8 Mac 2019: Pilihanraya Kecil (PRK) untuk kawasan DUN Semenyih di Selangor, telah mencatatkan rekod kesalahan pilihanraya yang tertinggi dalam 6 pilihanraya kecil yang diadakan sejak PRU-14. Walau bagaimanapun, Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang meletakkan Nik Aziz Afiq sebagai calonnya dan calon bebas Kuan Chee Heng yang lebih dikenali sebagai Uncle Kentang didapati tidak melakukan apa-apa kesalahan pilihanraya ketika PRK Semenyih. Pendedahan ini dibuat oleh Gabungan BERSIH 2.0 yang juga merupakan pemantau bebas semasa PRK Semenyih, dalam “Laporan Pemerhatian Pilihanraya Kecil N24 Semenyih” yang dibentangkan untuk tatapan umum pada hari ini.
Menurut laporan pemerhatian yang dibentangkan oleh BERSIH 2.0, telah direkodkan bahawa terdapatnya 35 kes salah laku dan kesalahan pilihanraya sepanjang tempoh kempen PRK Semenyih, di mana Pakatan Harapan (PH) dilaporkan terlibat dalam 21 kes kesalahan dan Barisan Nasional (BN) melakukan 17 kes kesalahan. Sementara terdapatnya satu kes yang dilakukan oleh orang yang tidak dapat dikenalpasti. Tiada rekod kesalahan untuk calon PSM dan calon bebas.
Antara salah laku dan kesalahan pilihanraya sepanjang tempoh PRK Semenyih adalah pengaruh yang tidak wajar (8 kes, di mana kesemuanya dilakukan oleh PH), pemberian hadiah atau penjamuan makanan (5 kes, juga kesemuanya dilakukan oleh PH), keganasan politik (2 kes, 1 oleh BN dan 1 oleh pihak yang tidak dapat dikenalpasti), mempermainkan sentiment kaum dan agama semasa berkempen (3 kes, kesemuanya dilakukan oleh BN) dan masalah pada hari mengundi (17 kes, 8 oleh PH, 9 oleh BN).
BERSIH 2.0 menyatakan kekecewaannya terhadap penggunaan pemberian hadiah dan penjamuan makanan untuk meraih undi semasa kempen pilihanraya walaupun ini merupakan satu kesalahan pilihanraya. PH didapati mengedarkan bubur lambuk dalam bekas yang berpelekat logo PH kepada orang ramai di hadapan masjid selepas solat Jumaat. Salah satu contoh peristiwa ialah pemimpin PH yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin didapati berbuat demikian pada 1 Mac 2019, iaitu sehari sebelum pengundian, di depan Masjid Raja Muda Musa Semenyih. Penjamuan makanan merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 8 Akta Kesalahan Pilihan Raya. Adalah mustahil untuk ahli-ahli politik yang lama berkecimpung dalam arena politik dan banyak kali menyertai pilihanraya tidak mengetahui tentang tindakan yang melanggar prinsip keadilan pilihanraya dan merupakan kesalahan di sisi undang-undang ini.
Kedua-dua PH dan BN juga didapati berkempen di luar pusat mengundi pada hari mengundi. Perbuatan merayu undi pada hari mengundi merupakan satu kesalahan di bawah seksyen 26(1)(f) Akta Kesalahan Pilihan Raya.
Walau bagaimanapun, menurut laporan BERSIH 2.0, PRK Semenyih berjalan dengan lancar dan teratur secara keseluruhannya. BERSIH 2.0 berpandangan bahawa terdapatnya penambahbaikan dalam PRK Semenyih berbanding pilihanraya sebelumnya dari aspek berikut:
- SPR telah menghantar kad pengundi kepada pengundi. Inisiatif ini telah mencepatkan proses mengundi.
- SPR telah mengeluarkan maklumat perhubungan Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PPKPR), Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk edaran umum supaya orang awam boleh melaporkan kesalahan pilihan raya kepada pihak tersebut.
- Bilangan PPKPR telah ditambah ke 4 pasukan. Walaupun demikian, penguatkuasaan oleh PPKPR masih kurang memuaskan.
BERSIH 2.0 telah mengemukakan cadangan penambahbaikan seperti berikut:
- SPR harus memberi taklimat atau latihan kepada PPKPR supaya mereka dapat menjalankan penguatkuasaan dengan berkesan.
- Penyelarasan antara PPKPR dan PDRM harus dijelaskan supaya penguatkuasaan undang-undang pilihan raya dijalankan dengan berkesan.
- SPR harus menugaskan kerani pengundian 4 di saluran 1 dan 2 pusat pengundi supaya mereka dapat memberi bantuan kepada pengundi warga emas dan orang kurang upaya yang berkerusi roda tanpa menganggu kerja ketua tempat mengundi. Jika tidak, pemandu arah pusat mengundi boleh ditugaskan untuk membantu pengundi-pengundi tersebut.
- SPR mewujudkan satu borang atas talian supaya orang awam yang telah membuat laporan polis tentang kesalahan pilihan raya dapat muat naik salinan laporan mereka. Ini dapat membantu SPR untuk menjalankan follow-up dengan pihak polis mengenai status siasatan polis.
- SPR harus mengadakan taklimat untuk semua calon atau wakil calon mengenai peraturan pilihan raya dan apa yang boleh dan tidak boleh dibuat semasa tempoh pilihan raya. Cadangan masa taklimat ialah 2 jam dan nota diberi kepada calon atau wakil calon yang hadir.
Baca secara penuh “Laporan Pemerhatian Pilihan Raya Kecil N24 Semenyih” di sini.