20190216085217__MG_1377-01-01

Parti Sosialis Malaysia (PSM) bertanding dalam Pilihanraya Kecil (PRK) Semenyih dengan Nik Aziz Afiq sebagai calonnya. Mungkin masih ada orang yang tertanya-tanya, PSM hanya sebuah parti kecil, apa boleh dilakukannya dengan hanya seorang wakil rakyat dalam Dewan Undangan Negeri?

PSM bukan sahaja menawarkan seorang calon yang berkualiti dan dapat dipercayai, tetapi juga membawa visi politik yang bersifat pembebasan untuk rakyat terbanyak. Apabila parti-parti aliran utama sedang bersaing sekadar untuk mendapatkan kuasa untuk diri sendiri, ataupun bergaduh sesama diri tentang isu-isu yang tiada kaitan langsung dengan rakyat, PSM tetap berusaha membangkitkan isu-isu yang berkait rapat dengan rakyat bawahan dan membina kuasa rakyat demi pembaharuan masyarakat yang menjamin kesejahteraan rakyat terbanyak.

1. Semak-dan-imbang yang sebenar

Pada masa kini, antara 56 kerusi dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, dengan kerusi DUN Semenyih dikosongkan, Pakatan Harapan sudah menguasai 50 kerusi. Ini merupakan satu majoriti yang amat selesa.

Kita tidak boleh mengharapkan ADUN daripada UMNO-BN untuk melakukan kerja semak-dan-imbang dalam DUN Selangor kerana sejarahnya yang penuh dengan masalah penyelewengan dan salahguna kuasa serta mempermainkan isu-isu perkauman.

PSM mampu menawarkan semak-dan-imbang yang sebenar dengan sentiasa membangkitkan isu-isu rakyat marhaen. PSM telah lama memperjuangkan isu-isu berkaitan dengan masyarakat rakyat biasa, seperti perumahan, hak pekerja dan sebagainya.

Walaupun hanya seorang wakil rakyat dalam Dewan Undangan Negeri sekiranya calon PSM menang, tetapi wakil rakyat daripada PSM dapat menyuarakan dengan lantangnya isu-isu rakyat biasa dan mendesak supaya kerajaan memberi respon kepada tuntutan rakyat. Wakil rakyat PSM dalam Dewan juga tetap akan bersama-sama dengan gerakan rakyat di luar Dewan dalam aksi-aksi massa untuk memberi tekanan kepada pihak berkuasa supaya menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat biasa dan memastikan hak rakyat dilindungi.

2. Sedia berkhidmat dengan penuh dedikasi

PSM telah terbukti dalam rekod sejarahnya berjuang dalam isu-isu masyarakat bawahan dan juga membantu dalam menyelesaikan pelbagai masalah.

Seperti yang dikatakan oleh Nik Aziz Afiq, “Menang kami berkhidmat, kalah pun kami berkhidmat. Memang ini cara politik PSM, tetap berkhidmat untuk rakyat!” Pusat khidmat di kawasan yang ditandinginya tetap dibuka selepas pilihanraya walaupun kalah. Bekas calon PSM untuk kawasan DUN Semenyih, S. Arutchelvan, walaupun sudah kalah tiga kali di situ, masih rajin dan gigih dalam memberi khidmat kepada penduduk setempat.

Pemimpin PSM yang pernah dipilih menjadi wakil rakyat, seperti Dr. Jeyakumar Devaraj (sebagai Ahli Parlimen Sungai Siput pada tahun 2008-2018) dan Dr. Nasir Hashim (sebagai ADUN Kota Damansara di Selenagor pada tahun 2008-2013) telah berkhidmat dengan berdedikasi untuk rakyat setempat dan menyelesaikan banyak masalah. Malah, untuk calon PSM, sama ada menang ataupun kalah, tetap akan berkhidmat dan pusat khidmat juga akan terus dibuka untuk menerima aduan daripada rakyat.

3. Semangat muda dan nafas baru politik

Dengan menampilkan Nik Aziz Afiq, sebagai calon PSM untuk PRK Semenyih, menunjukkan keazaman PSM untuk meraih semangat muda yang dinamik dan memberi nafas segar kepada politik tanahair kita. Sudah lama politik negara kita didominasi oleh golongan elit yang sudah sebati dengan sistem politik yang kolot dan penuh dengan kepincangan. Adalah amat sukar untuk kita melakukan pembaharuan kepada sistem politik dan sosio-ekonomi sekiranya ahli-ahli politik yang berkuasa atau dipilih sebagai wakil rakyat masih terperangkap dalam kerangka pemikiran politik lama.

4. Perspektif dan idea yang progresif

Berbeza dengan parti-parti aliran utama yang sentiasa berjinak-jinak dengan pemodal besar, PSM mengemukakan analisis yang berbeza dalam mengupas permasalahan yang dihadapi oleh masyarakat kita. Politik negara kita sudah lama dikuasai oleh politikus yang mempermainkan sentimen perkauman sehingga memesongkan perspektif rakyat dalam melihat perkara-perkara yang berkait rapat dengan kehidupan kita. PSM menolak politik perkauman dengan menawarkan perspektif politik yang berlandaskan kelas.

Penguasaan terhadap pengagihan kekayaan dan pemerasan terhadap rakyat bawahan oleh golongan elit yang berkhidmat untuk kelas kapitalis (iaitu pemodal besar yang hanya mengutamakan keuntungan), merupakan masalah pokok dalam masyarakat kita. Dominasi kelas atasan ini hanya dapat dipecahkan oleh kuasa rakyat dari bawah. Oleh itu, PSM bertekad untuk mengusahakan pemberdayaan sosial dan membina kuasa rakyat dari bawah, supaya rakyat biasa dapat menentukan nasib kita secara bersama tanpa perlu bergantung pada mana-mana elit politik.

PSM merupakan satu-satunya parti yang sentiasa memperjuangkan hak pekerja, pendidikan percuma, perlindungan terhadap sistem kesihatan awam, demokrasi dari bawah, pengagihan kekayaan yang lebih adil melalui sistem percukaian progresif dan mencabar kekuasaan imperialisme global yang membiak ketidakadilan sosial. PSM menawarkan analisis sosio-politik yang berasaskan kelas dan mengajukan idea membawa perubahan sebenar melalui kuasa rakyat.

Undi PSM! Undi Nik Aziz untuk Semenyih!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *