Parti Sosialis Malaysia (PSM) ialah sebuah parti politik yang berasaskan prinsip sosialisme dan berasiprasikan perjuangan rakyat yang berteraskan keadilan sosial.
PSM memperjuangkan kesejateraan rakyat, keadilan sosial dan demokrasi sejati, demi membebaskan rakyat daripada segala bentuk penindasan dan membina sebuah masyarakat yang benar-benar sejahtera untuk semua.
PSM lahir dari perjuangan rakyat
PSM ditubuhkan pada tahun 1998, oleh aktivis-aktivis yang bergiat dalam gerakan perjuangan rakyat marhaen. Aktivis-aktivis daripada kumpulan masyarakat seperti Suara Warga Pertiwi (SWP), Alaigal dan Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC), yang telah terlibat dalam perjuangan masyarakat ladang dan peneroka bandar bertahun-tahun lamanya, telah membentuk satu jaringan dan menganjurkan aksi Hari Pekerja 1994, satu aksi jalanan sambutan hari bersejarah bagi golongan pekerja yang berlangsung untuk pertama kalinya selepas dua dekad pada masa itu. Jaringan gerakan rakyat tersebut kemudiannya berkembang dan akhirnya berputus untuk menubuhkan PSM, sebuah parti politik yang memperjuangkan kepentingan kelas pekerja dan rakyat marhaen.
Walaupun PSM ditubuhkan pada tahun 1998, tetapi ia mengambil tempoh masa 10 tahun untuk mendaftarkan PSM sebagai sebuah parti politik yang sah untuk bertanding dalam pilihanraya. Walaupun tidak dibenarkan untuk didaftarkan pada awalnya, aktivis PSM tidak berputus asa dalam memperjuangkan pendaftaran parti di samping meneruskan usaha memperjuangkan isu-isu rakyat. PSM merupakan parti politik pertama di Malaysia mencabar Menteri Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia dalam mahkamah kerana dinafikan pendaftaran. Dengan kempen menuntut kebebasan berpersatuan yang mendapat sokongan hebat dari dalam dan luar negera, PSM akhirnya didaftarkan pada tahun 2008.
PSM berjuang bersama rakyat
PSM terlibat dalam pelbagai perjuangan di peringkat kawasan tempatan dan juga nasional, termasuk melawan pengusiran paksa, memperjuangkan hak perumahan, menuntut pelaksanaan akta gaji minimum, membantah cukai GST, menentang penswastaan hospital, menuntut penubuhan tabung pemberhentian kerja, menuntut pemulihan pilihanraya tempatan, menegakkan hak asasi rakyat dan sebagainya.
Penglibatan PSM dalam memperjuangkan isu-isu rakyat ini, bertujuan bukan sahaja mempertahankan hak dan kesejahteraan rakyat daripada ancaman kerakusan golongan atasan, tetapi juga untuk memperkasakan rakyat bawahan supaya rakyat itu sendiri dapat memperjuangkan kepentingan bersama masyarakat dan membawa perubahan yang sebenar.
Agenda perjuangan PSM
Demokrasi sejati
Rakyat biasa dapat menyertai sepenuhnya dalam proses menentukan halatuju masyarakat dan masa depan kehidupan sendiri.
Keadilan ekonomi
Pengagihan kekayaan masyarakat yang saksama, supaya segala hasil usaha rakyat dapat dinikmati bersama semua orang.
Kelestarian alam sekitar
Pembangunan masyarakat yang menjamin keseinambungan ekologi alam sekitar supaya generasi kita akan datang dapat terus hidup dalam persekitaran bumi yang bersih dan selamat.
Perkara yang diperjuangkan PSM termasuk:
- Gaji pekerja yang mampu sara hidup
- Perumahan untuk semua rakyat. Rumah untuk diduduki rakyat, bukannya untuk keuntungan korporat.
- Cukai lebih tinggi ke atas golongan mahakaya 1% teratas
- Pendidikan percuma sehingga ijazah pertama.
- Tingkatkan perkhidmatan kesihatan awam. Sekat pembukaan hospital swasta.
- Iktiraf hak tanah adat masyarakat Orang Asli.
- Lindungi hak tanah untuk petani kecil yang menghasilkan bahan makanan demi memperkukuhkan jaminan makanan negara.
- Pembangunan tenaga boleh diperbaharui yang selamat. Tolak pembinaan loji penjana kuasa nuklear.
- Pencen untuk semua warga emas.
- Kembalikan pilihanraya tempatan.
PSM adalah anggota kepada Gabungan Kiri, satu usahasama antara kumpulan dan individu dalam membina gerakan kiri sebagai alternatif untuk masyarakat Malaysia.
Sertai PSM dengan mengisi borang keahlian secara online di sini.
Sumbangan kewangan boleh disalurkan kepada akaun Maybank, PARTI SOSIALIS MALAYSIA (No. Akaun: 512080337313)
Saya telah ditamatkan perkhidmatan pada tahun 2017 atas alasan salahguna harta syarikat ( PAIP BHD ) iaitu kad invoice petrol untuk kegunaan peribadi. Kes telah dibawa ke mahkamah perusahaan dan bukti2 majikan telah ditolak manakala bukti2/alibi saya tidak dapat disanggah. Tapi apabila keputusan keluar saya dijatuhkan sebagai bersalah. Manakala keputusan mahkamah hanya saya ketahui lewat sembila ( 9 ) hari dari tarikh pemakluman kepada peguam saya. Dengan umur dan keadaan fizikal saya tidak memungkinkan saya untuk memohon sebarang pekerjaan dengan tanggungan saya. Di harap masalah saya ini mendapat perhatian dari pihak PSM yang membela golongan marhien yang tertindas. Semua simpanan saya telah habis dan saya tidak dapat mencari pendapatan lain yang mengakibatkan kesusahan mental dan fizikal terhadap diri berserta tanggungan2 saya. ***