oleh K. Kunasekaran

Parti Sosialis Malaysia (PSM) Perak menyeru Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, supaya menggunakan kesungguhan politik (political will) untuk mencari jalan penyelesaian bagi menyelamatkan Biara Dhamma Sakyamuni di Gunung Kanthan, Chemor, Perak.

Biara Buddha ini bukan sekadar sebuah tempat ibadat. Ia mempunyai sejarah lebih 100 tahun dan merupakan sebahagian daripada keunikan sejarah, keagamaan, budaya serta warisan Gunung Kanthan.

Kami sendiri telah turun ke kawasan Gunung Kanthan, melihat keadaan biara dan kawasan sekitarnya serta bertemu dengan pihak biara untuk memahami sendiri masalah yang dihadapi oleh mereka. Oleh itu, pendirian PSM Perak dibuat berdasarkan pengalaman turun padang dan melihat sendiri keadaan di kawasan tersebut.

Pihak biara sendiri sebelum ini telah meminta campur tangan Dato’ Seri Anwar Ibrahim untuk membantu mencari penyelesaian. Permintaan tersebut amat wajar diberi perhatian kerana biara ini terletak di dalam kawasan Parlimen Tambun yang diwakili sendiri oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Dato’ Seri Anwar Ibrahim bukan sahaja Perdana Menteri Malaysia, tetapi juga Ahli Parlimen Tambun. Oleh itu, beliau mempunyai kedudukan yang unik untuk mengambil inisiatif dan menggunakan kewibawaan politiknya bagi membawa pihak biara, Kerajaan Negeri Perak serta pihak tuan tanah ke meja rundingan untuk mencari satu penyelesaian yang adil dan berkekalan.

Sungguhpun pihak biara tidak berjaya dalam proses mahkamah, PSM Perak berpandangan bahawa melalui kuasa politik dan kesungguhan politik, masih ada ruang untuk mencari penyelesaian bagi menyelamatkan sebuah tempat yang mempunyai keunikan sejarah dan asal usul yang tidak boleh digantikan.

Kita tidak seharusnya melihat isu ini semata-mata sebagai isu tanah. Yang dipertaruhkan ialah sebuah warisan yang mempunyai nilai sejarah, keagamaan dan budaya yang tersendiri.

Jika biara dan kawasan unik ini hilang, ia bukan sesuatu yang boleh dibina semula atau dikembalikan kepada keadaan asal. Sebab itulah kerajaan perlu melihat isu ini dari sudut yang lebih luas — sejarah, agama, budaya, alam sekitar dan kepentingan generasi akan datang.

Perumahan penduduk Kampung Meru Tin, Jelapang, merupakan satu contoh jelas penglibatan Kerajaan Negeri Perak dalam menyelesaikan isu tanah yang melibatkan kepentingan penduduk. Tanah Kampung Meru Tin sebelum itu telah diberi milik kepada syarikat Wise Fair Sdn Bhd. Pada tahun 2005, Kerajaan Negeri Perak telah mencampur tangan dan membatalkan hak milik tanah tersebut daripada Wise Fair Sdn Bhd, sekali gus membuka jalan kepada penyelesaian untuk penduduk kampung. Kawasan tersebut kemudiannya dibangunkan sebagai Rancangan Perkampungan Tersusun (RPT) Meru Tin.

Bagi PSM Perak, pengalaman Kampung Meru Tin menunjukkan bahawa apabila kerajaan mempunyai kesungguhan politik dan bersedia untuk menggunakan kuasa pentadbiran, penyelesaian boleh dicari demi kepentingan rakyat.

Jika Kerajaan Negeri Perak pada masa lalu mempunyai kesungguhan politik untuk mencari penyelesaian bagi penduduk Kampung Meru Tin, kerajaan hari ini juga harus mempunyai keberanian politik untuk mencari jalan supaya menyelamatkan biara di Gunung Kanthan.

PSM Perak tidak mahu melihat keunikan sejarah dan asal usul biara ini hilang begitu sahaja. Kami menyeru PMX Anwar Ibrahim supaya menggunakan kewibawaan politiknya untuk mencari jalan penyelesaian yang mengambil kira kepentingan semua pihak.

PSM Perak turut menyeru Kerajaan Negeri Perak supaya mengambil bahagian secara aktif dan bekerjasama dengan pihak biara serta pihak tuan tanah untuk mencari satu penyelesaian yang munasabah, adil dan berkekalan.

Dalam bulan kemerdekaan ini, PSM Perak mengingatkan bahawa kemerdekaan Malaysia bukan hanya tentang meraikan sejarah negara, tetapi juga tanggungjawab kita untuk menghargai dan memelihara sejarah, warisan, agama serta kepelbagaian yang membentuk identiti negara kita. Menyelamatkan biara Gunung Kanthan adalah sebahagian daripada tanggungjawab kita untuk memastikan warisan tersebut terus dihargai oleh generasi akan datang.

PMX, gunakanlah kesungguhan politik, dengarlah permintaan pihak biara, selamatkan biara Gunung Kanthan serta pelihara sejarah dan warisan yang tidak ternilai ini.

==========

K.Kunasekaran ialah Ahli Jawatankuasa PSM Perak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *