
SEREMBAN, NEGERI SEMBILAN – 23 JULAI 2026: Tinagaran Subramaniam @ Cikgu Tina, calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kerusi DUN N22 Rahang dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan 2026, mengisytihar harta dan melafazkan ikrar lawan rasisme dalam sebuah sidang media khas yang diadakan pada hari ini.
PSM merupakan parti politik pertama di negara kita yang mewajibkan semua calonnya yang bertanding dalam pilihan raya untuk mengisytihar harta sejak tahun 1999. PSM juga merupakan parti politik pertama yang semua wakil rakyat daripadanya mengisytihar harta setiap tahun selepas dipilih, selepas Dr. Jeyakumar Devaraj dan Dr. Nasir Hashim masing-masing menang di kawasan Parlimen Sungai Siput dan kawasan DUN Kota Damansara di Selangor pada tahun 2008. Beberapa parti politik lain telah mengikut jejak langkah PSM dalam pengisytiharan harta calon pilihan raya dan wakil rakyat, tetapi masih tidak konsisten seperti PSM.
Dalam surat akuan berkanun yang dikemukakan oleh Cikgu Tina semasa pengisytiharan hartanya, jumlah nilai harta bersihnya setakat 23 Julai 2026 dianggarkan sebanyak RM206,600, termasuk sebuah rumah teres kos rendah dengan nilai semasa RM180,000 dan kereta yang bernilai RM25,000. Cikgu Tina dan isterinya mengendalikan sebuah pusat tuisyen yang dimiliki atas nama isterinya, dengan jumlah pendapatan bulanan mereka setelah ditolak kos operasi adalah kira-kira RM6,000.
Surat akuan pengisytiharan harta oleh Cikgu Tina, calon PSM untuk kerusi DUN N22 Rahang dalam PRN Negeri Sembilan 2026.
Turut hadir bersama dalam sidang media hari ini ialah S. Arutchelvan selaku Timbalan Pengerusi Nasional PSM, M. Sivaranjani selaku Setiausaha Agung PSM, Nik Aziz Afiq selaku Ahli Jawatankuasa Pusat PSM dan Noor Fadzli Shah selaku Ketua Penerangan Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA).
Cikgu Tina juga melafazkan ikrar melawan rasisme dalam sidang akhbar ini. Cikgu Tina melakukan satu aksi simbolik dengan menumbuk dan memecahkan sebuah kotak yang melambangkan rasisme, sebagai kenyataan yang menegaskan komitmen PSM dalam usaha memerangi rasisme di negara kita.
“Diskriminasi kaum dan politik perkauman bagai sebuah penyakit kronik yang menghancurkan rakyat Malaysia pada masa kini,” kata Cikgu Tina. “Sebagai pendukung perjuangan menentang perkauman atau rasisme, saya berikrar dengan penuh iltizam bahawa saya tidak akan memainkan apa jua isu politik perkauman demi untuk meraih undi atau sokongan daripada rakyat.”

Cikgu Tina menegaskan bahawa dia akan menjauhi diri daripada menggunakan apa jua unsur perkauman dalam semua aktiviti kempen pilihan raya, termasuk ceramah, komen, kenyataan akhbar, tulisan media sosial, risalah, sepanduk dan sebarang bahan kempen, yang akan mendiskriminasi atau mewujudkan kebencian terhadap sesuatu kaum yang lain atau warga migran.
“Saya juga akan memastikan bahawa semua aktiviti dan perjuangan PSM adalah berdasarkan kelas masyarakat dan bukannya berdasarkan warna kulit dan kaum,” kata Cikgu Tina. “Kumpulan sasar manifesto dan perjuangan kami adalah berdasarkan kaum tertindas tanpa mengira warna kulit. Jika saya berjaya dipilih sebagai Ahli Dewan Negeri, saya akan mengusulkan untuk menggubal sebuah Rang Undang-Undang Kesaksamaan.”
Cikgu Tina ialah satu-satunya calon daripada empat orang calon di kawasan DUN N22 Rahang, malah dalam kalangan semua calon dalam PRN Negeri Sembilan, yang telah mengisytihar harta dan melafazkan ikrar melawan rasisme.






