oleh Karthiges  Rajamanickam

Selamat Hari Habitat.

Tahun 2026 menyaksikan krisis perumahan yang semakin mencabar bagi rakyat Malaysia berikutan peningkatan harga rumah yang tidak seimbang dengan pertumbuhan pendapatan isi rumah yang lembap. Menurut data Bank Negara Malaysia (BNM) dan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH), harga median rumah meningkat antara 4.5% hingga 6.0% setahun pada tahun 2024 dan 2025, manakala pendapatan median hanya bertumbuh sekitar 3.0% hingga 3.8%, dengan jurang di Kuala Lumpur, Selangor dan Pulau Pinang melonjak sehingga dua kali ganda kadar pertumbuhan gaji.

Keadaan ini memburukkan lagi nasib golongan marhaen apabila insiden perobohan rumah dan pengusiran paksa berterusan terhadap peneroka bandar seperti di Kampung Papan, Selangor, penyewa PPR Taman Manggis, Pulau Pinang, serta perjuangan puluhan kampung peneroka lain di seluruh negara.

Situasi ini didakwa berpunca daripada kegagalan Kerajaan MADANI melaksanakan kenaikan gaji minimum secara berkala setiap dua tahun, di mana hanya satu kenaikan dilaksanakan (RM1,700 pada Februari 2025) dalam tempoh hampir empat tahun setengah sejak pelaksanaan RM1,500 pada Mei 2022. Gabungan tindakan menyekat kenaikan gaji, membiarkan kenaikan harga rumah oleh kaum kapitalis, serta pengusiran penduduk menggambarkan dasar kerajaan semasa yang bersifat anti-hak perumahan rakyat marhaen.

Persoalan penting kepada Kerajaan MADANI?

Tahun ini, kita menyambut Hari Habitat pada 5 Oktober 2026. PMX dan Kerajaan MADANI seharusnya merenung balik laungan-laungan yang dibawa oleh mereka ketika menjadi pembangkang dahulu dan menjawab persoalan :

  • Harga Rumah Mampu Milik: Mengapa harga rumah masih melampau tinggi dan tidak sepadan dengan pendapatan rakyat marhaen?
  • Skim Sewa Beli dan Pembinaan PPR: Mengapa Skim Sewa Beli/Mampu Sewa kurang diberi perhatian dan berapakah bilangan PPR yang telah dibina?
  • Pengusiran Paksa: Mengapa pengusiran peneroka bandar, penyewa PPR, dan pekerja ladang masih berlaku sebelum kediaman alternatif disediakan?
  • Penyelenggaraan Flat Kos Rendah: Sejauh mana komitmen kerajaan untuk membantu penyelenggaraan flat kos rendah?

Pada tahun ini, Hari Habitat Sedunia diraikan dengan tema “Perumahan Yang Mencukupi Untuk Semua”. Kami, di Gabungan Marhaen menuntut kerajaan supaya mengambil kira segala persoalan yang ditujukan di atas serta cadangan kami untuk penyelesaian kepada isu perumahan, iaitu:

1. Perumahan mampu milik/sewa untuk semua 

  • Gubal Dasar Perumahan Negara: Merangka dasar perumahan yang menjamin kediaman berpatutan menerusi sesi konsultasi bersama golongan belia dan B40.
  • Kawalan komoditi: Kerajaan perlu mengambil alih peranan menyediakan rumah pertama rakyat dan mengawal spekulasi hartanah, bukannya membiarkan perumahan awam dikuasai pasaran bebas.
  • Jaminan pinjaman dan insurans: Menyediakan jaminan pembiayaan bank pada kadar faedah sangat rendah serta mewajibkan perlindungan insurans MRTA untuk setiap unit kos rendah.
  • Skim sewaan mampu milik dan kuota majlis: Membina 200 unit rumah sewaan berpatutan di setiap kawasan Parlimen dan menyediakan kuota rumah majlis (council home) bagi golongan gelandangan.

 2. Iktiraf peneroka bandar dan kampung tradisi: Hentikan pengusiran paksa

  • Pengiktirafan hak milik: Tanah kerajaan yang didiami peneroka/kampung tradisi wajar ditawarkan terus kepada penduduk, bukannya dijual kepada pemaju.
  • Akta Perlindungan Penempatan Alternatif: Menggubal undang-undang yang mewajibkan penyediaan lot tanah/penempatan alternatif secara automatik sebelum pemindahan dilakukan.
  • Tanggungjawab pemaju swasta: Pemaju wajib menanggung kos perumahan baharu peneroka dan projek perlu ditunda sehingga tanggungjawab ini disempurnakan.
  • Perumahan pekerja ladang: Memperundangkan Skim Perumahan Sendiri Tun Abdul Razak untuk menghentikan pengusiran pekerja ladang selepas bersara.

 3. Moratorium lelong rumah B40: Hentikan kekejaman pihak bank terhadap golongan miskin

  • Lanjutan moratorium bersasar: Bank Negara Malaysia (BNM) wajib campur tangan untuk memastikan bank tidak menganiaya peminjam B40 yang mengalami krisis kewangan.
  • Penangguhan lelongan: Menghentikan lelongan rumah B40 dan menyediakan penstrukturan semula pinjaman yang fleksibel (seperti ansuran lebih rendah selama setahun).
  • Skim Insurans Pinjaman dan Tabung Pemberhentian Kerja: Mewujudkan dana sumbangan kecil (contoh: 10% daripada ansuran bulanan) untuk menampung bayaran jika berlaku kehilangan pendapatan, serta menguatkuasakan sepenuhnya Skim Tabung Pemberhentian Kerja.

4. Majlis Perbandaran Tempatan mengambil alih penyelenggaraan rumah pangsa kos rendah.

  • Penghuni flat kos rendah hanya membayar dua jenis cukai, iaitu cukai tanah (setahun sekali) dan cukai pintu (6 bulan sekali) sepertimana rumah teres kos rendah.
  • Bayaran harus dibuat terus kepada Majlis Perbandaran dan Pejabat Tanah. Bayaran harus meliputi kutipan sampah, pembersihan koridor, pembersihan longkang, taman permainan, lampu jalan dalam kawasan flat dan jalan raya dalam kawasan flat.

5. Cukai hartanah yang progresif dan strategik

  • Pelaksanaan Cukai Hartanah Progresif dan Strategik: Mengesyorkan pengenalan cukai progresif ke atas pemilik hartanah mewah serta pemilikan rumah kedua, ketiga, dan seterusnya. Ini termasuk pengenaan Cukai Nilai Tanah (Land Value Tax) dan Cukai Keuntungan Modal (Capital Gains Tax) ke atas penjualan hartanah dalam pasaran primer.
  • Penyaluran dana dan Cukai Hartanah Terbiar: Hasil kutipan cukai berkenaan hendaklah disalurkan khusus bagi membiayai pembinaan rumah mampu milik. Di samping itu, Cukai Hartanah Tak Berpenghuni (Vacant Property Tax) dan Cukai Kediaman Kurang Dihuni (Under-occupancy Tax) perlu diperkenalkan untuk mengekang spekulasi harga rumah serta mengawal lonjakan permintaan pasaran secara tiruan.

6. Kita harus iktiraf titisan peluh pekerja migran dan membantu masyarakat pelarian

  • Mengiktiraf sumbangan pekerja migran dan memberi sokongan kemanusiaan kepada masyarakat pelarian.
  • Menyediakan skim perumahan mampu sewa dan penempatan sementara di perumahan majlis (council housing).
  • Menghentikan pengusiran paksa ke atas pekerja migran dan pelarian di PPR.

Tuntutan Gabungan Marhaen ini adalah untuk kepentingan rakyat majoriti biasa yang dihimpit dengan krisis ekonomi dan menanggung beban perumahan mereka. Perumahan adalah Hak Asasi Manusia dan tidak harus diniagakan dan menjadi keuntungan untuk segelintir. Tanggungjawab ini harus dipikul oleh kerajaan dan  pastikan tiada sesiapa dinafikan dan diusir kerana ketidakmampuan mereka menduduki sebuah rumah.

Rumah adalah hak rakyat, bukannya komoditi untuk diniagakan!

==========

Karthiges  Rajamanickam ialah Penyelaras Gabungan Marhaen.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *