KUALA LUMPUR – 20 SEPTEMBER 2018: Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Samad telah bersetuju untuk meneliti isu perumahan bekas pekerja Ladang Bukit Jalil, berikutan satu perjumpaan dengan wakil penduduk Bukit Jalil bersama dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) pada hari semalam, 19 September 2018.
Jawatankuasa Bekas Pekerja Ladang Bukit Jalil mengadakan satu sidang akhbar pada hari ini untuk memberitahu hasil pertemuan dengan Menteri Wilayah Persekutuan kelmarin.
Wakil Penduduk Ladang Bukit Jalil bersama dengan Parti Sosialis Malaysia (PSM) telah berjumpa dengan YB Khalid Samad, Menteri Wilayah Persekutuan pada 19hb September 2018, berkenaan dengan isu perumahan bekas pekerja ladang Bukit Jalil yang berlarutan selama 38 tahun.
Wakil penduduk yang hadir dalam mesyuarat dengan Menteri Wilayah Persekutuan termasuk Bala selaku Setiausaha Jawatankuasa Penduduk, Kathiravan selaku Bendahari Jawatankuasa, Govindasamy selaku Ahli Jawatankuasa Penduduk, Samy selaku wakil daripada FREEDOM (sebuah badan bukan kerajaan), dan S. Arutchelvan, selaku penasihat kepada Jawatankuasa Penduduk Ladang Bukit Jalil yang juga merupakan Ahli Jawatankuasa Pusat PSM.
Dalam perjumpaan kelmarin, Khalid Samad selaku Menteri Wilayah Persekutuan telah berjanji bahawa bekas pekerja ladang Bukit Jalil tidak akan menghadapi sebarang masalah daripada pihak berkuasa dan tidak perlu takut. Beliau telah menyatakan bahawa beliau akan meneliti tuntutan bekas pekerja ladang Bukit Jalil dalam masa yang terdekat.
Pekerja menuntut pada kerajaan untuk:
- Membina rumah kos rendah di tanah sedia ada, iaitu tuntutan 4 ekar untuk 41 orang bekas pekerja Ladang Bukit Jalil.
- Kekalkan kuil, kubur dan sekolah Ladang Bukit Jalil, seperti yang dijanjikan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) seperti dalam surat bertarikh 29 Disember 2010.
Latar belakang isu perumahan bekas pekerja Ladang Bukit Jalil
Sebanyak 41 keluarga bekas pekerja Ladang Bukit Jalil yang menghadapi masalah perumahan yang berlarutan untuk 38 tahun.
Ladang Bukit Jalil terletak di batu 6 1/2 Jalan Puchong, Kuala Lumpur. Ladang ini merupakan ladang terakhir di kawasan berhampiran Kuala Lumpur dan penduduk di sini telah menetap di ladang ini untuk empat generasi dan hampir 80 tahun. Selain rumah penduduk yang merupakan bekas pekerja ladang, terdapat juga kuil, sekolah dan tanah perkuburan di kawasan ladang ini.
Semasa negara kita mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, Ladang Bukit Jalil sudah pun wujud. Ladang tersebut pada asalnya adalah di bawah pengurusan Kinrara Estate Group Sdn Bhd. Sejak tahun 1976, Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Ladang (NUPW) menuntut pada Kinrara Estate Group Sdn. Bhd untuk memberi tanah bagi membina rumah untuk pekerja di bawah Skim Perumahan Sendiri Tun Razak. Tuntutan untuk membina rumah teres di tanah sedia ada telah dibuat banyak kali selepas itu.
Pada tahun 1980, Kerajaan (melalui Kementerian Wilayah Persekutuan) telah mengambilalih pengurusan ladang daripada Kinrara Estate Group dengan menggunakan Akta Pengambilan Tanah 1960. Semasa proses pengambilan tanah itu, rumah untuk pekerja ladang seperti yang dijanjikan masih tidak dibina, malah pihak Kerajaan yang menjadi pemilik ladang terus memerah tenaga buruh pekerja yang masih tinggal ini untuk menoreh getah dengan menggunakan kontraktor-kontraktor upahan kerajaan. Lebih 7 kontraktor datang dan pergi, peluh ditaburkan dan hidup pekerja masih susah, tetapi yang lebih teruk adalah kontraktor yang dilantik Kerajaan itu tidak membayar caruman KWSP dan PERKESO.
Pada bulan September 1988, Menteri Wilayah Persekutuan pada masa itu telah berjanji bahawa bekas pekerja ladang boleh tinggal di rumah ladang sehingga perumahan kos rendah dibina di kawasan ini.
Ladang bersebelahan, Ladang Kinrara yang berhenti beroperasi pada tahun 1983, telah pun diberikan rumah teres kos rendah pada tahun 1992 tetapi Ladang Bukit Jalil yang diambilalih oleh kerajaan pula, masih tiadanya berita membina rumah teres atau memberi tanah untuk perumahan kepada pekerja di tanah ini sehingga hari ini.
Lebih menghina adalah pada tahun 2007, bekas pekerja ladang yang tinggal di sini telah dilabel sebagai setinggan, dan notis pengusiran paksa di bawah Ordinan Darurat (Pembersihan Setinggan) yang zalim telah diberikan kepada penduduk. Penduduk dipaksa mengosongkan tanah dan berpindah ke rumah PPR (Program Perumahan Rakyat) yang kecil dan tidak selesa. Ordinan yang zalim ini telah dimansuhkan pada tahun 2011. Penduduk membantah pengusiran paksa ini dan membuat tuntutan 4 ekar tanah SAHAJA untuk membina rumah di samping menuntut kuil, sekolah dan kubur dikekalkan di tempat yang sedia ada.
Pada 31 Mei 2012, setelah berkampung selama 36 jam di hadapan Pejabat Perdana Menteri, penduduk Ladang Bukit Jalil mendapat satu kejayaan apabila Perdana Menteri pada masa itu Najib Razak bersetuju untuk bertemu dengan jawatankuasa penduduk.
Pada 10 Julai 2012, jawatankuasa penduduk berjaya berjumpa dengan Perdana Menteri di Putrajaya. Dalam mesyuarat tersebut, Perdana Menteri memberitahu kepada wakil penduduk bahawa tuntutan mereka adalah adil dan sepatutnya kerajaan membina rumah untuk pekerja seperti di Ladang Kinrara. Perdana Menteri berjanji akan mengkaji tuntutan 4 ekar dan akan menghentikan semua pengusiran paksa oleh DBKL sehingga masalah diselesaikan. Pada mesyuarat yang sama, Perdana Menteri juga mencadangkan supaya pekerja ladang diberi rumah teres alternatif dan bukannya tanah.
Selepas perjumpaan tersebut, Pejabat Perdana Menteri telah mengambil masa yang lama untuk memberikan maklum balas terhadap tuntutan penduduk Ladang Bukit Jalil. Pada 2 Oktober 2012, penduduk Ladang Bukit Jalil dimaklumkan dengan keputusan daripada Perdana Menteri, iaitu permohonan 4 ekar tanah ditolak sementara tawaran untuk PPR masih terbuka, penduduk akan diberi pampasan RM 35,000 setiap keluarga. Namun, penduduk tidak berpuas hati dengan tawaran tersebut yang tidak memenuhi tuntutan untuk hak perumahan yang sewajar.
Kemudiannya dalam satu mesyuarat pada 11 Oktober 2012 dengan pihak Pejabat Perdana Menteri, pihak Kerajaan pertama kali menawarkan wang pampasan bernilai 85,000 tunai kepada setiap pekerja dan waris; tetapi tanah 4 ekar yang diminta tidak dapat diberikan.
Pada bulan Disember 2014, penduduk Ladang Bukit Jalil telah membuat undian berkenaan tawaran RM 85,000. Hasil daripada undian tersebut, penduduk dengan sebulat suara telah menolak tawaran RM 85,000 kerana apa yang mereka perlukan adalah perumahan bukannya wang. Bekas pekerja ladang ini telah berkorban selama 4 generai untuk pembangunan negara tetapi masih tidak mendapat perlindungan dari segi hak perumahan.
Penduduk Ladang Bukit Jalil tegas dengan pendirian mereka dalam tuntutan 4 ekar tanah untuk 41 orang bekas pekerja Ladang Bukit Jalil.
One thought on “Menteri Wilayah Persekutuan akan teliti isu perumahan bekas pekerja Ladang Bukit Jalil”