(Tangkap layar laman facebook)

oleh Amir Syafiq Ameer Soekre

Saya memandang serius politik perkauman yang telah dimainkan oleh Kerajaan Pusat MADANI, apabila seorang Ahli Parlimen berpangkat Menteri daripada Parti Keadilan Rakyat, YB Datuk Fahmi Fadzil, berucap di sebuah majlis dengan memberi bayangan bahawa sekiranya pengundi di majlis itu tidak mengundi Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Negeri Johor, satu gelombang hijau (green wave) akan berlaku. 

Walaupun tidak dinyatakan gelombang hijau itu adalah daripada parti politik mana, ucapan itu telah menggambarkan bahawa rakyat harus takut kepada parti atau polisi parti tersebut. Ini merupakan satu kenyataan berbaur perkauman yang seakan-akan menakutkan rakyat dan merupakan satu tindakan memecah-belahkan rakyat yang sekian lama dibantah oleh Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang tegas menolak politik perkauman. 

PSM berharap agar rakyat tidak terpengaruh dengan ajakan yang berniat jahat ini dan menolak sepenuhnya politik berasaskan ketakutan perkauman. 

Sebagai calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), saya menyeru agar rakyat lebih matang dalam memilih wakil rakyat dan menolak secara total sebarang usaha meraih undi yang berniat jahat dan menjejaskan perhubungan harmoni antara rakyat berbilang kaum. 

==========

Amir Syafiq Ameer Soekre ialah calon Parti Sosialis Malaysia (PSM) untuk kerusi N48 Skudai dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *