20200410105786755-1552325518201gettyimages-1128530916
(Foto oleh Lev Radin/Pacific Press/LightRocket via Getty Images)

Pada 8 April 2020, Bernie Sanders telah memberhentikan kempennya untuk persaingan penamaan calon Presiden Amerika Syarikat (AS) dalam pemilihan awal Parti Demokratik. “Walaupun kita sedang memenangi pertempuran ideologi, dan walaupun kita sedang memenangi sokongan daripada begitu ramai anak muda dan rakyat pekerja di seluruh dunia, namun saya telah menyimpulkan bahawa pertarungan untuk penamaan Parti Demokratik ini tidak akan berjaya. Jadi, hari ini saya mengumumkan penggantungan kempen saya,” kata Bernie Sanders.  Keputusan untuk menarik diri daripada terus bertanding dalam pemilihan awal Parti Demokratik ini dibuat selepas undi perwakilan yang diperolehinya sudah jauh ketinggalan di belakang Joe Biden, calon yang disokong oleh golongan berkuasa dan puak berhaluan tengah dalam Parti Demokratik.

Walaupun Bernie Sanders mendapat keputusan yang memberangsangkan pada awal pertarungan untuk penamaan calon Presiden daripada Parti Demokratik, dengan memenangi pemilihan awal di negeri New Hamsphire dan Nevada, tetapi telah dipintas oleh Joe Biden khususnya selepas “Super Tuesday” pada 3 Mac 2020. Sehingga 17 Mac 2020 selepas pemilihan awal diadakan di 31 buah negeri dan wilayah, undi perwakilan yang dimenangi oleh Sanders kekurangan lebih 300 di belakang Biden, menjadikannya sudah tidak mungkin lagi untuk memenangi pemilihan awal Parti Demokratik. Sanders membuat pengumuman untuk menggantungkan kempennya sebelum keputusan pemilihan awal di negeri Wisconsin diumumkan, dan juga pada ketika negara AS sedang dilanda krisis wabak COVID-19 yang amat serius.

Walaupun Sanders sudah mengumumkan penarikan diri daripada mengadakan kempen, tetapi namanya akan kekal di atas kertas undi dalam semua pemilihan awal di semua negeri yang belum berlangsung lagi.

Kegagalan sekali lagi Sanders untuk memenangi penamaan sebagai calon Parti Demokratik dalam Pilihanraya Presiden AS yang bakal berlangsung pada bulan November 2020, sudah pasti memberi “kelegaan” kepada golongan pendukung dasar ekonomi neoliberal dalam Parti Demokratik dan juga meningkatkan lagi peluang untuk Donald Trump mengekalkan jawatan Presiden AS melalui pilihanraya akan datang ini. Namun demikian, kempen Sanders telah memberi impak kepada masyarakat AS, khususnya golongan anak muda yang inginkan perubahan,  dengan membangkitkan imaginasi dan visi radikal untuk sebuah masyarakat AS yang berbeza daripada yang sedia wujud.

Bernie Sanders memegang jawatan Senator AS yang mewakili negeri Vermont sejak tahun 2007. Beliau pernah menyandang jawatan Ahli Dewan Perwakilan AS dari tahun 1991 hingga 2007. Sanders juga pernah berkempen untuk dinamakan sebagai calon Parti Demokratik dalam Pilihanraya Presiden AS tahun 2016, tetapi gagal mendapat undi perwakilan yang mencukupi dalam pemilihan awal untuk menewaskan Hillary Clinton yang mendapat sokongan daripada golongan elit pemerintah yang berkuasa. Selepas empat tahun, Sanders gagal sekali lagi tahun ini untuk memenangi penamaan calon daripada ahli politik yang juga disokong oleh golongan elit kelas pemerintah.

Sanders yang menggelar dirinya sebagai “sosialis demokratik”, membawa politik progresif dan pro-pekerja yang menekankan usaha untuk menangani ketidaksamarataan ekonomi dan ketidakadilan sosial, melalui cara mengehadkan kuasa golongan mahakaya. Sosialisme demokratik yang dimaksudkan oleh Sanders, merupakan ekonomi yang berfungsi untuk semua orang, bukannya hanya segelintir kecil golongan mahakaya. Sanders memperjuangkan isu rakyat penting seperti perkhidmatan kesihatan sejagat dan pendidikan tinggi yang percuma. Sanders menyokong “Urusan Baru Hijau” (Green New Deal), satu cadangan pakej rangsangan ekonomi yang bertujuan untuk menangani kedua-dua masalah krisis iklim dan ketidaksamarataan ekonomi. Dari segi dasar luar, Sanders menyokong pengurangan perbelanjaan ketenteraan, menjanjikan pendekatan lebih banyak diplomasi dan kerjasama antarabangsa, dan mengutamakan hak pekerja dan alam sekitar dalam rundingan perjanjian perdagangan antarabangsa. Sanders juga menyokong pembaharuan dalam dasar imigrasi untuk melindungi hak migran, hak pengguguran untuk wanita, pemansuhan hukuman mati, pengiktirafan tuntutan kempen “Black Lives Matter” (Nyawa Orang Hitam itu Penting) yang menentang keganasan dan rasisme secara sistemik, dan sebagainya.

Mungkin adanya antara golongan kiri menganggap Sanders tidak cukup radikal, kerana banyak ideanya lebih cenderung kepada fahaman reformis dan membawa dasar demokrat sosial yang mirip dengan negara kebajikan Eropah Utara, atau sekadar mengembalikan dasar ekonomi “Urusan Baru” (New Deal) yang diperkenalkan oleh Franklin D. Roosevelt pada tahun 1930-an. Namun, kempen politik Sanders sebenarnya telah memecahkan dominasi fahaman neoliberal yang mencengkam minda rakyat AS untuk sekian lama dan menyajikan alternatif yang lebih baik untuk rakyat AS malah masyarakat dunia berbanding dengan sistem yang wujud sekarang ini.

Kempen Sanders telah menyuntik nafas baru kepada politik AS yang didominasi sekian lama oleh politikus yang berkaitan rapat dengan golongan korporat dan elit pemerintah AS. Ratusan ribu sukarelawan telah bekerja keras untuk berkempen rumah ke rumah di seluruh negara AS. Lebih 2 juta orang rakyat biasa memberi sumbangan wang kepada kempen Sanders (secara puratanya USD18.50 seorang), berbeza dengan calon lain yang mendapat sokongan kewangan daripada golongan korporat yang kaya raya.

20200410 - SandersScreen-Shot-2020-04-08-at-12.01.33-PM

Dalam mesej khasnya yang disampaikan kepada penyokongnya pada 8 April 2020 ketika mengumumkan penamatan kempen pilihanraya, Sanders berkata, “kita telah mentransformasikan kesedaran rakyat Amerika mengenai negara jenis apa kita boleh jadi, dan membawa negara ini satu langkah utama ke hadapan dalam perjuangan tidak habis-habisan untuk keadilan ekonomi keadilan sosial, keadilan kaum dan keadilan alam sekitar.”

“Jika kita tidak percaya bahawa kita berhak untuk menikmati penjagaan kesihatan sebagai hak asasi manusia, kita tidak akan mencapai penjagaan kesihatan sejagat. Jika kita tidak percaya bahawa kita berhak untuk mendapatkan gaji dan keadaan kerja yang sewajar, jutaan antara kita akan terus hidup dalam kemiskinan. Jika kita tidak percaya bahawa kita berhak untuk mendapatkan semua pendidikan yang kita perlu untuk mencapai impian kita, ramai antara kita akan tinggalkan sekolah dengan dibebani hutang besar, atau tidak pernah mendapat pendidikan yang kita perlukan.  Jika kita tidak percaya bahawa kita berhak untuk tinggal di dalam sebuah dunia yang mempunyai alam sekitar yang bersih dan tidak dimusnahkan oleh perubahan iklim, kita akan terus menyaksikan lebih banyak kemarau, banjir, paras laut yang meningkat, dan sebuah planet yang semakin tidak sesuai untuk dihuni. Jika kita tidak percaya bahawa kita berhak hidup dalam sebuah dunia yang berlandaskan keadilan, demokrasi dan kesaksamaan, tanpa kewujudan rasisme, seksisme, homofobia, xenofobia atau ketaksuban agama, kita akan terus mengalami ketidaksamarataan pendapatan dan kekayaan yang hebat, prejudis dan kebencian,  pemenjaraan besar-besaran, imigran yang kegerunan, dan ratusan ribu rakyat Amerika tidur di jalanan di dalam negara yang terkaya di atas Bumi. Dan memfokus pada visi baru untuk Amerika inilah tujuan kempen kita, dan sebenarnya apa yang kita telah capai,” begitu katanya Sanders.

“Tidak ramai orang akan menafikan bahawa sepanjang tempoh lima tahun yang lepas, gerakan kita telah menang perjuangan ideologi. Di dalam negeri-negeri yang dikenali sebagai negeri merah dan negeri biru serta negeri ungu, majoriti rakyat Amerika sekarang sedar bahawa kita perlu meningkatkan gaji minimum kepada sekurang-kurangnya USD15 sejam, kita perlu menjamin penjagaan kesihatan sebagai hak untuk semua rakyat kita, kita perlu mentransformasi sistem tenaga kita menjauhi daripada bahan bakar fosil, dan pendidikan tinggi perlu boleh capai untuk semua, tanpa mengira pendapatan. Tidak lama sebelum ini, rakyat menganggap idea-idea ini radikal dan pinggiran. Hari ini, sudah menjadi idea-idea aliran utama, dan banyak daripadanya sudah dilaksanakan di bandar-bandar dan negeri-negeri di seluruh negara. Inilah yang kita sudah capai bersama,” tambah Sanders.

Walaupun Sanders terkandas sekali lagi dalam persaingan pemilihan awal untuk calon Presiden AS daripada Parti Demokratik, tetapi ini tidak bermakna Sanders sudah dikalahkan. Memang usaha Sanders untuk menang dalam penamaan dan seterusnya menang dalam Pilihanraya Presiden AS, yang membawa idea-idea yang mencabar status quo itu, telah digagalkan sekali lagi oleh golongan elit politik yang tidak senang dengan politiknya, tetapi kempen Sanders dan semangat yang dicetuskan daripada penglibatan ratusan ribu orang yang inginkan perubahan yang sebenar telah membawa harapan baru kepada perjuangan rakyat AS dalam mencabar kekuasaan kelas pemerintah kapitalis di negara itu.

Kempen Sanders merupakan satu gerakan akar umbi, multi-etnik dan multi-generasi yang percaya bahawa perubahan sebenar tidak akan berlaku dari atas, tetapi sentiasa dari bawah. Gerakan ini telah mencabar golongan berkuasa di Wall Street, syarikat-syarikat insurans besar, syarikat-syarikat ubat, industri bahan bakar fosil, kompleks industri-ketenteraan, kompleks industri-penjara dan seluruh kelas pemerintah elit korporat.

Dengan Sanders tidak berpeluang lagi untuk dicalonkan dalam Pilihanraya Presiden untuk menewaskan Donald Trump, seorang Presiden orang kaya yang sedia mengapi-apikan sentimen perkauman, seksis dan xenofobia untuk memastikan kelas pemerintah kapitalis AS terus berkuasa, rakyat Amerika Syarikat sudah terlepas satu peluang keemasan, walaupun bukannya untuk “revolusi sosialis” yang mengubah susunan masyarakat sepenuhnya, tetapi sekurang-kurangnya untuk “Urusan Baru” (New Deal) yang amat diperlukan pada zaman ini demi menyelamatkan rakyat biasa daripada krisis mendalam yang sedang melanda negara AS malah dunia berikutan penularan pandemik COVID-19.

Bernie Sanders tidak berjaya dalam Pilihanraya Presiden kali ini, tetapi gerakan yang dicetuskannya sejak lima tahun dahulu akan terus mara ke hadapan dengan tenaga yang baru. Gerakan ini adalah perjuangan merentasi generasi yang mencabar status quo sistem kapitalis. Seperti yang dikatakan oleh Sanders, “Perlumbaan ini tidak pernah hanya mengenai saya. Saya bertanding untuk Presiden kerana saya percaya bahawa sebagai seorang Presiden, saya boleh mempercepatkan dan menginstitusikan perubahan progresif yang kita semua membina bersama. Dan jika kita terus berorganisasi dan berjuang, saya yakin bahawa inilah akan berlaku. Walaupun laluan ini mungkin lebih perlahan sekarang, kita akan mengubah negara ini, dan dengan rakan-rakan yang sehaluan di seluruh dunia, kita akan mengubah seluruh dunia.”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *