PUTRAJAYA – 17 MAC 2026: Parti Sosialis Malaysia (PSM) bersama-sama organisasi-organisasi masyarakat sivil Malaysia yang prihatin menggesa Kerajaan Malaysia untuk mengambil tindakan konkrit dalam membantu negara Kuba yang sedang menghadapi sekatan hebat daripada kuasa imperialis Amerika Syarikat (AS). Seruan ini dibuat dalam satu memorandum bersama yang diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri pada hari ini.

Negara Kuba sedang menghadapi sekatan bahan api daripada kuasa imperialis AS, selain sekatan ekonomi yang sudah berlarutan lebih enam dekad. Kerajaan AS mengancam untuk mengenakan sekatan terhadap mana-mana negara yang membekalkan minyak kepada Kuba. Sekatan terbaru ini telah membawa kesusahan yang lebih besar kepada rakyat Kuba, termasuk gangguan bekalan elektrik yang amat serius dan kelumpuhan perkhidmatan asas kerana tiada bahan api untuk menghidupkan enjin.

Tindakan pembuli AS terhadap Kuba juga berlaku pada ketika ia melancarkan tindakan ketenteraan yang menculik Presiden Venezuela dan mengebom Iran secara berterusan. Tingkah laku AS yang agresif ini jelas melanggar undang-undang antarabangsa dan menggugat keamanan dunia selanjutnya.

Turut hadir semasa penyerahan memorandum di Pejabat Perdana Menteri pada hari ini ialah Dr. Jeyakumar Devaraj (Pengerusi Nasional PSM), S. Arutchelvan (Timbalan Pengerusi Nasional PSM), M. Sivaranjani (Setiausaha Agung PSM), Soh Sook Hwa (Bendahari Nasional PSM) dan Choo Chon Kai (Ahli Jawatankuasa Pusat PSM). Memorandum ini diterima oleh Aznur Hafeez Bin Kaswuri, Setiausaha Sulit Kanan kepada Perdana Menteri.

Memorandum bersama yang ditujukan kepada Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri ini disokong oleh 20 buah organisasi. (Baca sepenuhnya isi kandungan memorandum ini di sini.)

Memorandum ini mengemukakan tuntutan berikut untuk dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia:
Hantar kapal minyak Malaysia ke Kuba untuk membantu dalam mengatasi kekurangan bahan api di negara itu;
Mengemukakan resolusi di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menuntut penamatan sekatan bahan api dan embargo AS selama enam dekad ke atas Kuba;
Menggerakkan bantuan kemanusiaan antarabangsa kepada Kuba melalui PBB;
Boikot perusahaan senjata AS;
Tarik diri segera daripada Perjanjian Timbal Balas Perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat (ART);
Mengusir duta AS ke Malaysia dan memanggil balik duta Malaysia ke AS sehingga AS menghentikan perangnya ke atas Iran dan langkah-langkah paksaan sehala terhadap negara-negara seperti Kuba.

“Kerajaan Malaysia harus menyatakan pendirian kita dengan jelas melalui tindakan yang konkrit bahawa AS tidak boleh membuli sesuka hati mana-mana negara yang cuba mengambil jalan sendiri,” kata Dr. Jeyakumar. “Kerajaan kita juga harus berfikir untuk mengurangkan kebergantungan ekonomi negara kita kepada AS, dengan mengembalikan Semangat Bandung yang menekankan kemandirian negara-negara Selatan Global.”

“Walaupun Perjanjian Timbal Balas Perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat yang disebut dalam tuntutan memorandum ini sudah dikatakan terbatal, bukannya atas inisiatif Kerajaan Malaysia, semangat tuntutan ini adalah Kerajaan Malaysia tidak harus berurusan seperti biasa dengan AS selagi kuasa besar itu terus membuli negara-negara lain yang tidak sehaluan dengan kepentingannya,” kata Choo Chon Kai. “Malaysia harus mengambil inisiatif dan kepimpinan dalam kalangan negara-negara Selatan Global untuk mencabar kekuasaan AS.”

“Kuba merupakan sebuah negara yang kecil berbanding Malaysia, dari segi keluasan wilayah, bilangan penduduk dan ekonomi, namun selama ini, meskipun menghadapi sekatan daripada AS, Kuba telah memberi bantuan kepada negara-negara lain, terutamanya penghantaran doktor-doktornya ke negara-negara miskin yang memerlukan perkhidmatan kesihatan,” ulas Choo Chon Kai. “Kuba telah banyak membantu negara yang berada dalam kesusahan. Sekarang ini kita juga harus membantu semula Kuba yang sedang menghadapi kesusahan!”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *