
Berikut ialah isi kandungan memorandum yang diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri pada 17 Mac 2026.
Kami, organisasi-organisasi yang bertandatangan di bawah, amat khuatir tentang sekatan oleh pihak Washington yang semakin ketat terhadap Kuba.
Amerika Syarikat (AS) telah mengenakan sekatan bahan api ke atas Kuba sejak bulan Januari 2026, dengan mengancam untuk mengenakan tarif tambahan ke atas import ke AS dari negara-negara yang membekalkan minyak kepada Kuba secara langsung atau tidak langsung. Pengenaan sekatan bahan api ini telah mendatangkan lebih banyak kesusahan kepada rakyat Kuba, yang sedang mengalami masalah kekurangan bahan api, gangguan elektrik, gangguan terhadap perkhidmatan asas, dan sebagainya.
Sekatan yang lebih ketat ke atas Kuba merupakan percubaan terbaru kuasa imperialis AS untuk mencekik rakyat Kuba dengan niat untuk perubahan rejim di negara pulau itu. AS telah mengenakan embargo ke atas Kuba selama lebih enam dekad, dan sentiasa Kuba menghancurkan negara itu, kerana Kuba selepas Revolusi 1959 sering dianggap sebagai ancaman kepada kepentingan imperialisme AS.
Kuba merupakan salah satu mangsa tindakan melulu dan pembuli imperialis AS terhadap negara-negara yang tidak sehaluan dengan kepentingannya. Serangan haram ke atas Venezuela dan penculikan Presiden bersama Wanita Pertama negara itu, dan perang yang zalim ke atas Iran, menunjukkan kepada dunia bahawa kuasa imperialis AS adalah ancaman sebenar kepada keamanan dunia dan kemanusiaan. Sementara itu, Kuba mewakili sebaliknya.
Penentangan rakyat Kuba yang revolusioner terhadap imperialisme AS, untuk melindungi kemerdekaan mereka, kedaulatan negara mereka, dan hak mereka untuk menentukan nasib sendiri, melambangkan perjuangan rakyat sedunia untuk pembebasan, keamanan berkekalan dan keadilan sosial. Internasionalisme perubatan Kuba yang tiada tandingannya yang memberi manfaat kepada jutaan orang di seluruh Selatan Global, telah menjadi benteng penting untuk solidariti dan kemanusiaan seluruh dunia.
Walaupun jarak geografi yang jauh, sejak Malaysia dan Kuba menjalin hubungan diplomatik pada tahun 1975, kedua-dua negara telah membangunkan kerjasama yang erat dalam banyak bidang, misalnya kesihatan, pendidikan, kebudayaan dan diplomasi pelbagai hala. Walaupun dikenakan embargo oleh AS, kerajaan Kuba pernah menyediakan biasiswa penuh kepada pelajar perubatan Malaysia untuk belajar di Pusat Pengajian Perubatan Amerika Latin (ELAM) di Havana.

Ini masanya untuk Malaysia, kawan karib Kuba, menunjukkan solidariti secara konkrit dengan Kuba. Kuba telah banyak membantu; ini masanya untuk membantu balik Kuba.
Kami menyeru kepada Kerajaan Malaysia untuk:
- Hantar kapal minyak Malaysia ke Kuba untuk membantu dalam mengatasi kekurangan bahan api di negara itu;
- Mengemukakan resolusi di Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu untuk menuntut penamatan sekatan bahan api dan embargo AS selama enam dekad ke atas Kuba;
- Menggerakkan bantuan kemanusiaan antarabangsa kepada Kuba melalui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu;
- Boikot perusahaan senjata AS;
- Tarik diri segera daripada Perjanjian Timbal Balas Perdagangan Malaysia-Amerika Syarikat (ART);
- Mengusir duta AS ke Malaysia dan memanggil balik duta Malaysia ke AS sehingga AS menghentikan perangnya ke atas Iran dan langkah-langkah paksaan sehala terhadap negara-negara seperti Kuba.
Disokong oleh:
- Parti Sosialis Malaysia (PSM)
- Pemuda Sosialis
- Aliran
- Angkatan Kesatuan Siswa Sosialis (AKSI)
- Citizens’ Health Initiative
- Citizens International
- Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
- Diversity Inclusivity Equity Malaysia (DIEM)
- Forum Kedaulatan Makanan Malaysia (FKMM)
- Gabungan Marhaen
- GEGAR
- Institut Kajian Dasar
- Islamic Renaissance Front
- MANDIRI
- Parti Orang Asli Malaysia (ASLI)
- Persatuan Pengguna Luar Bandar & Ekologi Malaysia (RURAL MALAYSIA)
- Sahabat Alam Malaysia
- Saya Anak Bangsa Malaysia (SABM)
- Sekretariat Solidariti Palestin
- Third World Network
