Lula da Silva bersama penyokong-penyokongnya semasa kempen pilihan raya. (sumber foto: Lula / X)

Luiz Inácio Lula da Silva menang dalam Pilihan Raya Presiden Brazil buat kali keempat dengan menewaskan calon pelampau kanan Flávio Bolsonaro. Lula da Silva berjaya melakukan kebangkitan semula yang bersejarah selepas ketinggalan di belakang dengan menduduki tempat kedua dalam pengundian pusingan pertama. Lula da Silva, yang bertanding sebagai penyandang jawatan Presiden Brazil, mencipta sejarah dengan menjadi calon pertama sejak negara Brazil memulihkan demokrasi pada tahun 1980-an yang berjaya memenangi pengundian pusingan kedua walaupun menduduki tempat kedua dalam pengundian pusingan pertama.

Dalam pengundian pusingan pertama yang diadakan pada 4 Oktober 2026, Lula da Silva memperoleh 53,879,538 undi, bersamaan 45.16% undian sah, tetapi hanya menduduki tempat kedua di belakang Flávio Bolsonaro, calon pelampau kanan yang merupakan anak kepada Jair Bolsonaro, Presiden Brazil ke-38 yang tewas kepada Lula da Silva dalam Pilihan Raya Presiden 2022. Flávio Bolsonaro meraih 56,104,503 undi (47.03%) dalam pengundian pusingan pertama. Berdasarkan sejarah dengan tiadanya calon di tempat kedua dalam pengundian pusingan pertama dapat menang dalam Pilihan Raya Presiden Brazil, Lula da Silva yang ketinggalan 1.87 titik peratusan di belakang Flávio Bolsonaro menghadapi cabaran yang agak hebat untuk bangkit semula dan memintas pesaingnya, kecuali berlakunya keajaiban. Walau bagaimanapun, keajaiban itu telah berlaku hasil daripada mobilisasi gerakan berhaluan kiri untuk mematahkan kemaraan kuasa pelampau kanan di rantau Amerika Selatan.

Pengundian pusingan kedua bagi Pilihan Raya Presiden Brazil diadakan pada 25 Oktober 2026, dengan lebih 128 juta orang keluar mengundi, mencatatkan peratusan keluar mengundi sebanyak 80.78% yang lebih tinggi berbanding 78.92% dalam pengundian pusingan pertama. Lula da Silva, calon daripada Parti Pekerja (Partido dos Trabalhadores, singkatan PT), meraih 64,256,232 undi, bersamaan 51.79% undian sah, sekali gus menewaskan Flávio Bolsonaro yang memperoleh 59,826,041 undi (48.21%). Undi yang diperoleh Lula da Silva telah bertambah sebanyak 10,376,694, berbanding pertambahan 3,721,538 undi yang diperoleh Flávio Bolsonaro, maka membolehkan Lula da Silva mendahului dengan 3.58 titik peratusan atau 4,430,191 undi. Perbezaan undi ini adalah dua kali ganda lebih besar berbanding perbezaan undi semasa Lula da Silva menewaskan bapa Flávio Bolsonaro dalam Pilihan Raya Presiden 2022.

Kemenangan Lula da Silva dalam Pilihan Raya Presiden Brazil kali ini mempunyai makna sejarah yang signifikan. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Amerika Selatan dilanda gelombang baharu kemaraan kuasa pelampau kanan yang disokong oleh kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS), seperti yang berlaku dalam pilihan raya di Argentina pada tahun 2023, Chile pada tahun 2025 dan Colombia pada tahun 2026. Flávio Bolsonaro mendapat sokongan padu daripada kuasa imperialis AS dan golongan kapitalis transnasional yang cuba mencampur tangan dengan taktik-taktik kotor, seperti manipulasi teknologi media sosial mengehadkan penyebaran kandungan berkaitan kempen Lula da Silva sementara menyokong kempen Flávio Bolsonaro.

Kebangkitan semula Lula da Silva dalam pengundian pusingan kedua ini dapat dicapai kerana mobilisasi besar-besaran dalam beberapa minggu kebelakangan ini selepas dia hanya menduduki tempat kedua dalam pengundian pusingan pertama. Kemenangan Flávio Bolsonaro dalam pengundian pusingan pertama mencetuskan tindak balas yang mengubah dinamik keseluruhan situasi yang tidak berpihak kepada golongan progresif pada asalnya. Mobilisasi massa yang hebat untuk mempertahankan demokrasi dan menyokong Lula da Silva ini diterajui oleh golongan anak muda. 2 juta orang berarak di Rio de Janeiro, 1 juta orang berdemonstrasi di São Paulo, sementara ratusan ribu berprotes di seluruh negara Brazil. Saiz demonstrasi dan perhimpunan adalah lebih besar daripada yang diinginkan oleh kepimpinan PT.

(sumber foto: Lula / facebook)

Kempen Lula da Silva kali ini menekankan dasar sosial dan ekonomi, di samping mengetengahkan langkah-langkah untuk mengurangkan harga bahan api dalam negara pada ketika harga minyak antarabangsa semakin naik. Selepas Lula da Silva ketinggalan dalam pengundian pusingan pertama, mobilisasi massa yang membawa kemenangan mutlaknya memfokus pada usaha mempertahankan demokrasi dan kedaulatan negara Brazil daripada ancaman kuasa pelampau kanan yang bersekongkol dengan kuasa imperialis AS.

“Susulan kemenangan kita ini, kita harus membincangkan cara baharu untuk mentadbir negara ini,” kata Lula da Silva di hadapan penyokong-penyokongnya selepas diisytihar sebagai pemenang Pilihan Raya Brazil. “Penyertaan rakyat dalam kempen ini – pelajar, wanita dan pekerja yang turun ke jalanan – akan mendesak kita untuk mencari cara baharu untuk mentadbir. Negara ini tidak akan sama lagi seperti sebelum ini.”

Seperti ayahnya Jair Bolsonaro, Flávio Bolsonaro juga enggan mengiktiraf keputusan pilihan raya yang menyaksikan kekalahannya. Flávio Bolsonaro mengatakan dia akan berusaha untuk membatalkan keputusan pilihan raya. Jair Bolsonaro, bapa Flávio Bolsonaro yang gagal mempertahankan jawatan Presiden Brazil dalam pilihan raya tahun 2022, malah pernah menghasut penyokong-penyokongnya untuk menyerang bangunan kerajaan persekutuan di Brasília pada 8 Januari 2023 dengan niat merampas kuasa secara ganas. Pada tahun 2025, Jair Bolsonaro disabit kesalahan kerana terlibat dalam plot perampasan kuasa dan dijatuhkan hukuman penjara selama 27 tahun dan 3 bulan, tetapi dia hanya diletakkan di bawah tahanan rumah.

Walaupun kempen pilihan raya Lula da Silva berjaya mematahkan kemaraan kuasa pelampau kanan di Brazil buat sementara waktu, Lula da Silva yang berada dalam penggal keempat kepresidenannya masih menghadapi cabaran yang hebat, kerana golongan berhaluan kanan telah menguasai majoriti dalam Kongres Kebangsaan Brazil (iaitu Parlimen Brazil). Parti Liberal (PL), parti berhaluan kanan yang dipimpin oleh Flávio Bolsonaro, menguasai 121 daripada 513 kerusi dalam Dewan Perwakilan (iaitu dewan rendah parlimen), sementara Persekutuan Harapan Brazil, sebuah gabungan parti politik yang diterajui PT, hanya memenangi 88 kerusi Dewan Perwakilan dalam pilihan raya terbaru. Lula da Silva akan berhadapan dengan dilema terus berkompromi dengan golongan ahli politik berhaluan kanan untuk menstabilkan kekuasaan presidennya atau melaksanakan pembaharuan yang lebih radikal untuk memajukan perubahan progresif.

Walau bagaimanapun, kemenangan Lula da Silva dalam Pilihan Raya Brazil 2026 pasti memberi inspirasi dan dorongan kepada gerakan berhaluan kiri di Amerika Latin serta seluruh pelosok dunia untuk terus berjuang menentang kemaraan kuasa pelampau kanan sementara membina alternatif yang lebih baik.

(sumber foto: Lula / facebook)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *