oleh Cheong Huei Ting
Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam keputusan kerajaan negeri di Kelantan, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang yang enggan menerima pakai dua peruntukan dalam Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022, sekali gus menafikan penglibatan rakyat dalam hal ehwal alam sekitar dan pembangunan negeri serta mengabaikan kebajikan rakyat dengan serius.
Kedua-dua peruntukan tersebut ialah:
1. Seksyen 7 mewajibkan pihak berkuasa negeri untuk menjalankan suatu siasatan awam sebelum mengeluarkan mana-mana kawasan daripada sesuatu hutan simpanan kekal (“kehendak siasatan awam”); dan
2. Seksyen 8 mewajibkan pihak berkuasa negeri untuk mengenal pasti dan menjadikan suatu kawasan tanah yang sama luas atau lebih besar sebagai suatu hutan simpan kekal untuk menggantikan mana-mana kawasan hutan simpan kekal yang akan dikeluarkan (“kehendak gantian kawasan hutan simpan kekal”).
Kami meminta kerajaan negeri Kelantan, Negeri Sembilan, Perak dan Pahang untuk tarik balik keputusan ini dan menerima pakai kedua-dua peruntukan tersebut untuk melindungi kebajikan rakyat dan menjamin ketelusan dalam pengurusan alam sekitar dan penggunaan tanah negeri.
Ini adalah kerana keputusan yang telah dibuat oleh keempat-empat kerajaan negeri ini akan mendatangkan impak negatif berikut:
1. Bencana iklim dan kemusnahan alam sekitar akan bertambah akibat pengurangan tanah hutan simpan. Keempat-empat negeri ini menguasai hampir 70% hutan simpan kekal di Semenanjung Malaysia, dan kawasan hutan simpan sebesar 4.8 juta hektar boleh dinyahwartakan tanpa sebarang sesi pendengaran awam mahupun kewajipan undang-undang untuk memulihara hutan.
2. Golongan elit politik dan syarikat korporat bebas mengaut keuntungan melalui eksploitasi sumber alam, manakala rakyat biasa akan menanggung kesan bencana alam apabila suara rakyat dinafikan dan kebajikan awam terabai.
3. Kuasa Menteri Besar yang tidak ada akauntabiliti terhadap rakyat biasa. Penggunaan tanah dan pengurusan hutan tertumpu di tangan Menteri Besar tanpa mekanisme semak dan imbang terhadap kuasa daripada rakyat dan organisasi masyarakat sivil. Walaupun Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, mempertahankan pendirian bahawa kerajaan negeri mempunyai dasar dalaman yang mewajibkan kawasan gantian untuk penyahwartaan hutan, namun keputusan sebesar ini yang akan menjejaskan majoriti rakyat Semenanjung Malaysia tidak wajar disandarkan semata-mata pada dasar dalaman negeri dan perlukan undang-undang negara yang menuntut ketelusan dan akauntabiliti awam.
Kami percaya bahawa rakyat berhak untuk mengetahui dan melibatkan diri dalam keputusan yang dibuat oleh kerajaan negeri dalam pengurusan alam sekitar dan penggunaan tanah untuk mempertahankan kehidupan dan kebajikan mereka.
==========
Cheong Huei Ting ialah Setiausaha Pemuda Sosialis PSM dan ahli Biro Alam Sekitar, Krisis Iklim dan Orang Asli (BAKO) PSM.
Rujukan:
- The Rakyat Post (30 Ogos 2026), “New Law Says Public Must Be Consulted Before Forests Are Cleared, Pahang And Three Other States Said No To That Part.”
- Malaysiakini (28 Ogos 2026), “Pahang fourth state to reject forest reserve inquiry, replacement land rules.”
- Malaysiakini (29 Ogos 2026), “Peka slams Pahang’s rejection of forest reserve inquiry rule, questions ‘secrecy’.”

