SEMENYIH, SELANGOR – 13 DISEMBER 2025: Selepas perjuangan selama 21 tahun dan setelah 8 tahun perjanjian penyelesaian dicapai antara bekas pekerja Ladang Semenyih dan syarikat Sime Darby, akhirnya 34 orang bekas pekerja Ladang Semenyih menerima kunci bagi rumah ganti yang tetap. Penyerahan kunci rumah baharu ini dilakukan dalam satu majlis yang penuh meriah pada hari ini.

“Syabas dan terima kasih kepada Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC), Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang(JSML) dan Parti Sosialis Malaysia (PSM) atas sokongan dan bimbingan yang berterusan sepanjang perjuangan bekas pekerja Ladang Semenyih,” kata S. Arutchelvan, Timbalan Pengerusi Nasional PSM merangkap Penyelia Pusat Khidmat PSM Semenyih yang turut hadir dalam majlis penyerahan kunci rumah. “Ini adalah satu detik bersejarah bagi perjuangan pekerja ladang.”

“Pekerja-pekerja Ladang Semenyih boleh berbangga kerana mereka telah berjuang sehingga mencapai kemenangan hari ini,” ulas Arutchelvan. “Pekerja-pekerja ini boleh menang kerana mereka berani berjuang. Kisah perjuangan di Ladang Semenyih ialah satu lagi contoh yang menunjukkan bahawa apabila anda berani berjuang, kemenangan bukanlah mustahil.”

Latar belakang perjuangan pekerja Ladang Semenyih

Pada 1 April 2004, seminggu selepas Pilihan Raya Umum (PRU) ke-11, majikan telah memberikan notis penamatan kerja kepada lebih daripada 40 orang pekerja, tetapi itu bukan perkara yang paling mengejutkan pada hari itu. Pekerja yang paling aktif pada masa itu, Mathuraveeran, setiausaha kesatuan sekerja serta pengerusi kuil di situ, telah mengalami serangan jantung dan meninggal dunia pada hari yang sama dengan penerimaan notis pemberhentian kerja. Ia adalah satu tamparan berganda.

Sekitar tahun 2008, Ladang Semenyih telah dijual oleh Sime Darby kepada pihak ketiga. Tanah bersebelahan juga dijual untuk pembangunan kawasan perumahan. Pekerja-pekerja ladang yang telah berkorban selama beberapa generasi untuk syarikat perladangan ini hanya mampu melihat rumah-rumah baharu yang dibina sekeliling mereka dan sekadar bermimpi mengenai pemilikan rumah sendiri.

Setelah mengharungi masalah air, lumpur, pencemaran udara dan pelbagai ugutan, oleh sebab ketegasan 17 buah keluarga bekas pekerja Ladang Semenyih yang bertahan di rumah kuarters mereka untuk memperjuangkan hak perumahan, akhirnya satu penyelesaian dicapai pada 28 Februari 2017, iaitu 13 tahun selepas mereka menerima notis pemberhentian kerja. 17 buah keluarga dari Ladang Semenyih telah menandatangani satu perjanjian penyelesaian dengan Sime Darby Properties & Plantations. Hasil penyelesaian adalah setiap keluarga bekas pekerja ladang ditawarkan rumah teres kos rendah satu setengah tingkat bersaiz 18 x 55 kaki persegi (990 kaki persegi).

Kesemuanya 34 buah keluarga yang terkesan telah diberikan tawaran ini, di mana 17 buah keluarga yang teguh berjuang akhirnya mendapat beberapa subsidi sehinggalah rumah itu diberikan secara percuma, manakala baki 17 buah keluarga yang lain mendapat rumah itu pada harga subsidi sebanyak RM42,000.

Sejak tahun 2017, 17 keluarga yang berjuang dari awal ini juga dibayar sewa setiap bulan sebanyak RM500. Selepas 8 tahun menunggu, kesemua 34 buah keluarga bekas pekerja di Ladang Semenyih menerima kunci perumahan.

Baca lebih lanjut tentang kisah perjuangan bekas pekerja Ladang Semenyih di sini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *