Pekerja-pekerja pembersihan yang diupah oleh kontraktor swasta untuk bekerja di Lapangan Terbang KLIA telah dibuang kerja tanpa notis oleh majikan mereka, hanya kerana pekerja-pekerja ini meminta penjelasan daripada majikan kenapa gaji mereka dipotong tanpa sebab yang munasabah.
Pekerja-pekerja pembersihan ini diupah oleh Maizad Sdn Bhd. Mereka tidak diberi cuti tahunan. Gaji pekerja-pekerja ini dipotong RM 100-200 setiap bulan oleh majikan dengan alasan pekerja tidak hadir kerja sedangkan tuduhan tersebut tidak benar. Apabila pekerja-pekerja yang tidak faham bagaimana gaji mereka boleh dipotong sewenang-wenang ini cuba menyoal pada pihak majikan supaya mendapatkan penjelasan, mereka terus dibuang secara tiba-tiba.
Syarikat Maizad Sdn Bhd juga gagal membayar pekerjanya mengikut Perintah Gaji Minimum sejak tahun 2016.
Pada 19 Disember 2018, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM) Sivarajan Arumugam bersama dengan pekerja-pekerja pembersihan yang dibuang kerja ini telah mengunjungi pejabat urusan syarikat Maizad Sdn Bhd yang terletak di Hulu Klang untuk menuntut penjelasan daripada pihak majikan.
Pekerja-pekerja pembersihan yang dibuang kerja ini akan memfailkan kes di Jabatan Perhubungan Perusahaan untuk menuntut semula hak mereka yang dicabuli majikan.