KLANG, SELANGOR – Pada 22 Ogos 2018, ketika waktu malam, Kampung Bukit Kuda yang terletak di Klang, Selangor, telah didatangi 6 orang lelaki. Mereka terdiri daripada seorang bernama Khairul yang menggelar dirinya sebagai Dato’, seorang bernama Faizal yang menggelar dirinya sebagai tuan tanah, dan 4 orang lagi pegawai polis dari Ibupejabat Polis Daerah Klang Utara. Mereka telah mengugut pada penduduk Kampung Bukit Kuda bahawa mereka mahu robohkan rumah-rumah di Kampung Bukit Kuda pada malam itu juga.
Khairul yang bergelaran Dato’ itu turut berkata bahawa dia mendapat kuasa daripada Mahathir untuk merobohkan rumah-rumah di Kampung Bukit Kuda. Salah seorang pegawai polis yang bernama Naser turut mengugut penduduk dengan kuasa polis. Dia berkata bahawa dia ada senjata dengannya dan tahu apa yang patut dilakukan.
Akibat daripada ugutan ini, semua penduduk telah pergi ke Balai Polis Bandar Baru Klang dan membuat aduan polis terhadap kesemua 6 orang yang melakukan ugutan jenayah tersebut.
Latar belakang isu berkaitan dengan perjuangan hak perumahan di Kampung Bukit Kuda
Kampung Bukit Kuda yang terletak di sempadan Klang dan Batu Tiga wujud lebih daripada 50 tahun. Pada asalnya, ketika tahun 1960-an, kampung ini merupakan ladang getah. Pada masa itu, orang yang bekerja di ladang getah itu membersihkan tanah dan membina rumah sendiri. Pada hari ini, tidak lagi wujud ladang getah di situ dan semua tanahnya dibina rumah oleh penduduk dan anak-anak mereka.
Pada masa sekarang, seramai 32 buah keluarga tinggal di KampungBukit Kuda. Penduduk-penduduk yang menetap di Kampung Bukit Kuda terdiri daripada orang Melayu dan India. Sudah tiga generasi mereka menetap di kampung ini. Semua yang tinggal di kampung inimerupakan golongan berpendapatan rendah. Majoriti penduduk juga dalam kategori umur 40 tahun dan lebih.
Pada awalnya, penduduk pernah membayar sewa kepada beberapa individu bagi rumah yang didiami sekarang. Setelah satu tempoh lebih dari 50 tahun sehingga hari ini, tiada sesiapa datang ke kampung untuk meminta sewa. Sejak tahun 1980-an, beberapa kali penduduk kampung pernah menerima notis untuk mengosongkan rumah. Notis pertama diterima pada tahun 1985, notis kedua dikeluarkan pada tahun 1990, dan pada tahun 1997, seorang individu yang bernama Sayuti bin Hassan yang menggelar dirinya sebagai pemilik tanah muncul dan menawarkan sejumlah wang serta rumah alternatif kos rendah untuk penduduk tinggalkan kampung tersebut. Tetapi tawaran rumah alternatif tidak ditunaikan selepas itu.
Notis Mahkamah diterima oleh penduduk Kampung Bukit Kuda pada 12 Februari 2015. Dalam notis tersebut dinyakatan dua orang yang bernama Mohammad Faizal bin Sayuti dan Nurul Azwa binti Sayuti masing-masing merupakan pemilik tanah dan penduduk kampung adalah penceroboh di situ. Notis tersebut juga mengatakan bahawa semua penduduk yang tinggal di situ adalah orang yang tidak dikenali dan harus mengosongkan rumah. Penduduk dengan segera melantik peguam Edmund Bon dan memberi maklumbalas terhadap dokumen mahkamah (affidavit) pada 21 Mei 2015 untuk menuntut hak sebagai penduduk sah yang menetap di kampung tersebut untuk lebih daripada 50 tahun. Penduduk menang dalam kes 2 tahun lalu di mana keputusannya mereka bukan penceroboh dan memang tinggal di kampung ini untuk lebih 50 tahun. Sehingga sekarang, inilah status mereka.