
oleh Cecilia Anthonysamy
Di bawah kapitalisme, kepimpinan negara terpaksa mengalah kepada kuasa tekanan daripada syarikat korporat. Ini kerana negara memerlukan modal pelaburan. Negara tidak bebas membuat keputusan tanpa mempertimbangkan kepentingan syarikat korporat, yang semestinya hendak mengaut keuntungan.
Jika kerajaan kita mengenakan cukai yang lebih tinggi ke atas syarikat korporat yang mengusahakan industri pelancongan perubatan yang memang pun sangat kaya, dan menggunakan wang tersebut secara lebih bijak, dengan memastikan pelaburan yang mencukupi untuk sistem perkhidmatan kesihatan awam dan menjaga kebajikan doktor-doktor kerajaan yang bertungkus lumus bekerja keras dalam tempoh 10 tahun yang lalu, sistem kesihatan awam tidak akan kehilangan doktor hari ini, sekurang-kurangnya tidaklah pada kadar yang begitu tinggi.
Malangnya, ini tidak dapat dilakukan di bawah kapitalisme. Di bawah kapitalisme, sistem mengutamakan pemilikan hospital swasta dan keuntungan.
Keperluan rakyat telah menjadi keutamaan kedua. Tanggungjawab utama kerajaan untuk menyediakan perkhidmatan kepada rakyat, seperti sistem perkhidmatan kesihatan awam mampu ditanggung, telah menjadi keutamaan kedua selepas kepentingan syarikat korporat. Inilah sebab utama doktor-doktor berhijrah ke sektor swasta.
Pengembangan pelancongan perubatan, terutamanya dengan teknologi perubatan terkini yang canggih, telah diutamakan berbanding dengan pengembangan sistem perkhidmatan kesihatan awam yang lebih mantap, lebih kukuh dan lebih lengkap. Sistem perkhidmatan kesihatan awam kita menderita akibat dasar fiskal kerajaan kapitalis kita yang mengutamakan pengembangan pelancongan perubatan. Kerajaan gagal menggunakan kuasa dasar fiskal untuk mengutamakan pengekalan perkhidmatan doktor-doktor di hospital awam dengan menawarkan gaji yang lebih tinggi dan persekitaran kerja yang lebih baik dalam tempoh 10 tahun yang lalu, walaupun doktor-doktor telah kuat merayu selama ini.
Pelancongan perubatan mungkin menghalang doktor terbaik daripada berhijrah ke luar negara. Namun, kita perlu mencari punca utama doktor berhijrah, kesan doktor berhijrah, dan menyediakan penyelesaian yang konkrit. Tidak perlu bermegah sangat bahawa pelancongan perubatan kononnya membantu kita.
Persoalan penting ialah, adakah kerajaan mempunyai kuasa dalam sistem kapitalis, untuk benar-benar mengutamakan keperluan rakyat untuk perkhidmatan kesihatan mampu ditanggung, iaitu satu hak asasi manusia, dengan mengambil tindakan dasar kewangan yang wajar untuk segera mengekalkan doktor-doktor kita dalam perkhidmatan kerajaan?
Selagi kerajaan terus melayan tuntutan industri pelancongan perubatan, sistem perkhidmatan kesihatan awam akan semakin parah. Industri pelancongan perubatan menyumbang kepada krisis kekurangan pakar berpengalaman dalam sistem perkhidmatan kesihatan awam. Ini adalah masalah yang sangat serius.
Adakah industri pelancongan perubatan berminat untuk melaksanakan tanggungjawab kepada negara tercinta kita dengan membantu dalam menyelamatkan sistem perkhidmatan kesihatan awam kita, demi ramai rakyat yang tidak mampu membayar caj tinggi di hospital swasta, akibat gaji yang sangat rendah dan hutang isi rumah yang tinggi, yang tidak mampu memperoleh makanan berkhasiat untuk keluarga mereka akibat harga makanan yang tinggi?
Adakah industri pelancongan perubatan bersama-sama syarikat-syarikat korporat lain bersedia untuk melepaskan 2% daripada keuntungan besar mereka untuk dilaburkan semula ke dalam sistem perkhidmatan kesihatan awam di negara kita sebagai tanggungjawab sosial korporat supaya golongan miskin dapat menikmati akses perkhidmatan kesihatan awam yang percuma dan lebih ramai doktor pakar boleh kekal berkhidmat di hospital awam kerajaan?
==========
Cecilia Anthonysamy ialah Ahli Jawatankuasa Kempen Selamatkan Sistem Perkhidmatan Awam, sebuah inisiatif Parti Sosialis Malaysia (PSM).
