysia Baru ini, tetapi kecewa dengan tindak-tanduk Pakatan Harapan.

Kita perlu membangunkan kesedaran bahawa, dalam keadaan Pakatan Harapan memerintah sekarang, rakyat biasa membuat kesilapan dengan meletakkan kesemua parti politik yang tidak memerintah dalam bakul pembangkang yang sama. Erti sebenar pembangkang politik ialah parti yang mencabar struktur pentadbiran semasa dan ingin membuat perubahan menyeluruh, bukannya reformasi semata-mata. Maka, mengikut definisi sedemikian, blok BN/PAS bukanlah pembangkang sebenar kerana kedua-dua BN/PAS  dan Pakatan Harapan berfungsi dalam acuan pentadbiran yang sama.

PSM ingin menyampaikan kesedaran bahawa perubahan sebenar hanya akan menjadi kenyataan dengan mencabar struktur pemerintahan kapitalis ini dan membina struktur baru.

PSM juga menyedari dan memantau kebangkitan kuasa populis kanan sejak PRU-14, yang tepu dengan sentimen perkauman, agama dan sebagainya. Ketika PH gagal menangani isu jaminan kesejahteraan sosio-ekonomi antara kaum, puak UMNO dan PAS mengunakan isu sebagai modal untuk mengapi-apikan sentimen kaum dan agama yang terus memecah-belahkan rakyat. Oleh yang demikian, delegasi PSM akan mengadakan satu sesi perbincangan khas dalam Kongres Nasional kali ini untuk membincangkan isu ini dan merancang respon terhadapnya.

20190712 - ukongres.jpg

  1. Transisi kepimpinan

Kongres tahun ini agak istimewa kerana ianya memperlihatkan beberapa detik penting dalam sejarah perjuangan PSM. Kongres tahun 2019 akan menyaksikan pejuang veteran yang amat dihormati, Dr. Mohd Nasir Hashim, mengundur diri setelah menjadi Pengerusi Parti selama 23 tahun. Berikutan dengan keputusan beberapa Kongres yang lalu, parti telah mencorak langkah untuk melakukan transisi kepimpinan. Justeru, Pengerusi PSM Dr.Nasir Hashim, Timbalan Pengerusi PSM M. Sarasvathy yang telah memegang amanah tersebut sejak penubuhan parti akan mengundurkan diri daripada jawatan mereka sekarang.

  1. Membentuk gabungan politik baru

Dalam Kongres ini juga, selaras dengan tema “Perjuangan Progresif Malaysia Baru”, PSM ingin berusaha untuk membentuk gabungan politik baru untuk menghadapi PRU-15. Maka majlis perasmian kongres ini dihadiri oleh perwakilan daripada parti-parti lain. Diharapkan kehadiran mereka akan membuka jalan kerjasama yang sihat.

  1. Pendirian PSM dalam menangani perubahan iklim dan alternatif hijau untuk Malaysia

Akhirnya, memandangkan pelbagai isu-isu alam sekitar yang semakin timbul pada masa kini oleh kerana pembangunan negara yang tidak lestari, maka PSM buat pertama kalinya akan membentangkan satu kertas polisi bertajuk “Menangani Perubahan Iklim: Alternatif Hijau untuk Malaysia” kepada Kongres untuk diterima sebagai kertas polisi dan asas perjuangan PSM dalam usaha menangani perubahan iklim.

==========

A. Sivarajan ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *