Setahun yang lalu, pada 9 Mei 2018, Pilihanraya Umum ke-14 telah diadakan dan sejarah baru tercipta untuk tanahair kita, apabila berlakunya perubahan rejim yang pertama di peringkat Persekutuan selepas lebih 6 dekad. UMNO-Barisan Nasional menerima kekalahan yang paling teruknya dalam sejarah pilihanraya dan kehilangan kuasa di peringkat Persekutuan, di samping kecundang di negeri-negeri seperti Kedah, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Sabah.
Namun, ironinya, kerajaan baru Pakatan Harapan yang menggantikan rejim lama UMNO-BN, dipimpin pula oleh Mahathir Mohamad yang merupakan penyandang jawatan Perdana Menteri yang paling lama dalam sejarah Malaysia ketika beliau masih bersama dengan UMNO-BN sebelumnya. Ini merupakan sebahagian daripada percanggahan yang kita hadapi dan perlu ditangani dalam proses perubahan sosial yang tidak terhad kepada sekadar perubahan rejim.
Kemenangan Pakatan Harapan merupakan satu kejutan besar kepada politik negara, kerana dianggap hampir mustahil untuk menjatuhkan UMNO-BN sebelum itu. Amat jelas sekali, kepimpinan Najib Razak pada masa itu memang tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti rakyat dan mengalami keruntuhan dalam sokongan undi kepada BN semasa pilihanraya. Peralihan kuasa daripada Barisan Nasional kepada Pakatan Harapan dalam keadaan yang boleh dikatakan aman, membuka satu lembaran baru kepada politik Malaysia. Malah, ada yang mengatakan kita telah melangkah masuk ke dalam era “Malaysia Baru”.
Perubahan rejim dalam PRU-14 telah memecahkan halangan minda ramai rakyat Malaysia yang inginkan perubahan yang sebelum ini menganggap bahawa UMNO-BN tidak dapat dijatuhkan. Apa yang berlaku setahun lepas menunjukkan bahawa rakyat boleh tukar kerajaan melalui undi dalam pilihanraya, dan peralihan kuasa boleh berlaku secara aman. Ini adalah makna yang paling signifikan untuk PRU-14.
Perubahan rejim bukannya perubahan sistem lagi
Kejatuhan rejim UMNO-BN berkait rapat dengan terkumpul hebatnya ketidakpuasan hati dan kemarahan rakyat terhadap rejim pemerintah yang menyusahkan kehidupan mereka untuk bertahun-tahun lamanya. Sebelum kejatuhan rejim UMNO-BN, pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST), gaji yang tidak mencukupi, hutang isi rumah yang semakin meningkat, ketidakjaminan hidup, beban hidup yang tinggi dan sebagainya, tambahan pula dengan skandal korupsi dan penyelewengan kuasa yang menjadi-jadi, telah mendesak rakyat biasa untuk menolak pemerintahan UMNO-BN.
Masalah yang dihadapi oleh rakyat biasa berpunca daripada sistem sosio-ekonomi kapitalis yang memusatkan kuasa dalam tangan golongan elit pemerintah kapitalis. Mengubah pucuk kepimpinan dalam pemerintahan, ataupun menggantikan sekumpulan elit politik dengan satu lagi kumpulan elit politik yang berwajah lain, tidak semestinya membawa kepada perubahan sistem yang menyelesaikan percanggahan dalam masyarakat dari asasnya.
Perubahan rejim yang berlaku di Malaysia pada setahun lepas, walaupun ketidakpuasan hati rakyat terhadap rejim yang sedia ada itu merupakan faktor yang penting, tetapi wujudnya juga faktor lain, seperti berlakunya penyusunan semula dalam kelas pemerintah untuk menyelamatkan sistem itu sendiri. Najib Razak boleh dikatakan liabiliti kepada kelas pemerintah dengan skandal korupsinya yang mencapai tahap antarabangsa pada masa itu, sehingga semakin ramai di kalangan kelas pemerintah terpaksa menyingkirkannya dan menyokong Pakatan Harapan yang dipimpin Mahathir, demi menyelamatkan sistem kapitalis di Malaysia yang menjamin kepentingan mereka selama ini.
Walaupun berlakunya peralihan kuasa pemerintahan, tetapi hanya sekadar penyusunan semula kelas pemerintah di peringkat atasan, langsung tidak akan mengganggu imbangan kuasa kelas masyarakat secara keseluruhannya: yang mahakaya masih mahakaya dan berkuasa, sementara yang miskin masih miskin dan tidak berkuasa.
Sifat pemerintahan Pakatan Harapan
Kerajaan Pakatan Harapan penuh dengan U-turn dalam pelaksanaan dasarnya sepanjang setahun yang lalu selepas mengambilalih kuasa. Amat jelas sekali, Pakatan Harapan masih sedang mencari kesimbangan antara kuasa-kuasa politik dalamnya untuk mengekalkan kestabilan pemerintahannya.
Dalam Kerajaaan Pakatan Harapan, memang penuh dengan kuasa-kuasa yang saling bercanggah dari segi kepentingan diri kerana parti-parti yang bergabung untuk membentuknya hanya bertujuan asal untuk menjatuhkan UMNO-BN pimpinan Najib Razak, bukannya berasaskan visi politik yang mempunyai konsensus yang mantap. Walaupun Pakatan Harapan adanya “Buku Harapan” sebagai manifesto pilihanraya, tetapi nampaknya bukan semua pemimpin Pakatan Harapan serius terhadap isi kandungannya, malah Mahathir sendiri pernah menyifatkan manifesto bukan kitab suci.
Sifat pemerintahan Pakatan Harapan boleh dikatakan kacukan politik populis dengan dasar ekonomi neoliberal, dengan adanya unsur-unsur dalamnya yang berkecenderungan progresif yang memainkan peranan pada masa kini untuk menggerakkan sedikit pembaharuan, sementara ada juga unsur-unsur reaksioner daripada serpihan rejim lama dalam kerajaan baru yang menghalang proses pembaharuan. Kontradiksi wujud dalam Pakatan Harapan kerana pelbagai puak politik yang ada kepentingan tersendiri, tetapi selagi masih dapat pegang pada kuasa pemerintahan, gabungan politik ini akan kekal. Tiada politikus yang mementingkan diri sendiri akan tinggalkan satu pakatan politik yang sedang berkuasa, kecuali orang itu kehilangan kuasa dalam proses perebutan kuasa ataupun dia memang berpegang teguh pada sesuatu prinsip.
Pembaharuan masyarakat dan halangannya
Kerajaan Pakatan Harapan telah memulakan beberapa usaha untuk pembaharuan, tetapi kemajuannya masih mengecewakan ramai orang. Kerajaan Pakatan Harapan telah menggunakan alasan hutang negara yang tinggi untuk melambatkan pelaksanaan dasar ekonomi yang mampu mengurangkan beban kehidupan rakyat. Kehidupan rakyat biasa masih tertekan dengan kos hidup yang meningkat, gaji yang rendah dan ketidakjaminan pekerjaan.
Ketidakpuasan hati rakyat biasa terhadap kegagalan kerajaan menangani masalah kos hidup, amat mudah dipergunakan oleh puak berhaluan kanan yang mempermainkan sentimen perkauman dan agama untuk meraih sokongan. Perluasan pengaruh politik berhaluan kanan yang mempergunakan nama agama dan mempermainkan sentimen perkauman dapat menunggang pada keadaan ekonomi yang mewujudkan ketidakjaminan di kalangan rakyat marhaen, sehingga mewujudkan halangan kepada pembaharuan masyarakat yang selanjutnya.
Reaksi dan sentimen perkauman sempit yang dipermainkan dalam isu ICERD dan Statut Rom oleh puak berhaluan kanan, amat jelas sedang mengganggu usaha pembaharuan politik di negara kita. Bagi puak berhaluan kanan yang mengekalkan pengaruh politiknya melalui cara memanipulasi rakyat dengan fahaman yang sempit, segala isu boleh dikaitkan dengan kaum dan agama untuk dijadikan modal politik mereka. Kerajaan Pakatan Harapan nampaknya tiada persiapan untuk menangani serangan daripada puak berhaluan kanan, dengan mengemukakan dasar menyeluruh yang menyakinkan rakyat dan membina kesedaran rakyat melalui proses pendidikan politik yang bersifat pembebasan.
Cabaran masyarakat Malaysia
Perubahan rejim tidak semestinya membawa perubahan yang bermakna, sekiranya rakyat biasa tidak melibatkan diri dalam proses politik berterusan untuk menentukan nasib sendiri. Kejatuhan rejim UMNO-BN telah membuka sedikit ruang politik baru untuk rakyat terus memperjuangkan demokrasi dan keadilan sosial. Ruang demokrasi yang kita ada sekarang bukannya ehsan kelas pemerintah atau golongan elit politik, tetapi adalah hasil daripada perjuangan rakyat yang berterusan untuk berdekad-dekad lamanya. Kita perlu memastikan ruang demokrasi akan terus membuka dengan lebih luas bukannya mengecut, dengan mendesak pembaharuan politik yang sebenar, termasuk pemansuhan akta-akta zalim yang masih wujud, pemulihan pilihanraya tempatan, reformasi terhadap sistem pilihanraya dan sebagainya.
Dari segi ekonomi pula, kita perlu terus memperjuangkan pengagihan kekayaan yang lebih adil untuk mengurangkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin, di samping mempertingkatkan kualiti kehidupan semua rakyat tanpa mengira kaum, agama, gender, orientasi seksual, lokaliti dan latar belakang hidup.
Usaha pembaharuan masyarakat di Malaysia masih akan menghadapi cabaran yang hebat, antaranya:
- Krisis ekonomi: Negara Malaysia masih merupakan sebuah ekonomi yang berorientasikan eksport adalah terdedah kepada krisis ekonomi global yang berulang-ulang. Krisis ekonomi dunia akibat daripada sifat asas sistem kapitalis global itu sendiri yang akan berlaku dalam masa terdekat ini akan membawa impak yang teruk kepada kehidupan rakyat biasa sekiranya kerajaan kita tidak membangunkan dasar ekonomi alternatif yang melangkaui logik ekonomi kapitalis neo-liberal.
- Politik ekstremis: Apabila negara kita menghadapi krisis ekonomi dan kehidupan rakyat biasa menjadi lebih susah, politik pelampau (yang mempermainkan sentimen perkauman dan menunggang nama agama) akan berkembang dengan lebih pesat lagi, sekiranya kita tidak membina gerakan masyarakat progresif yang terdiri daripada rakyat berbilang kaum untuk memperjuangkan keadilan sosial dan kesejahteraan bersama.
- Kerangka politik dua-barisan yang regresif: Sekiranya kita tidak melakukan pembaharuan yang mendalam kepada sistem politik kita (termasuk mewujudkan sistem pilihanraya yang membolehkan perwakilan berkadar yang lebih mencerminkan pilihan rakyat, memulihkan pilihanraya tempatan, membuka lebih ruang kepada masyarakat sivil untuk terlibat dalam proses merangka dasar dan sebagainya), rakyat akan terus terperangkap dalam kerangka politik pilihanraya lama yang sebenarnya tiada pilihan, di mana dalam PRU-15 akan datang, pengundi berkemungkinan akan dipaksa untuk memilih antara parti pemerintah yang masih meneruskan dasar ekonomi neoliberal yang menyusahkan rakyat dengan parti pembangkang utama yang mempermainkan politik perkauman.
Kita jangan mengharap pada elit politik yang berkuasa, sama ada dalam Pakatan Harapan yang sedang memegang kuasa pemerintahan di peringkat Persekutuan ataupun pembangkang utama yang mewakili kepentingan kelas kapitalis yang kehilangan pengaruh dalam pentadbiran persekutuan, untuk melakukan pembaharuan sebenar yang mampu mengatasi cabaran yang disebut di atas. Hanya kuasa rakyat dari bawah boleh mendesak mana-mana kerajaan untuk melakukan perubahan yang selari dengan aspirasi rakyat.
Kita perlu membina gerakan rakyat yang progresif untuk terus memperjuangkan isu rakyat yang sebenar, di samping membina kesedaran rakyat yang bebas daripada fahaman perkauman yang sempit.
Janganlah jadi pengikut yang bersorak untuk elit politik, rakyat yang perlu menjadi penggerak kemajuan masyarakat.