20190812-1076522207.jpgRatusan ribu rakyat Venezuela turun ke jalanan bandar Caracas pada 10 Ogos 2019 untuk membantah sekatan ekonomi oleh Amerika Syarikat (AS) yang telah membawa kesengsaraan hebat kepada rakyat Venezuela.

Pelajar-pelajar, pekerja-pekerja, kakitangan-kakitangan awam dan anggota-anggota tentera berarak secara bersama dalam aksi menolak sekatan ekonomi, kewangan dan perdagangan yang dikenakan oleh Kerajaan AS pimpinan Donald Trump. Sekatan yang dikenakan oleh Kerajaan AS pimpinan Donaled Trump telah menghalang Kerajaan Venezuela daripada mengakses dana negaranya sendiri dalam jumlah berbilion-bilion, dan menyekat makanan dan ubat-ubatan daripada memasuki negara yang sedang menghadapi masalah kekurangan bekalan ini. Kerajaan AS menggunakan taktik sekatan ekonomi untuk menyusahkan lagi rakyat Venezuela dengan niat jahatnya yang cuba mencetuskan kemarahan rakyat terhadap Kerajaan Venezuela pimpinan Nicolas Maduro yang dipilih secara demokratik. Sebelum ini, Kerajaan AS enggan menerima keputusan pilihanraya Presiden Venezuela pada tahun 2019, malah menyokong cubaan rampasan kuasa oleh puak pembangkang berhaluan kanan melalui pengiktirafan terhadap Juan Guaido sebagai “Presiden Sementara”.

20190812 - venezuela

Demonstrasi ini dianjurkan oleh Gran Polo Patriótico (gabungan parti-parti kiri yang mendukung Revolusi Bolivar) dan dan Kongres Rakyat Bolivar, sebagai sebahagian daripada mobilisasi global di bawah hashtag #NoMoreTrump, #NoMasTrump dan #HandsOffVenezuela, untuk menyokong rakyat Venezuela dalam perjuangan mereka menangkis ancaman imperialis AS. Demonstrasi solidariti turut diadakan di negara seperti Australia, AS, Perancis, Aruba, Korea Selatan, Haiti, Turki, Itali, Jerman, Republik Dominica, Argentina dan Mozambique, dengan tuntutan pada Kerajaan AS untuk menghentikan sekatan yang haram dan tidak berperikemanusiaan terhadap Venezuela. Demonstran juga menggesa Kerajaan AS supaya menghentikan taktik kotornya yang menyokong “Presiden” boneka Juan Guaido.

Untuk beberapa bulan yang lepas, Kerajaan AS dan sekutunya, termasuk pemimpin negara yang menganggotai Pertubuhan Negara-negara Amerika (OAS), telah berulang kali mengatakan mereka akan mengambil tindakan ketenteraan terhadap Venezuela sekiranya Maduro tidak berundur dari jawatan Presiden. Pada 1 Ogos 2019, sebuah pesawat pengintip elektronik Tentera Laut AS menceroboh ke dalam ruang udara Venezuela. Walaupun rundingan damai antara pihak Kerajaan Venezuela dan pihak pembangkang yang di Venezuela sedang berlangsung dengan mediasi Kerajaan Norway sebagai pengantara, tetapi Kerajaan AS telah cuba sabotaj kerana tidak mahu apa-apa persetujuan dicapai untuk menamatkan kebuntuan politik yang dicetuskan oleh proksinya. Sekarang ini pula Kerajaan sedang memperhebatkan sekatan ekonomi terhadap Venezuela.

Dalam ucapannya di hadapan rakyat Venezuela yang berhimpun di Caracas pada 10 Ogos 2019, Presiden Venezuela Nicolas Maduro berkata, “Saya percaya pada dialog. Konflik ini boleh diselesaikan dengan dialog tetapi perlu menghormati perlembagaan dan rakyat Venezuela. ”

“Ini ialah perjuangan untuk keamanan menentang sekatan yang dikenakan oleh AS dan kuasa dollar.” Maduro bertegas, “Kita bersedia untuk menang. Venezuela telah adanya sebuah kerajaan yang popular untuk 20 tahun. Hari ini, kita sebagai rakyat Venezuela mempunyai maruah dan bersatu secara rohani.”

Kerajaan Venezuela telah melancarkan satu petisyen kepada Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Antonio Guterres, dengan permitaan kepada PBB untuk mencampurtangan dan mendesak Kerajaan AS supaya menghentikan sekatan sepenuh terhadap Venezuela. Dijangkakan seramai 13 juta orang akan menandatangani petisyen ini. Selain itu, mereka di negara lain yang prihatin pada rakyat Venezuela juga akan menandatangani petisyen ini.

20190812-EBnUTkfWkAEElYp
Parti Sosialis Malaysia (PSM) turut menyatakan solidariti kepada rakyat Venezuela dan membantah sekatan yang dikenakan oleh AS terhadap Venezuela.

One thought on “Venezuela: Rakyat memobilisasi untuk bantah sekatan AS

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *