oleh Sivarajan Arumugam
Ketika dunia sedang melawan pandemik COVID-19 secara berani, kita perlu membuat penilaian ke atas industri farmaseutikal, sama ada ia memainkan peranannya secara berkesan dalam melindungi kita daripada penyakit sebegini. Malangnya, industri menjana bertrilion dollar seluruh dunia ini tidak begitu benar-benar melabur dalam inovasi untuk menghasilkan ubat baru dalam beberapa dekad yang lalu.
Kajian menunjukkan bahawa 78% paten yang diluluskan oleh Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (U. S. Food and Drug Administration, USFDA), adalah untuk mengubahsuai ubat-ubatan yang telah pun ditemui dan dapat diperoleh dalam pasaran. Jadi, industri ini hanya memberi “salut gula” kepada ubat-ubatan yang sedia wujud untuk memohon paten baru bagi apa yang dikatakan sebagai “ubat baru”.
Melabur dalam inovasi untuk ubat-ubatan untuk melawan penyakit seperti COVID-19 adalah tidak dianggap sebagai pasaran yang bertumbuh sebelum ini dan biasanya tidak diendahkan. Dari tahun 2000 hingga 2011, hanya 4% daripada produk yang diluluskan di peringkat dunia direkacipta untuk merawat penyakit yang diabaikan tetapi menjejaskan negara-negara berpendapatan rendah dan sederhana.
Penyakit dan wabak yang memberi kesan kepada negara-negara miskin tidak dianggap penting oleh syarikat farmaseutikal besar, kerana tidak menjamin keuntungan lumayan, lebih-lebih lagi apabila negara-negara ini memintasi pemegang paten dan menggunakan “pelesenan wajib” (compulsory licensing) untuk mengakses ubat-ubatan generik yang lebih murah semasa krisis kesihatan awam.
Persoalan yang perlu kita tanya adalah, “Adakah kita masih membiarkan inovasi dan pengeluaran ubat-ubatan yang penting di dalam tangan kepentingan pasaran bebas?” Lagipun, bukan semua ubat-ubatan dalam pasaran adalah 100% inovasi asal industri farmaseutikal. Inovasi untuk ubat Sofosbuvir, yang digunakan untuk merawat penyakit hepatitis C, dilaporkan adalah dibiayai banyak oleh Jabatan Hal Ehwal Veteran dan Institut Kesihatan Nasional di Amerika Syarikat. Namun, apabila syarikat bioteknologi swasta Gilead Sciences kemudiannya memperoleh ubat tersebut, ia diletakkan harga sebanyak USD84,000 di Amerika Syarikat untuk pil yang dimakan dalam tempoh 12 minggu. Pada penghujung tahun 2017, Sofosbuvir telah menjana hasil jualan melebihi USD50 bilion.
Satu lagi tumpuan pada syarikat farmaseutikal gergasi yang sama ini, Gilead, Sciences, apabila ia diberikan monopoli kawalselia selama 7 tahun untuk Remdesivir, sejenis ubat yang boleh digunakan untuk merawat COVID-19. Walaupun memiliki paten utama di lebih 70 buah negara, adalah mengecewakan bahawa syarikat ini memilik untuk memperoleh status ubat langka (orphan drug) daripada USFDA. Namun, adalah jelas bahawa COVID-19 ialah satu pandemik dan tidak mungkin diklasifikasi sebagai penyakit langka atau penyakit yang jarang berlaku yang memerlukan ubat langka.
(Status ubat langka, diberikan kepada ubat dan biologik yang ditakrif sebagai “yang bertujuan untuk rawatan yang selamat dan efektif, diagnosis atau pencegahan penyakit/gangguan yang jarang berlaku yang mempengaruhi kurang daripada 200,000 orang di dalam Amerika Syarikat, atau mempengaruhi lebih daripada 200,000 orang tetapi tidak dijangkakan untuk mendapatkan semula kos pembangunan dan pemasaran ubat rawatan tersebut”.)
Kita perlukan peraturan yang membolehkan kita memansuhkan hak paten dan menjadikan data ubat-ubatan, produk contoh dan pengetahuan yang diperlukan untuk pembangunan generik itu telus, untuk membantu pengeluasan besar-besaran supaya dapat disampaikan segera kepada semua pesakit yang positif di seluruh dunia. Kepentingan diri Gilead Sciences untuk keuntungan jelasnya menggagalkan usaha kita melawan pandemik ini di peringkat global. Kita perlu menyahkomoditikan penyelidikan dan pengeluaran ubat supaya ubat-ubatan yang dihasilkan mampu dicapai untuk semua keperluan menyelamatkan nyawa dan bukannya untuk keuntungan!
Di Malaysia, oleh sebab kita tidak mempunyai keupayaan yang besar untuk inovasi ubat dan negara kita merupakan pengimport bersih harta intelek, kita perlu memastikan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri tidak mengikat tangannya dan menandatangani Perjanjian-perjanjian Perdagangan Bebas (FTA), sama ada secara dua hala atau serantau, yang akan memperkukuhkan lagi Hak Harta Intelek dan memberi lanjutan paten kepada syarikat farmaseutikal besar ini untuk mengaut keuntungan lumayan. Pada ketika kita menghadapi krisis, syarikat farmaseutikal ini boleh memeras ugut kita dengan menaikkan harga ubat dan menghalang pembuatan atau pengimportan ubat-ubatan generik yang lebih murah.
=========
A. Sivarajan ialah Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).