20190413 - berjaya01.jpgPUTRAJAYA: Wakil pekerja dari 5 buah ladang di Batang Berjuntai (Ladang Mary, Ladang Nigel Gardner, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Minyak dan Ladang Bukit Tagar) telah hadir ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada 12 April 2019, untuk menyerahkan surat terkini daripada syarikat Berjaya dan memaklumkan perkembangan terkini supaya KPKT mengambil tindakan untuk mempercepatkan proses penyelesaian masalah perumahan yang dihadapi mereka.

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity yang mewakili pekerja-pekerja yang tinggal di 5 buah ladang berkenaan, telah menerima surat terkini bertarikh 11 Januari 2019 daripada syarikat Berjaya. Pihak syarikat Berjaya telah bersetuju untuk meningkatkan peruntukan tanah kepada keluasan 20 ekar bagi pembinaan rumah teres untuk pekerja-pekerja di 5 buah ladang ini. Sebelum ini, syarikat Berjaya hanya memperuntukkan 12.75 ekar, dan pihak kerajaan mengatakan keluasan tanah tersebut tidak mencukupi untuk membina rumah teres bagi 245 keluarga pekerja. Surat tersebut juga menyatakan bahawa syarikat Berjaya sedang menunggu maklumbalas KPKT untuk perbincangan lanjut tentang projek perumahan.

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity meminta pada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraidah Kamaruddin, supaya memanggil satu mesyuarat susulan bersama dengan pihak syarikat Berjaya dan wakil pekerja dalam masa terdekat.

Isu perumahan yang melibatkan 245 buah keluarga pekerja ladang di bawah syarikat Berjaya ini telah berlarutan untuk 21 tahun. Para pekerja berharap Kerajaan dapat mencampurtangan untuk mempercepatkan penyelesaian isu ini.

Kronologi isu perumahan 5 buah ladang di Batang Berjuntai

1900-an

Ladang-ladang di sekitar Kuala Selangor dan Hulu Selangor, dimiliki oleh sebuah syarikat Perancis, iaitu Syarikat Socfin.

1998

Syarikat Socfin menjual tanah perladangan seluas 11,500 ekar kepada syarikat Berjaya dengan harga RM 650 juta.

1 September 1998

Syarikat Socfin memberhentikan pekerja-pekerja ladang dan diberi faedah renti kerja mengikut tahun perkhidmatan. Surat pemecatan juga menyatakan bahawa pekerja akan diberikan bayaran “ex-gratia” sebanyak RM300 orang.

14 November 1998

Satu mesyuarat yang dianjurkan oleh K. Sivalingam, Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor pada masa itu, bersama dengan wakil daripada syarikat Socfin, syarikat Berjaya, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW) dan Jawatankuasa Kebajikan Pekerja Socfin/Berjaya, untuk membincangkan masalah yang dihadapi oleh pekerja Ladang Bukit Tinggi dan Minyak Factory akibat penukaran pentadbiran ladang. Dalam mesyuarat tersebut, pengurus ladang Berjaya, Mugunthan, memberi jaminan dalam beberapa perkara berikut:

  1. Semua pekerja Socfin akan diambil untuk bekerja di bawah syarikat Berjaya;
  2. Pekerja-pekerja yang mempunyai masalah kencing manis dan darah tinggi juga akan diterima bekerja di bawah pengurusan baru;
  3. Perkhidmatan semasa seperti sekolah, tempat ibadat, kedai-kedai perniagaan dan semua pertubuhan awam akan beroperasi seperti biasa dan pengurusan baru tiada sebarang halangan bagi perkara tersebut.

12 Januari 1999

Satu mesyuarat diadakan di ibupejabat syarikat Berjaya dianjurkan oleh G. Palanivel selaku Ahli Parlimen Hulu Selangor pada masa itu, untuk membincangkan masalah perumahan. Dalam mesyuarat tersebut, syarikat Berjaya berjanji akan membina perumahan untuk pekerja-pekerja ladang jika ladang dijual untuk pembangunan. Sebelum ini, satu persetujuan juga dicapai bahawa pekerja boleh mendapat milikan sendiri untuk rumah ladang yang tinggal sekarang.

6 Julai 1999

K. Sivalingam selaku Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor pada masa itu menulis satu surat kepada Pengerusi Kebajikan Pekerja Berjaya/ Socfin dan menyatakan dalam surat tersebut bahawa pihak Kerajaan Negeri telahpun mengadakan mesyuarat sebanyak 2 kali dengan Syarikat Berjaya dan mereka bersetuju untuk membina rumah kos rendah kepada penduduk dan keutamaan akan diberikan kepada bekas pekerja ladang. Surat ini dihantar salinan kepada Hj. Abu Hassan b Hj. Omar, Menteri Besar Negeri Selangor pada masa itu.

27 Februari 2008

Syarikat Berjaya menulis kepada Mohd Khir Toyo, Menteri Besar Selangor pada masa itu, menyatakan bahawa syarikat Berjaya setuju memperuntukkan lot tanah berkeluasan 4000 kaki persegi kepada pekerja ladang untuk membina rumah secara sendiri dengan beberapa syarat. Antaranya pekerja-pekerja ladang yang berkhidmat sekurang-kurang 10 tahun layak mendapat tanah; tanah hanya untuk membina rumah dan bukan tujuan lain; tidak boleh memindah milik kepada pihak ketiga dalam tempoh masa 10 tahun pertama.

5 Mac 2008

Ketua Setiausaha Sulit kepada Menteri Besar Selangor masa itu, Norzaton Aini bt Mohd. Kassim, menghantar surat kepada Haji Sulaiman bin Haji Abd. Razak, calon ADUN Permatang untuk mengemukakan minit mesyuarat daripada tetuan Berjayacity Sdn. Bhd. bertarikh 27 Februari 2008 mengenai mesyuarat bertajuk “Alocation of 4,000 sq ft land (each lot) to Berjayacity estate workers in Sungai Tinggi, Mukim Sungai Tinggi Daerah Hulu Selangor, Selangor Darul Ehsan”. Surat ini dihantar salinan kepada Tetuan Berjayacity Sdn Bhd.

17 April 2009

Dr. Xavier Jayakumar, Ahli Exco Kerajaan Selenagor untuk Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Perihatin pada masa itu, menulis surat kepada Vincent Tan selaku Pengerusi Berjaya Corporation Berhad, menyatakan bahawa Kerajaan Pakatan Rakyat Negeri Selangor komited untuk menyediakan rumah-rumah mampu milik kepada pekerja-pekerja ladang dan menyatakan hasrat untuk mengadakan perbincangan lanjut berhubung perkara ini. Surat ini diberi salinan kepada Abdul Khalid bin Ibrahim selaku Menteri Besar Selangor pada masa itu dan G. Sankaran selaku Setiausaha Agung NUPW.

29 April 2009

Dr. Xavier Jayakumar, Ahli Exco Kerajaan Negeri yang bertanggungjawab pada pekerja ladang pada masa itu, membuat lawatan ke 2 lokasi, iaitu tanah milik KDEB, Batu 11 berhampiran Agro Tech, Batu 11, Jalan Raja Musa dan lokasi sekeliling Unisel, Bestari Jaya, untuk perancangan skim perumahan pekerja 5 buah ladang di Batang Berjuntai.

30 April 2009

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menulis surat kepada Dr. Xavier Jayakumar, menyatakan persetujuan tentang lokasi yang dilawat Dr. Xavier Jayakumar di Ladang Sungai Tinggi, terutamanya di belakang kuil dan merayu pada Dr. Xavier Jayakumar untuk menyatakan hasrat ini kepada Berjaya supaya dirundingkan.

Akhir tahun 2014

Pekerja-pekerja ladang mendapat tahu mengenai Berjayacity berniat untuk menjual tanah perladangan kepada pihak lain. 

10 April 2015

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity berjumpa dengan Ganabatirau Veraman selaku Ahli Exco Kerajaan Negeri Selangor yang dipertanggunjawabkan untuk isu-isu ladang pada masa itu, untuk bembincang tentang masalah perumahan. 

23 April 2015

Wakil ladang dari Bukit Tagar dan Pengerusi Pertubuhan Perkhidmatan Rakyat Paul Sinnapan telah berjumpa dengan Mohamed Azmin bin Ali selaku Menteri Besar Selangor pada masa itu, di program Asean Civil Society Conference yang diadakan di bangunan MCA. Pada masa itu, Menteri Besar mengatakan bahawa akan cuba meneliti isu ini.

11 Mac 2016

Seramai 57 orang bekas pekerja dari 5 buah ladang mendapat notis pengosongan rumah di ladang sebelum 15 April 2016. Notis tersebut juga mengatakan bahawa jika gagal mengosongkan rumah sebelum 15 April 2016, pihak majikan, iaitu Tagar Properties, akan menggunakan pihak luar atau khidmat polis untuk mengusir pekerja.

31 Mac 2016

Pekerja-pekerja membuat aduan polis terhadap Tagar Properties Sdn Bhd di IPD Kuala Selangor kerana notis yang diberikan adalah berunsur ugutan. Mereka risau akan berlaku pengusiran paksa tanpa melalui proses perundangan yang sah.

4 April 2016

Beberapa orang wakil dari Bukit Tagar hadir ke Pejabat Ganabatirau Veraman selaku Ahli Exco Selangor masa itu untuk membincangkan masalah perumahan pekerja ladang. Lee Kee Hiong selaku ADUN Kuala Kubu Baru turut bersama Ganabatirau dalam perjumpaan itu. Dalam perjumpaan tersebut, Ganabatirau memberitahu bahawa syarikat Berjaya sedia membina rumah seperti yang dijanjikan tetapi menghadapi masalah dalam kos untuk membina saluran paip yang dianggarkan RM6 juta.

13 April 2016

Pekerja-pekerja dari 5 buah ladang, iaitu Ladang Mary, Ladang Sungai Tinggi, Ladang Bukit Tagar, Ladang Nigel Gardner dan Ladang Minyak menghantar satu memorandum kepada Mohamed Azmin bin Ali selaku Menteri Besar Selangor dan Ganabatirau Veraman selaku Ahli Exco yang dipertanggunjawabkan untuk isu-isu ladang di Negeri Selangor supaya mencampurtangan dan menyelesaikan masalah pekerja di 5 buah ladang tersebut yang telah berlarutan sejak dari tahun 1998.

18 April 2016

Wakil pekerja dari 5 buah ladang, wakil dari Pertubuhan Perkhidmatan Rakyat dan penasihat Jawatankuasa Perumahan Pekerja S. Arutchelvan, wakil daripada syarikat Berjayacity dan Tagar Propeties hadir dalam mesyuarat bersama. Dalam mesyuarat tersebut, satu keputusan dibuat iaitu pengusiran paksa oleh Tagar Propeties akan ditangguhkan sehingga masalah perumahan pekerja ladang diselesaikan.

22 September 2016

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menghantar satu surat kepada Vincent Tan Chee Yioun selaku Pengerusi Berjaya Corporation Berhad, untuk mohon satu temujanji bagi bincang isu perumahan 5 ladang Batang Berjuntai.

24 November 2016

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menghantar satu surat kepada Ganabatirau Veraman selaku Exco Kerajaan Selangor, menyatakan bahawa Jawatankuasa tidak bersetuju dengan tawaran Berjayacity, iaitu RM20,000 dan membeli rumah Selangorku. Mereka menegaskan tuntutan rumah rumah teres percuma. Juga dinyatakan dalam surat tersebut bahawa tawaran ini perlu dibincang dengan semua penduduk di 5 buah ladang dan ia memerlukan masa.

7 Disember 2016

Berjayacity menghantar surat kepada Ganabatirau Veraman selaku Exco Kerajaan Negeri Selangor untuk memberikan senarai pekerja dari 5 ladang yang ditawarkan RM20,000 dan rumah Selangorku.

13 April 2017

Pekerja-pekerja dari 5 buah ladang di Batang Berjuntai menyerahkan memorandum kepada Berjaya. Memorandum ini diterima oleh Zurainah Binti Musa selaku Pengarah Eksekutif Berjaya.

15 Mei 2017

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menghantar surat kepada Vincent Tan Chee Yioun selaku Pengerusi Berjaya untuk meminta maklumbalas tentang masalah perumahan 5 buah ladang dan alamat untuk dihubungi Jawatankuasa pada masa depan. Surat ini dihantar salinan kepada Ganabatirau selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin Negeri Selangor, Prosper/Tagar Properties Sdn Bhd, dan S. Arutchelvan selaku Penasihat Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity.

20 Mei 2017

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menghantar surat kepada Mohamed Azmin bin Ali selaku Menteri Besar Selangor dan Ganabatirau selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Pekerja Ladang, Kemiskinan dan Kerajaan Prihatin untuk tangguhkan semua permohonan kebenaran pindah milik tanah ladang oleh Berjayacity sehingga masalah perumahan 5 ladang selesai.

21 September 2017

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menghantar surat kepada Noh bin Hj Omar selaku Menteri Perumahan pada masa itu dan Vincent Tan Chee Yioun, menyatakan bahawa saiz tanah yang diberi oleh Berjaya City, iaitu 12.75 ekar, tidak cukup untuk KPKT membina rumah dan memberi justifikasi untuk meningkatkan saiz tanah kepada 20 ekar supaya KPKT boleh membina rumah teres kepada 245 pekerja ladang.

13 Mac 2018

Pekerja-pekerja dari 5 buah ladang menghantar satu memorandum kepada Noh bin Hj Omar, menyatakan bahawa Kementerian Perumahan harus bertanggungjawab untuk membina rumah teres kepada kesemua 245 keluarga di 5 buah ladang ini.

29 Mei 2018

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menghantar surat kepada Zuraidah Kamaruddin selaku Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan dengan tuntutan menghentikan segala projek perumahan dan membuat kajian semula projek PPR Bestari Jaya kerana tidak dipersetujui oleh majoriti pekerja ladang. Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity satu temujanji dengan Menteri.

19 Disember 2018

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity hadir ke Berjaya Times Square untuk menghantar surat kepada Vincent Tan Chee Yioun. menyatakan bahawa saiz tanah yang diberi oleh Berjaya City, iaitu 12.75 ekar, tidak cukup untuk KPKT membina rumah dan menuntut saiz tanah 20 ekar untuk membina rumah teres kepada 245 pekerja ladang.

26 Februari 2019

Jawatankuasa Perumahan Pekerja Berjayacity menerima surat bertarikh 11 Januari 2019 daripada Berjaya yang menyatakan bahawa Berjaya tiada halangan untuk memberi tanah seluas 20 ekar bagi tujuan pembinaan rumah 245 pekerja ladang di Batang Berjuntai.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *