
Kenyataan akhbar oleh Jawatankuasa Bertindak Rumah dan Kedai (Blok E) PJS 1
Kami para peneroka asal kampung-kampung yang telah wujud sebelum bangkitnya Bandaraya Petaling Jaya amat kecewa kerana ada antara kami yang masih dinafikan pemilikan suatu rumah kos rendah yang telah dijanjikan.
Pada sekitar tahun 2000, kami telah menjadi mangsa kepada pengusiran paksa yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui penguatkuasaan polisi “Setinggan Sifar” di bawah arahan Menteri Besar pada masa itu, Khir Toyo. Pada ketika itu, bancian dibuat oleh pihak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) untuk menawarkan kami penempatan di perumahan pangsa kos rendah di sekitar kawasan PJS. Beberapa projek perumahan kos rendah dibangunkan, seperti pembangunan PJS 1 Blok A, B, C, D dan E.
Kami, peneroka-peneroka yang telah membeli rumah kos rendah (RKR) di Blok E pula, terpaksa berjuang selama lebih 22 TAHUN kerana projek kami terbengkalai. Ini berlaku akibat kecuaian MBPJ yang gagal mengikuti prosedur pembangunan tapak. Jadi, suatu perintah mahkamah diambil oleh penduduk taman bersebelahan, dan projek kami, pembangunan penempatan semula Blok E, terhenti. Selepas perjuangan yang lama, akhirnya pada tahun 2025, kebanyakan daripada pembeli asal RKR Blok E dapat berpindah apabila diserahkan kunci bermula bulan Oktober tahun 2025 lalu di Pangsapuri baharu Rima Riang ini.
Walau bagaimanapun, sidang akhbar ini diadakan kerana ada antara kami, peneroka asal, yang sepatutnya telah menduduki perumahan ini masih dinafikan hak memiliki rumah yang dijanjikan semasa operasi “Setinggan Sifar” dulu. Kami yang tercicir ialah:
A) 15 orang peneroka asal yang dibanci oleh MBPJ, yang diberikan penempatan sementara, iaitu sama ada Rumah Panjang PJS 1/52 ataupun rumah PPR Lembah Subang untuk diduduki, kini diabaikan peluang untuk memiliki rumah sendiri di Projek Rima Riang.
Pada ketika pengusiran paksa berlaku pada sekitar tahun 2000-2002, 15 orang peneroka asal ini telah menerima surat tawaran dari Peter Brickworks Sdn Bhd (pemaju yang dikenal pasti oleh Kerajaan Negeri Selangor untuk membina RKR). Tetapi oleh kerana situasi menghadapi pengusiran, kekurangan pendapatan, 15 orang peneroka asal yang diperakukan melalui banci MBPJ gagal memeteraikan perjanjian jual beli dengan pemaju.
Walau bagaimanapun, hak perumahan 15 orang peneroka asal yang tercicir ini terus diperjuangkan oleh Jawatankuasa kami. Dalam mesyuarat bersama Pejabat Menteri Besar Selangor pada 30 Januari 2013, pihak MBPJ memberikan kepastian bahawa
“senarai nama… keluarga yang dikemukakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Bertindak RKR Blok E telah dikemukakan oleh Majlis kepada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor pada 1 Nov 2012 untuk ditawarkan membeli rumah kos rendah lebihan.”
Susulan itu pula, dalam sebuah lagi mesyuarat pada 3 November 2021 [No. Rujukan: LPHS.UPKB.600-4/2/34(9):
Perkara 2.7 – “pihak LPHS dan MBPJ setuju memberikan keutamaan tawaran sekiranya terdapat penduduk yang menolak tawaran.”
Perkara 3.4 – “Mesyuarat bersetuju seramai 15 nama yang tercicir dan 7 nama pembeli kedai akan diselesaikan oleh MBPJ”
Tetapi kini kami dimaklumkan melalui surat LPHS bertarikh 20 Ogos 2026 No. Rujukan: LPHS.UPKB.600-4/2/34 JLD 14(21) bahawa “seramai 15 orang penama tidak dapat diproses selanjutnya kerana tidak mendapat perakuan daripada pihak MBPJ dan Radikal Kirana (pemaju)” . Maka surat tersebut memaklumkan bahawa “… unit yang tidak diteruskan untuk tujuan pemilikan kepada setinggan yang tidak diperakukan oleh MBPJ dan pemaju tersebut akan dijadikan sebagai unit di bawah Skim Smart Sewa…”
Ini merupakan suatu janji yang dimungkari! Kami merasakan amat tertipu dan sebulat suara tidak setuju dengan keputusan MBPJ dan LPHS ini.
B) 49 orang yang tidak berjaya mendapat pinjaman
Seramai 49 peneroka asal yang berjaya memeterai perjanjian jual beli Rumah Selangorku Rima Riang gagal mendapat pinjaman perumahan daripada bank. Mereka masih tidak dibenarkan untuk menduduki rumah mereka. Kebanyakan mereka tidak berjaya memperolehi pinjaman kerana telah lanjut usia, akibat kelewatan penyelesaian isu perumahan oleh Kerajaan Negeri Selangor.
Kini, mereka masih menunggu untuk taklimat mengenai Skim Selangorku to Own (S2-Own) yang telah dijanjikan berulang kali sejak tahun lepas. Kini hampir setahun sejak rakan-rakan kami telah mengambil kunci dan menduduki rumah, tetapi kami masih menyewa di luar! Menunggu untuk menduduki rumah Rima Riang. Kenapakah pelaksanaan Skim Selangorku to Own dilewatkan?

Justeru, kami bagi pihak peneroka asal Petaling Jaya, iaitu 15 orang yang dinafikan hak memiliki rumah Rima Riang bersama 49 orang pembeli rumah Selangorku Rima Riang yang tidak memperolehi pinjaman perumahan, menuntut tindakan segera Kerajaan Negeri Selangor supaya menyelesaikan isu kami.
- 15 orang peneroka asal mesti ditawarkan rumah Rima Riang untuk dibeli dan bukan sebagai penyewa Skim Smart Sewa!
- Laksanakan segera Skim Selangorku to Own (S2-Own) untuk 49 orang pembeli rumah Rima Riang yang gagal memperolehi pinjaman.
Kami telah menghantar beberapa surat kepada MBPJ dan juga LPHS mengenai perkara ini. Kami akan berjumpa dengan EXCO Perumahan Datuk Borhan Aman Shah agar menyelesaikan masalah ini dan menghentikan penantian kami selama lebih 22 tahun.
