PUTRAJAYA – 8 SEPTEMBER 2018: 2 orang pelajar, Asheeq Ali Sethi Alivi dan Siti Nurizzah Tazali, telah ditahan polis pada awal pagi tadi, berikutan protes duduk bantah semalam yang diadakan oleh sekumpulan pelajar yang membantah perlantikan Menteri Pendidikan Dr. Maszlee Malik sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaudia (UIAM). Kedua-dua orang yang ditahan telah dibebaskan dengan jamin polis selepas itu pada jam lebih kurang 8 pagi tadi.
Menurut Asheeq Ali, salah seorang pelajar yang ditahan, mereka ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan (pencerobohan) susulan laporan polis yang dibuat oleh Kementerian Pendidikan Malaysia.
“Semasa kami ditahan, hanya saya dan Izzah berada di dalam perkarangan tersebut, manakala rakan-rakan lain berada di luar pagar kerana tidak diberi kebenaran untuk masuk. Hanya dengan dua orang di dalam perkarangan, dikelilingi oleh lebih 20 orang pegawai polis dari IPD Putrajaya dan lebih sepuluh orang pengawal keselamatan, mana mungkin kami mengancam keselamatan seperti yang didakwa oleh pihak kementerian? Unsur keselamatan hanyalah helah mereka untuk memberhentikan protes kami,” kata Asheeq Ali dalam satu kenyataan yang dimuatnaik dalam laman facebook selepas beliau dibebaskan.
Pelajar-pelajar tersebut mengadakan aksi protes duduk bantah dengan tuntutan pada kerajaan supaya menghormati autonomi universiti. Mereka menuntut supaya Dr. Maszlee mengundur diri daripada jawatan Presiden UIAM. Perlantikan seorang menteri kabinet sebagai Pengerusi UIAM akan menimbulkan percanggahan kepentingan dan menjejaskan autonomi universiti.
“Perjuangan kami akan berterusan sehingga Dr Maszlee letak jawatan tersebut,” tegas Asheeq Ali.