20190419 - ets.jpgParti Sosialis Malaysia (PSM) menegaskan bahawa perlu kajian yang lebih mendalam tentang ECRL untuk mengurangkan kesan terhadap alam sekitar.

PSM mengalu-alukan usaha kerajaan dalam meningkatkan pengangkutan awam dengan memulihkan projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) yang menghubungkan Pantai Timur dengan Pantai Barat Semenanjung Malaysia. “Mengelakkan daripada pembinaan terowong menembusi Rabung Kuarza Genting Klang adalah satu tindakan yang betul untuk melindungi warisan geologi tulang belakang pusat kita. Banjaran Titiwangsa  yang terletak di sempadan negeri Pahang-Selangor-Negeri Sembilan ialah wilayah yang kaya dengan biodiversiti yang perlu dilindungi,” begitu katanya Sharan Raj, penyelaras Biro Alam Sekitar Parti Sosialis Malaysia (PSM), dalam kenyataan yang dikeluarkan pada 18 April 2019.

“Namun, laluan yang dicadangkan dari Mentakab ke Jelebu mungkin akan menjejaskan ekosistem hutan tropika Titiwangsa,” Sharan Raj merakamkan kerisauannya. “Sebaliknya, kita patut mempertimbangkan landasan keretapi atas permukaan dari Mentakab ke Karak selari dengan Laluan Persekutuan Malaysia 2 (MFR2).”

Sharan Raj mencadangkan bahawa dari Karak, ECRL boleh mengambil pilihan laluan berikut:

  • Meneroka terowong sepanjang 40 km dari Karak ke Ampang Jaya sebelum bersambung dengan KL Sentral untuk mengelakkan Rabung Kuarza Genting Klang dan hutan di permukaan Banjaran Pergunungan Titiwangsa; atau
  • Menyelaraskan laluan selari dengan Laluan Persekutuan 8 ke Genting Sempah sebelum bersambung kepada landasan KTM Batu Caves-KL Sentral.

“Dengan menggunakan Laluan Persekutuan yang sedia ada, laluan pembinaan akan dapat mengurangkan impak terhadap kawasan yang sensitif. Kehadiran talian kuasa bervoltan tinggi ECRL di dalam hutan boleh menjana gelombang electromagnet yang mengganggu kompas bio-magnetik haiwan-haiwan khususnya burung-burung, reptilia dan mamalia, menyebabkan mereka terkandas dan sesat, sehingga mengurangkan kadar survival mereka,” ulas Sharan Raj.

“Projek ECRL boleh meneroka pembinaan terowong jika dapat melindungi biodiversiti hutan permukaan. Keadaan bawah tanah di Pergunungan Titiwangsa tidak sesuai untuk organisma yang kompleks, maka impak terowong adalah minimum. Pemagaran landasan keretapi di permukaan mewujudkan ‘kesan pemulauan’ apabila hutan dipecahkan. Oleh itu, memerangkap haiwan-haiwan dalam kawasan yang terhad dan membahayakan akses haiwan terhadap makanan dan air.”

Di samping itu, Sharan Raj juga mencadangkan, “Menggabungkan pengendali ECRL, MRL Sdn Bhd, ke dalam KTMB akan mengurangkan tag harga untuk projek. Selepas penggabungan, ECRL boleh menggunakan landasan KTM di Pelabuhan Klang, koc ETC, depot penyelenggaraan, sistem tiket dan peralatan mengendali kargo, maka mengurangkan kos pembangunan. Mesin Bor Terowong (TBM) dan peralatan meletakkan landasan daripada MRT boleh digunakan untuk pembinaan ECRL. Malaysia telah berjaya mengubahsuai TBM yang digunakan semasa pembinaan MRT 1 dengan menggunakan kebanyakan komponen tempatan dan menggunakan semula dalam MRT 2. ”

“Masalah terbesar dengan ECRL ialah ketiadaan Laporan Penilaian Impak Alam Sekitar (EIA) dan Penilaian Impak Sosial (SIA).SIA yang boleh dipercayai akan mencadangkan penggabungan ECRL ke dalam ETS untuk menggalakkan rangkaikan landasaran keretapi antara negeri yang padat dan berkemampuan. EIA boleh mengesyorkan pelbagai pilihan dan kesan-kesannya untuk menghubngkan Mentakab dengan Lembah Klang. Tanpa SIA dan EIA yang boleh dipercayai, PSM bimbang bahawa projek ini akan tersasar kepada hanya mengambilkira pertimbangan kewangan yang akan mendatangkan ancaman kepada warisan geologi dan ekologi kita.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *