oleh K. Kunasekaran

Sejak kecil, saya mengikuti perkembangan politik Malaysia. Namun, tahun 1990 merupakan antara titik penting yang meninggalkan kesan mendalam dalam ingatan saya. Saya menyaksikan sendiri bagaimana politik Malaysia ketika itu mengalami perubahan besar, pertembungan parti, kerjasama pembangkang merentas kaum dan usaha mencabar dominasi Barisan Nasional (BN).

Pengalaman saya menghadiri ceramah-ceramah politik ketika itu, termasuk satu ceramah perdana di Pawagam Palace, Sungai Siput, Perak, memberikan saya gambaran tentang bagaimana pemimpin daripada pelbagai latar belakang boleh berada di pentas yang sama demi mencapai matlamat politik bersama.

Selepas lebih tiga dekad mengikuti perjalanan politik negara, saya melihat bagaimana landskap politik Malaysia terus berubah. Daripada pengalaman Pilihan Raya Umum (PRU) 1990 sehinggalah Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka 2026, ada beberapa pengajaran sejarah yang wajar kita renungi, khususnya tentang kerjasama politik, politik identiti dan kepentingan membina sokongan rakyat merentas kaum.

PRN Melaka dan persoalan politik DAP

Pakatan Harapan (PH) kalah dalam PRN Melaka. Pada pandangan saya, DAP perlu membuat penilaian terhadap pendekatan politiknya, khususnya apabila isu tahanan rumah Najib terus menjadi bahan perdebatan politik sejak PRN Johor.

Isu ini berterusan sehingga peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan turut dijadikan modal politik dan dikaitkan dengan dakwaan penderhakaan halus terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Parti Keadilan Rakyat (PKR) pimpinan PMX juga mengalami kekalahan teruk dalam PRN Melaka. DAP sepatutnya belajar memahami realiti dan budaya politik Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang kaum.

Persoalan konsistensi politik DAP dalam isu Najib

Di sini timbul satu persoalan yang perlu dijawab oleh DAP.

Perdana Menteri, Anwar Ibrahim, yang juga Pengerusi PH, sendiri mengakui di Parlimen pada 10 Disember 2024 bahawa beliau membawa permohonan pengampunan Najib untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan, walaupun perkara itu pada asalnya tidak termasuk dalam agenda mesyuarat.

Mengapa ketika itu kepimpinan DAP tidak mempersoalkan secara terbuka tindakan PMX sendiri? Mengapa tidak memberikan teguran politik kepada Pengerusi PH berhubung penglibatan beliau dalam membawa permohonan tersebut untuk pertimbangan Lembaga Pengampunan?

Sebaliknya, apabila isu titah tambahan dan tahanan rumah Najib menjadi perdebatan politik, isu tersebut terus mendapat perhatian besar dan dijadikan bahan politik.

Saya bukan mempertikaikan hak seseorang untuk memohon pengampunan atau kuasa Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan. Persoalan saya ialah konsistensi politik.

Jika DAP mempunyai pendirian yang begitu tegas mengenai isu Najib, mengapa pendirian yang sama tidak ditunjukkan ketika PMX sendiri mengakui peranannya dalam membawa permohonan pengampunan itu?

Adakah kepentingan mengekalkan kerajaan perpaduan dan hubungan dengan UMNO menyebabkan DAP memilih untuk tidak berkonfrontasi dengan PMX ketika itu?

Rakyat berhak mendapat penjelasan. Jangan sampai prinsip politik hanya ditegakkan apabila menguntungkan strategi parti, tetapi diketepikan apabila melibatkan kepimpinan sendiri.

Pengajaran daripada PRU 1990

Jika kita imbas kembali PRU 1990, pilihan raya ketika itu merupakan antara yang paling sengit.

Selepas meninggalkan UMNO susulan krisis kepimpinan 1987, Tengku Razaleigh Hamzah menubuhkan Parti Melayu Semangat 46 pada tahun 1989. Dalam PRU 1990, Semangat 46 bekerjasama dengan parti-parti pembangkang melalui dua gabungan, iaitu Angkatan Perpaduan Ummah (APU) bersama PAS dan Gagasan Rakyat bersama DAP serta beberapa parti lain.

Saya masih ingat satu ceramah perdana di Sungai Siput yang diadakan di Pawagam Palace, di hadapan Balai Polis Sungai Siput, menjelang PRU 1990.

Ceramah tersebut menampilkan pemimpin-pemimpin utama pembangkang ketika itu, termasuk Karpal Singh, Tengku Razaleigh Hamzah, P. Patto dan Lim Kit Siang. Saya sendiri berada di sana untuk menyaksikan suasana politik yang begitu hangat.

Ketika Tengku Razaleigh sedang berucap, beliau tiba-tiba menerima panggilan telefon daripada Pairin Kitingan, pemimpin Parti Bersatu Sabah (PBS), yang memaklumkan bahawa PBS menyokong gabungan pembangkang tersebut.

Berita itu disambut dengan penuh semangat. Pada ketika itu, ramai yang begitu yakin bahawa Barisan Nasional (BN) mampu dijatuhkan dalam PRU 1990.

Malah, poster Tunku Abdul Rahman turut dipamerkan di Pulau Pinang. Terdapat juga gambar robot dengan slogan DAP, “Now or Never”.

Pada tahun yang sama, buku Politics in Business: UMNO’s Corporate Investments oleh Edmund Terence Gomez, yang diterbitkan pada 1990, mendapat perhatian ramai. Namun, kritikan terhadap UMNO dan pelaburan korporatnya tidak semestinya berjaya mempengaruhi pengundi Melayu.

Dalam satu ceramah di Ipoh, Lee Lam Thye mengangkat buku tersebut untuk ditunjukkan kepada para hadirin. Di Pulau Pinang pula, poster Tunku Abdul Rahman digunakan dalam kempen yang menyokong pembangkang.

Pengalaman PRU 1990 mengingatkan saya bahawa politik Malaysia pernah menyaksikan kerjasama rentas kaum dan parti yang begitu luas. Perbezaan ideologi dan latar belakang politik tidak menghalang parti-parti pembangkang daripada mencari titik persamaan untuk mencabar kerajaan ketika itu.

Politik tidak boleh bergantung kepada vote bank kaum

Pengajaran daripada sejarah ini jelas: politik Malaysia tidak boleh difahami hanya melalui kekuatan vote bank sesuatu kaum.

Apabila DAP terlalu menumpukan usaha mempertahankan undi kelompok sendiri sehingga mengabaikan kepentingan rakan gabungan PH dan strategi bersama untuk memenangi kerusi, akhirnya seluruh gabungan menerima kesannya.

Sebuah gabungan politik tidak boleh bergerak berdasarkan kepentingan satu parti sahaja. Setiap parti perlu memahami bahawa kemenangan gabungan bergantung kepada keupayaan membina keyakinan dan sokongan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum.

Kini, politik Malaysia semakin tenggelam dalam politik identiti. Jika parti-parti dalam PH terus bermain dengan sentimen kaum dan gagal membina keyakinan merentas kaum, persoalan mengenai masa depan kerjasama politik mereka akan terus timbul.

Saya percaya politik sepatutnya memberi tumpuan kepada isu kehidupan rakyat seperti kos sara hidup, gaji, pekerjaan, perumahan, pendidikan, kesihatan dan perkhidmatan awam.

Politik sepatutnya menyatukan rakyat melalui isu kehidupan dan kepentingan bersama, bukannya terus memecahbelahkan rakyat berdasarkan kaum, agama dan identiti kelompok.

==========

K. Kunasekaran ialah Ahli Jawatankuasa PSM Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *