“Kebebasan adalah sentiasanya kebebasan untuk seseorang yang berfikiran berbeza.” – Rosa Luxemburg
3 Mei setiap tahun ialah Hari Kebebasan Akhbar Sedunia. Hari ini disambut sebagai peringatan kepada semua orang tentang kepentingan kebebasan akhbar dan tanggungjawab kerajaan di seluruh dunia untuk melindungi kebebasan bersuara yang menjadi tulang belakang kepada masyarakat demokrasi moden.
Dalam satu seminar anjuran Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) di Windhoek, ibu negara Namibia, pada tahun 1991, wartawan-wartawan akhbar dari Afrika meluluskan Deklarasi Windhoek untuk Pembangunan Akhbar yang Bebas, Independen dan Pluralistik. Deklarasi Windhoek diluluskan pada 3 Mei 1991. Deklarasi tersebut menggariskan prinsip-prinsip tentang kebebasan media.
Persidangan Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengisytihar 3 Mei sebagai Hari Kebebasan Akhbar Sedunia pada tahun 1993. Sejak itu, Hari Kebebasan Akhbar Sedunia disambut dengan tujuan:
- Meraikan prinsip-prinsip asas kebebasan akhbar;
- Menilai keadaan kebebasan akhbar di seluruh dunia;
- Mempertahankan media daripada serangan terhadap kebebasan mereka;
- Memberi penghormatan kepada wartawan-wartawan yang kehilangan nyawa semasa bertugas.
Kebebasan akhbar meliputi hak untuk kebebasan bersuara dan kebebasan bermaklumat. Kebebasan bersuara termaktub dalam Perkara 19 Deklarasi Hak Asasi Manusia Sejagat 1948. Setiap orang sepatutnya berhak untuk menyuarakan pandangan tanpa ketakutan atau terasa dirinya terancam. Rakyat juga berhak untuk mengakses maklumat yang berkaitan dengan kepentingan awam. Kebebasan akhbar menjamin hak rakyat untuk mengetahui kebenaran.
Kebebasan akhbar, kebebasan bersuara dan kebebasan bermaklumat dapat menggalakkan semangat saling memahami dalam masyarakat majmuk dalam usaha membina keamanan yang berkekalan. Sekatan terhadap kebebasan akhbar oleh pihak berkuasa tidak akan dapat membantu dalam mewujudkan keharmonian masyarakat, sebaliknya membolehkan dominasi penguasaan terhadap penyebaran maklumat oleh golongan berkuasa untuk kepentingan mereka, di samping mendorong penyebaran maklumat palsu yang bertujuan untuk mengelirukan rakyat.
Dalam era teknologi maklumat yang berkembang begitu pesatnya, dengan perluasan penggunaan media sosial, semakin banyak maklumat palsu disebarkan dan adanya kerajaan menggunakan alasan membendung maklumat palsu untuk menyekat kebebasan media. Sememangnya terdapat media yang dikuasai oleh golongan yang berkepentingan (seperti korporat besar yang mempunyai agenda sendiri) dan menyebarkan maklumat yang menjurus kepada pembentukan pemikiran yang sempit, namun sekatan terhadap kebebasan akhbar tidak akan dapat menyelesaikan masalah ini, sebaliknya hanya mewujudkan pemusatan kuasa dalam penyebaran maklumat yang selalunya disalahgunakan untuk mereka yang memonopoli kuasa penyebaran maklumat. Kita hanya dapat melawan berita palsu dalam era media sosial dengan membina kecelikan rakyat dalam memproses berita melalui perlindungan kebebasan bermaklumat yang mendorong pemikiran independen rakyat untuk menilai maklumat yang diterima mereka.
Tema yang ditetapkan oleh UNESCO untuk menyambut Hari Kebebasan Akhbar tahun ini ialah “Media untuk Demokrasi: Kewartawanan dan Pilihanraya dalam Zaman Maklumat Palsu”.
Wartawan Tanpa Sempadan (Reporters Sans Frontières, RSF), sebuah badan bukan kerajaan antarabangsa yang beribupejabat di Paris yang memperjuangkan isu kebebasan akhbar, mengatakan bahawa hanya 9% daripada penduduk dunia sekarang ini hidup di negara-negara dengan kebebasan akhbar yang memuaskan, di mana wartawan dapat melakukan kerja professional mereka secara bebas dan independen.
“Tiada satu masalah besar untuk manusia – sama ada pemanasan global, korupsi ataupun ketidaksamarataan gendar – dapat diselesaikan tanpa informasi yang dilaporkan secara bebas dan independen serta boleh dipercayai, atau dalam erti kata lain, tanpa kewartawanan yang berkualiti,” begitu katanya Christophe Deloire, Setiausaha Agung RSF. “Keadaan ini amat membimbangkan untuk wartawan-wartawan dan yang paling penting untuk semua orang yang dilucutkan hak mereka untuk bermaklumat.”
RSF menerbitkan Indeks Kebebasan Akhbar setiap tahun sejak 2002.
Dalam Indeks Kebebasan Akhbar 2019, Norway, Finland, Sweden, Belanda dan Denmark, menduduki tangga teratas antara 180 buah negara dalam senarai kebebasan akhbar mengikut negara; sementara Turkmenistan, Korea Utara, Eritrea, China dan Vietnam menduduki tangga terbawah. Negara Malaysia menduduki tangga ke-123 dalam Indeks Kebebasan Akhbar 2019, meningkat sebanyak 22 tangga berbanding tangga ke-145 pada tahun 2018. Peningkatan kedudukan ini berkaitan dengan nafas baru kepada persekitaran media selepas kejatuhan rejim UMNO-BN di peringkat Persekutuan dalam PRU-14. Walaupun suasana untuk wartawan melaporkan berita menjadi lebih terbuka selepas perubahan rejim di Putrajaya dan penapisan diri dalam organisasi media nampaknya berkurangan, tetapi akta-akta zalim ataupun klausa-klausa dalam akta yang menyekat kebebasan akhbar (seperti Akta Hasutan 1948, Akta Rahsia Rasmi 1972, Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 dan Akta Komunikasi dan Multimedia 1998) masih wujud dan terus menjadi ancaman kepada kebebasan media.
Kita perlu meneruskan usaha memperjuangkan kebebasan akhbar dan kewartawanan yang beretika, demi menghalang pemusatan kuasa dan penyebaran maklumat palsu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.