oleh Kesavan Parwathy

Parti Sosialis Malaysia (PSM) mengecam sekeras-kerasnya penahanan seorang kanak-kanak tiada status kewarganegaraan, Niko Ansboy daripada komuniti Bajau Laut. Dilaporkan Niko ditahan polis ketika menyertai program kebajikan membeli barangan sambutan Hari Raya Aidilfitri untuk golongan asnaf di sebuah pusat membeli-belah di Kota Kinabalu semalam (15 Mac 2026).

Menurut maklumat yang diterima, Niko berada di pusat membeli-belah bersama guru pengiring dari Sekolah Alternatif bagi program kebajikan tersebut. Walaupun guru telah cuba menunjukkan surat kebenaran program kepada pihak polis, penjelasan itu tidak diendahkan. Niko kemudiannya digari dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kepayan. Pihak Sekolah Alternatif kemudiannya dimaklumkan bahawa Niko dimasukkan ke lokap dan direman atas alasan tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

PSM memandang serius tindakan menahan seorang kanak-kanak (remaja bawah umur) yang sedang menyertai aktiviti kebajikan. Niko bukan penjenayah. Niko adalah seorang pelajar yang hanya ingin menyertai program kebajikan dan merasai kegembiraan menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti kanak-kanak lain. Tindakan menggari dan menahan pelajar tidak berkewarganegaraan menimbulkan persoalan serius mengenai kepekaan pihak berkuasa terhadap hak serta perlindungan kanak-kanak.

Sebagai sebuah negara yang telah menandatangani Konvensyen Hak Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu sejak tahun 1995, Malaysia mempunyai tanggungjawab untuk memastikan semua kanak-kanak di dalam sempadannya dilindungi tanpa diskriminasi. Ini termasuk hak untuk pendidikan, hak untuk dilindungi daripada penahanan sewenang-wenangnya serta hak untuk dilayan secara bermaruah tanpa mengira kewarganegaraan atau status undang-undang mereka. Penahanan Niko jelas bertentangan dengan semangat konvensyen tersebut.

Penahanan dan reman bukan sahaja memberi kesan trauma kepada seorang kanak-kanak, malah menghantar mesej yang sangat membimbangkan tentang bagaimana golongan paling rentan dalam masyarakat dilayan.

Seorang kanak-kanak tidak seharusnya diperlakukan seperti penjenayah hanya kerana dia tidak mempunyai dokumen. PSM menegaskan bahawa kanak-kanak tidak berkewarganegaraan adalah mangsa kepada kegagalan sistem, mereka bukan penjenayah. Kerajaan sepatutnya melindungi mereka, dan mengambil langkah segera untuk menyelesaikan isu kanak-kanak tidak berkewarganegaraan di Sabah.

Pihak Polis harus menghormati hak kanak-kanak dan mengelakkan tindakan keras terhadap pelajar bawah umur. PSM menuntut agar Niko Ansboy dibebaskan segera dan polis perlu menghentikan sebarang intimidasi terhadap pelajar dan guru Sekolah Alternatif.

==========

Kesavan Parwathy ialah aktivis pendidikan dan ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *