
oleh Gandipan Nantha Gopalan
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani menyatakan bahawa industri pusat data di Malaysia kini perlu melangkaui sekadar menarik pelaburan. Fokus utama, kata beliau, sepatutnya tertumpu kepada penerimagunaan kecerdasan buatan (AI), inovasi tempatan, tenaga kerja mahir, dan pekerjaan bernilai tinggi.
PSM bersetuju. Namun, Johari perlu menjelaskan mengapa Kerajaan menunggu sehingga Malaysia meluluskan pelaburan pusat data bernilai ratusan bilion ringgit sebelum membangkitkan persoalan-persoalan ini.
Projek pusat data dan pengkomputeran awan menyumbang RM95.8 bilion, atau hampir 44% daripada jumlah pelaburan yang diluluskan di Malaysia pada separuh pertama tahun 2026. Sejak 2021, pelaburan pusat data yang diluluskan telah mencecah RM385.7 bilion.
Ini merupakan angka yang amat besar. Namun, penyelidikan Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri menunjukkan bahawa pusat data secara amnya mewujudkan peluang pekerjaan yang kurang berbanding sektor pembuatan disebabkan oleh kebergantungan kepada automasi dan operasi jarak jauh. Sebuah pusat data berkapasiti 50MW boleh menggunakan tenaga elektrik yang setara dengan kira-kira 22,000 buah isi rumah dan penggunaan air setara dengan 2,200 buah isi rumah setiap hari.
Pada masa yang sama, Malaysia mengimport sebahagian besar peralatan khusus yang diperlukan oleh kemudahan-kemudahan ini. BNM memberi amaran bahawa keadaan ini melemahkan penciptaan nilai tempatan dan pemindahan teknologi, manakala pengendali milik asing akhirnya boleh membawa pulang keuntungan mereka.
Oleh itu, Johari perlu menjawab soalan yang jauh lebih asas: apakah yang sebenarnya diperoleh oleh rakyat Malaysia hasil daripada penyediaan tanah, bekalan elektrik, air, infrastruktur dan insentif yang membolehkan pelaburan ini dilaksanakan?
Berapakah jumlah subsidi yang kita berikan kepada syarikat-syarikat ini melalui insentif cukai, potongan tarif utiliti, tanah dan infrastruktur? Berapakah jumlah cukai korporat serta hasil-hasil lain yang benar-benar dipulangkan oleh pengendali pusat data kepada Malaysia? Berapakah keuntungan fiskal bersih Kerajaan selepas mengambil kira kesemua kos insentif dan infrastruktur awam?
Selain itu, berapakah jumlah pekerjaan tetap yang berjaya diwujudkan? Sejauh manakah pemindahan teknologi telah berlaku kepada syarikat-syarikat tempatan? Berapakah nisbah peralatan dan perkhidmatan yang diperoleh daripada sumber tempatan? Serta berapakah jumlah keuntungan yang akan kekal di Malaysia?
Angka-angka ini sepatutnya didedahkan secara terbuka kepada umum.
Hujah Johari mengenai “pelaburan berkualiti” tidak boleh terhenti setakat menarik modal semata-mata. Malaysia telah membuktikan kemampuannya untuk menarik modal. Ujian sebenar adalah sama ada modal tersebut mampu memperkukuhkan kapasiti produktif domestik kita.
Adalah amat membimbangkan apabila pelaburan pusat data kini mula mengatasi sektor pembuatan sebagai destinasi utama pelaburan. Malaysia memerlukan peluang pekerjaan, industri tempatan yang lebih kukuh, pemindahan teknologi dan pegangan ekonomi. Bukan sekadar penambahan fasiliti pelayan (server farms).
Sekiranya Kerajaan mahu rakyat Malaysia merayakan pelaburan pusat data bernilai RM385 bilion ini, maka tunjukkan kepada kita penyata imbangan (balance sheet).
Berapakah keuntungan yang diperoleh korporat, berapakah yang disumbangkan oleh kerajaan, dan berapakah yang sebenarnya diterima semula oleh rakyat Malaysia?
Johari telah bertanya tentang langkah seterusnya. Jawapan PSM mudah: tunjukkan angka-angka tersebut kepada rakyat terlebih dahulu.
==========
Gandipan Nantha Gopalan ialah Timbalan Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM).
